Ahad, 12 Oktober 2008
AIR MATA DI KUALA LUMPUR
Dia memberi maruah kepada imej anak seni. Di Jalan Dedap, legasi tinggalan P Ramlee bagaimanapun, berbisik mereka menyaksikan kepayahan, keperitan dan air mata seorang lagenda.
OLEH ZURINA WAJI
Jalan Ampas, Singapura. Satu masa, dunia seni perfileman Melayu pernah mencatat sejarahnya di sana, di bawah bendera Shaw Brothers, lahir banyak nama yang masih jadi sebutan sampai sekarang.
Dan, seorang yang disebut orang seniman agung – P Ramlee.
Kurus, melidi. Cengkung, muka terlihat kesan jerawat. Kumis halus, lagak hero Tamil, MGR. Serta rambut kerinting yang berkilat, siap dengan jambulnya. Di sebalik itu, dia punya senyuman paling manis.
“Dia ada pakai apa-apa ke?” tanya saya kepada Pak Lah, begitu saya meneriak Datuk Abdullah Hussain, sasterawan negara, dalam satu pertemuan beberapa tahun lalu.
Sejarah Pak Lah dan seniman itu bermula seawal 1951, bergaul sampai bekerja di Penerbitan P Ramlee yang menerbitkan majalah Gelanggang Filem. Namun kepada soalan tadi dia hanya senyum, tidak berkata apa mengenai “senyuman misterius” itu.
Di tahun ke-35 pemergiannya, misteri senyumannya itu menghantar saya ke No.22 Jalan Dedap di Kuala Lumpur, rumah milik seniman berdarah Aceh itu yang kini dijadikan Pustaka Peringatan P Ramlee.
Sepi, begitu dirasai. Hati yang barangkali mengharap akan dibawa oleh kegemilangan era hitam putih P Ramlee, hampa. Tiada justifikasi dalam memperingati manusia yang dikagumi semua, yang menjadi “harapan bangsa” itu.
Jelas, begitu tinggi martabatnya diangkat sampai diberi gelaran Tan Sri, dengan filemnya diputar di TV sehingga kini dan tanyalah hatta pada anak kecil sekalipun, siapa tidak kenal P Ramlee. Ironi sungguh, rumah itu melempar kesedihan.
Jelajah di pustaka membawa pengunjung melewati memorabilia - salinan poster lakonan dan arahan, piring hitam, foto lama yang menyingkap seawal zaman anak-anaknya malah biola yang pernah dimanjai P Ramlee, menggesekkan Azizah yang membawanya ke Jalan Ampas, mencipta kegemilangan yang membuat ramai mengungkapkan: Di mana kan ku cari ganti?
Di satu sudut, kerusi hitam tertera “Director, P Ramlee A.M.N”.
Terus terang, siapa yang ingin kita perolok-olokkan di sini? Hari ini, diselenggara Arkib Negara, hati ini bagai disiat: Ini sajakah yang termampu dilakukan sebagai memperingati seniman yang disebut agung, lagenda itu?
Mahu disebut tanda kegemilangannya, piala-piala usang, helaian nota muzik yang kekuningan terpamer buat tatapan. Entah harus gembira, sedih atau ketawa apabila busana yang pernah disarung P Ramlee dan Saloma dipamer di dalam balang kaca, di penyangkut berupa wajah mereka – tidak ubah seperti jualan baju murah di pasar malam.
Jika ada yang berasa ini satu jenaka, tidak ada yang ketawa.
Di sudut ‘Di Sebalik Tabir’ yang sama luasnya dengan tandas awam, beberapa helai busana yang didakwa pernah diguna P Ramlee dan Saloma dalam filem mereka digantung asal boleh. Dan busana itu, ada yang mulai berhabuk.
Sudah tentu, ini bukannya Elvis Presley dan Gracelandnya…
Warkah daripada Saloma buat P Ramlee, suami tercinta, yang dikirim ketika dia berada di Thailand kerana kontrak menyanyi, bermain di fikiran. Bukan kerana rasa kasih yang dirasai dalam nukilan Saloma itu, namun lebih pada bait-bait yang mengungkap kesengsaraan kerana harus berjauhan, ditelan demi kantung yang bagai memperjelas situasi mereka ketika P Ramlee sudah mulai tidak dihiraukan.
Pak Lah, dalam pertemuan dulu memberitahu apa yang sepatutnya apabila sekadar berkata, “P Ramlee, sampai mati masih bayar hutang.” Disanjung ke langit di satu masa, dia tersembam kerana tapi tiada peduli akan keujudannya.
Atau, barangkali Pustaka itu memang seharusnya begitu, dengan memorial buat P Ramlee yang tidak berapa gah kerana itulah apa yang ditinggalkan manusia lagenda itu di penghujung hayatnya – air mata.
* Artikel ini disiarkan di majalah E9, Isu 2, Ogos | September 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan