Sabtu, 11 Oktober 2008

MENDAKAP NOSTALGIA LEBARAN




Salahkan pencipta kerana tidak satu hit pun yang terciptakan? Atau, salahkan pendengar kerana masih berpegang pada nostalgia setiap kali datangnya Lebaran?


OLEH ZURINA WAJI

Bas mini merentasi Chow Kit Road. Bas nombor berapa, tidak dapat saya ingati. Orang yang bersesak, konduktor bertubuh gempal yang berteriak meraih penumpang tambah meresahkan hati yang sejak tadi diasak lagu-lagu raya pilihan ‘drebar’ bas. “Balik kampung, Oh Oh Oh balik kampung hati girang… ” Lantunan suara Allahyarham Sudirman itu meresahkan saya, “apa aku buat kat KL ni?”
Balik kampung adalah salah satu agenda yang melengkapi sambutan Lebaran. Salahkan Sudirman barangkali kerana membuat hati tidak tertahan menanggung rindu di kampung halaman? Lagu yang membangkitkan nostalgia sambutan raya di zaman anak-anak.
Saya suka mendengar kelunakan Halil Chik dengan lagu Lenggang Mak Limah, kerana mengingatkan pada arwah mak yang sibuk mencari kain maslin putih buat menutup nasi impit dengan lesung batunya untuk disertakan dengan hidangan pagi Lebaran kami - lontong, kuah lodeh, serunding, sambal goreng dan ketupat.
Selamat Hari Raya daripada Saloma menambah keterujaan seorang anak kecil mendengar “minta mak, kuih sepotong… saya mahu makan kerna perut kosong.” Dan, dengan usia yang menginjak dewasa, begitu juga senarai lagu raya yang membangkitkan nostalgia, menghambat saya dengan sebuah senyuman bersama Ahmad Jais dan Selamat Hari Rayanya yang menenangkan.
Ku Mohon Keampunan nyanyian Al-Jawahir ke Sudirman, sekali lagi, dengan Dari Jauh Ku Pohon Maaf atau Sepasang Kurung Biru oleh Khairil Johari Johar… dan senarai itu berterusan. Menakjubkan bagaimana setiap kali, lagu-lagu raya sama juga yang diputar dan ia tidak pernah gagal untuk membekas dalam jiwa.
Dan, setiap kali itu jugalah akan terdengar: kenapa lagu raya dulu lebih menusuk jiwa berbanding lagu baru?
Nazam Lebaran ciptaan Pak Ngah yang dinyanyikan Datuk Siti Nurhaliza adalah antara lagu raya baru yang menempatkan dirinya di kalangan lagu-lagu lama yang nostalgik. Biar agak moden, seperti juga Sesuci Lebaran, ia menyuntik keceriaan sebagaimana seharusnya dalam sebuah lagu raya.
Ia, sebagaimana intipati Satu Hari Di Hari Raya ciptaan M Nasir yang membawa bersamanya rasa keinsafan pada bait-baitnya yang memberi makna tulus pada Lebaran.
Selain itu, saya tidak fikir ada lagi lagu raya baru yang memberi kesan serupa.
Dan, berbalik kepada soalan yang sering menerjah: kenapa lagu raya lama?
Definasi Lebaran, bagi saya berubah mengikut usia. Sebagai anak kecil, ia soal hidangan yang menanti di pagi raya, soal baju baru yang akan dijahit arwah mak, duit raya dan dentuman mercun jiran serta bunga api ‘cap kepala kucing hitam’ yang biasa dibeli arwah abah.
Liuk pelita minyak tanah yang memagari rumah, menanti datangnya ‘malam tujuh likur’, bermain perang ‘mercun katak’ atau bunga api, merasai kedamaian malam-malam Ramadan dengan kefahaman ‘setan dirantai sepanjang itu’ serta mencongak bila Lailatulqadar akan tiba sambil beramai-ramai ke surau bagi bersolat Tarawih, antara kenangan terindah dalam hidup seorang anak remaja.
Jadi, pantaslah kenapa kedewasaan membuatkan hati merindui semua itu.
Dan, itulah yang dilakukan lagu-lagu raya lama yang banyaknya membawa cerminan budaya kehidupan Melayu yang selari dengan pegangan agama - nostalgia yang meniup keceriaan serta memahami erti sebuah kerinduan, keinsafan dan hari umat Islam bermaaf-maafan.
Disebabkan itu, sebuah lagu raya harus mampu meresapi jiwa. Sebuah lagu raya Melayu yang mahu membekas harus padat dengan jiwa Melayu, dan itulah kelebihannya lagu-lagu raya lama berbanding lagu baru yang kosong, tidak ada jiwa.

* Artikel ini disiarkan di majalah E9, Isu 3 Oktober | November 08

Tiada ulasan: