Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua UMNO Bahagian Pulai mahu jadi “suara orang muda” apabila menawarkan diri bertanding jawatan No.2 UMNO. Kasar untuk melabelnya “gila”, mungkin “betul atau tidak” kepalanya, lebih sopan? Gila glamour yang sering dilakukannya bermula kononnya sebagai bakal Menteri Besar Johor sebelum pilihanraya Mac lalu kini menawar diri pula sebagai calon Timbalan Presiden UMNO sekaligus Timbalan Perdana Menteri Malaysia, butakah ahli UMNO sekarang atau butakah dirinya sendiri melihat tindakannya yang menjadi bahan politik terlawak abad ini.
OLEH AJENG ARIA
Nur Jazlan mendapat apa yang dia mahu – perhatian murahan! Biarpun dengan respons berupa tawa sinis dan kecaman, tapi bagi seorang yang tidak popular dari segi sokongan, idea dan kerja, buatlah stunt. Lalu, ketepikan semua pertimbangan akal asalkan nama disebut, diri jadi perhatian (sekurang-kurangnya nama sebaris pemimpin senior).
Jauh daripada keberanian sebenarnya, tindakan Nur Jazlan lebih bersifat kedangkalan, kejahilan dan strategi yang tentunya memakan diri.
Atau, senteng pemikiran? Terdesakkah UMNO untuk pemimpin seperti itu? Sedang di Bahagiannya sendiri dicabar oleh timbalan Bahagian, Datuk Osman Sapian yang memperolehi sokongan kuat dengan pencalonan meyakinkan. Kalaupun terdesak nak meyakinkan penyokong di Bahagian sendiri janganlah membuat cerita atau tindakan yang terlalu lawak hingga semua orag tertawa dan yang diluar UMNO pula melihat, gelojohnya orang muda ini yang lupa siapa dirinya sendiri.
Seorang akauntan bertauliah yang mewarisi kecenderungan politik daripada bapa, mantan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Mohamed Rahmat, tindakannya disambut dengan tawa besar oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Rais Yatim.
Sambil mengutip peribahasa “ukur baju di badan sendiri”, Rais menegur jawatan tertinggi UMNO bukan untuk dieksperimen dan menegaskan jawatan seperti Presiden dan Timbalan Presiden perlu diisi calon dengan kriteria penting, seperti teruji kepimpinan dan keintelektualan diri.
Nur Jazlan, 42, dalam kenyataannya mendakwa sistem birokrasi UMNO tidak membuka ruang untuk “orang muda naik” menyebabkan perlu “membawa perubahan”. Maka, jawatan Timbalan Presiden yang kini dilepasi Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mengumumkan bertanding kerusi Presiden, dibidik.
Soalnya adakah dia membuka ruang kepada Pemuda Bahagiannya sendiri? Tanyalah ketua Pemudanya, Abdullah Yusof bagaimana azabnya dia menjaga Pemuda Bahagian yang langsung dianak tirikan di Bahagian sendiri, oleh Ketua Bahagian yang kononnya mewakili orang muda.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang kecewa dengan perkembangan itu, menyifatkannya sebagai “gila jawatan.” Dia melihatnya sebagai “satu trend yang tidak begitu sihat, seolah-olah UMNO menjadi satu tempat untuk memperjuangkan kepentingan diri masing-masing.”
Perlembagaan memang tidak menghalang sesiapa bertanding, tapi alasan Nur Jazlan bahawa dengan berjawatan lebih mudah dia menjadikan parti relevan semula dilihat satu obsesi. Cita-cita tidak menjadi hal, soalnya: layakkah?
Ibarat hidung yang tak mancung, pipi terus disorong-sorong.
Sedang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menawarkan diri bertanding jawatan sama disambut sinis sebelum dia menarik diri, apatah lagi ahli seperti Nur Jazlan.
Politik dunia menyaksikan Amerika Syarikat dengan Presidennya yang berusia 40an, seperti John F Kennedy ke calon popular, Barrack Obama tapi ekonomi, pembangunan rakyat antara yang diisi dalam agenda menyokong kepimpinan mereka. Usia bukan penghalang, tapi mereka tidak jadi pemimpin dengan perjuangan di jalan pintas.
Sekadar “mahu menonjolkan diri dan terkenal dengan jalan singkat” menurut Pengerusi Putera UMNO Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung perlumbaan mereka ini yang “tidak melihat diri sendiri ketika menawarkan diri bertanding.”
Malah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan perkembangan itu telah “merendah-rendahkan kedudukan dan martabat” jawatan Timbalan dan Naib Presiden UMNO.
“Jawatan tertinggi dalam UMNO ini memerlukan individu yang
berpengalaman, beramanah dan mempunyai tanggungjawab yang cukup berat
terhadap agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Jadi, molek kita bertanya kepada Nur Jazlan apakah dia punya semua itu? Satu yang pasti, anak Tok Mat ini akan diingati kerana kegopohan yang berputik dengan obsesi yang memakan diri. Harap-harap lepas ini dia tidak pula menawarkan diri untuk menjadi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Manalah tahukan.
Sabtu, 11 Oktober 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Catat Ulasan