Sabtu, 11 Oktober 2008
ESOK MASIH ADA
Simple, tapi tidak mudah? Kami, rencah yang mengasyikkan Lebaran.
OLEH ZURINA WAJI
KAMI
ARAHAN EFFENDEE MAZLAN dan FARIZA AZLINA
LAKONAN LIYANA JASMAY, SYARUL EZANI, NAS-T, JULIANA EVANS, ZAYANAH IBRAHIM, ZAHIRIL ADZIM
GENRE DRAMA
TAYANGAN HARI RAYA PERTAMA
SINOPSIS Cerita lima sahabat, bermula dengan salah seorangnya, Abu yang lari dari rumah akhlak untuk bersama Ali, Lynn, Sofie dan Adii meraikan hari terakhir mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Sedang gembira, kehidupan lampau Lynn kembali menghantui. Siapa Boy, si pengedar dadah yang memburu Lynn menimbulkan persoalan, lalu mencetus konflik yang membawa kepada rahsia dan keputusan yang bakal merubah hidup mereka.
Buat seketika, saya lupa bahawa hari ‘suka-suka’ semasa remaja itu sudah lama ditinggalkan.
Separuh segan, dengan diri sendiri sebetulnya, saya ikut senyum dengan, kenakalan lima sahabat yang menjadi teras dalam garapan dua sutradara muda, Effendee dan Fariza.
Saya tidak mengharapkan keajaiban daripada karya cereka pertama mereka ini, tapi kerana diangkat daripada siri TVnya yang popular juga, ia mencetus rasa ingin tahu bagaimana rupanya apabila ia dibawa ke layar lebar.
Seperkara, saya tidak menduga akan berasa enjoy sebegini dengan Kami.
Menakjubkan bagaimana saya masih dapat mengaitkan diri dengan lima karektor ini, dengan keletah dan kenakalan mereka sambil dua sutradaranya membangkitkan imaginasi, memberi feel tapi dalam suasana semasa, lewat kegilaan anak muda sekarang ini dengan gig dan band-band indie mereka.
Audiens sebaya, juga lebih muda atau tua ada sisi yang akan disentuh filem ini, menjadikan Kami satu pengalaman menonton yang indah. Hati dicuit, jiwa terusik saat mengikuti perjalanan setiap karektornya yang seolah dicuri daripada cebisan kisah atau pengalaman kita.
Biar ada rasa aneh menghambat perasaan, menakjubkan bagaimana filem ini terasa relevan dan apa lagi rencah yang baik buat sesebuah karya sebagaimana yang dipersembahkan Kami?
Saya berasa senang kerana Kami tidak berlebih-lebih, tidak meleret. Cerita yang tampak simple, tapi mencabar dalam plot serta pertalian antara karektor-karektornya yang dicetus oleh kehidupan lalu Lynn– Boy dan bisnes dadahnya.
Plot Kami disulam dengan cerita suka dan duka, serta konflik anak muda yang membabitkan hati dan perasaan cinta – pada ibu bapa, teman dan kekasih. Ia juga cerita mengenai pengorbanan, dengan karektor Abu lakonan Nas-T yang terluka dengan kematian abang dan menuntut perhatian daripada seorang bernama ayah atau Ali (Syarul Ezani), anak orang kaya yang menyasar ke kancah dadah kerana hanya memendam rasa.
Juliana sebagai Sofie, mungkin agak kaku mencerminkan karektornya dan sementara saya awalnya mengira Liyana akan mencuri perhatian dengan peran Lynn, tapi Nas-T membuat audiens lebih percaya dengan persembahannya. Selamba, bersahaja, saya mengira Nas-T adalah bintang yang perlu diberi perhatian kerana ia bisa buat anda suka, benci, geram, ketawa dan menangis.
Sebagaimana Zahiril menggerunkan hati dengan perannya sebagai Boy, menakjubkan bagaimana karektor sehitam itu berupaya mengejutkan audiens dengan sifatnya yang begitu ironi, dengan kasih dalam momen yang nyaris tidak tertangkap kerana berlalu sepantas ia melemparkannya. Momen yang membuatkan kita ingin mendekatinya walaupun pada masa sama, menggeruninya.
Saya pasti, penganjuran gig bukan cuma di bilik sekangkang kera dengan audiensnya yang tidak mencecah 30 atau mungkin, 20 orang seperti yang ditonjolkan di dalam filem ini, tapi pemilihan lagu-lagu daripada band-band indie menambah keasyikan menontonnya.
Saya senyum, saya ketawa. Dan, saya ikut merasa duka. Satu ketika, saya berasa sesak di dada, menyeka air mata yang memberati di akhir cerita. Masih, saya ingin menonton Kami lagi kerana ia mengingatkan saya bahawa sekacau mana pun hidup ini, masih ada harapan di hari esoknya.
Dan, buat seketika Kami buat saya rasa muda. Benar muda.
* Reviu ini disiarkan di majalah E9, Isu 3, Oktober | November 08
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan