Rabu, 1 Oktober 2008

INTERVIEW EKSKLUSIF BERSAMA MENTERI BESAR JOHOR, DATO' ABDUL GHANI OTHMAN

Ikuti temubual khas bersama antara Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman bersama Ketua Editor E9, Yusaini Ali, di Saujana Johor Bahru baru-baru ini.

PENANGGUHAN PEMILIHAN UMNO UNTUK PERCEPAT PERALIHAN KUASA- GHANI OTHMAN

SOALAN : Terlebih dahulu bagi pihak majalah E9 kami mengucapkan terima kasih atas kesudian Dato’ untuk diwawancara dalam majalah ini. Sebelum kita pergi ke soalan yang lebih lanjut bolah tak Dato’ ceritakan sedikit perjalanan politik sejak awal pembabitan sehingga kini sebagai Menteri Besar Johor buat penggal ke-4?

DATO GHANI: Saya terlibat dalam politik secara langsung pada usia yang agak awal. Penglibatan saya berlaku selepas saya balik daripada pengajian di luar negara iaitu 1974 bersama-sama dengan ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan di kampong dan di Bahagian Ledang. Sambil saya mengajar dalam bidang ekonomi di UM, penyertaan saya dalam Pergerakan Pemuda UMNO di peringkat Cawangan dan Bahagian secara berterusan sejak itu, saya dapat memerhatikan suasana negara dan masyarakat dalam konteks pembangunan sama ada dalam bilik kuliah ataupun di peringkat akar umbi UMNO. Ini berlaku sepanjang lebih kurang 10 tahun sehinggalah satu syarat baru iaitu golongan professional tidak dibenarkan terbabit dalam politik secara langsung dan saya mengambil keputusan untuk menjadi Ketua Pemuda Bahagian pada 1984 dan berhenti daripada bertugas sebagai pensyarah di UM. Beberapa bulan selepas itu, saya dilantik sebagai senator dan berada di Dewan Negara selama setahun setengah sehingga pilihanraya UMUM pada 1986 di kawasan Ledang dan saya dipilih sebagai wakil rakyat di Dewan Rakyat dan 1987 dilantik sebagai Menteri Tenaga dan bertanding sekali lagi dalam Pilihanraya UMUM 1990 sebagai Timbalan Menteri Kewangan Kewangan dan Menteri Belia pada 1994. Selepas pilihanraya 1995 saya terus ke Johor dan menjadi Menteri Besar sehingga kini. Jadi saya terbabit selama 34 tahun sebaik selepas belajar selama tujuh tahun di Australia dan sudah 24 tahun sebagai wakil rakyat Parlimen dan DUN, timbalan menteri, menteri dan menteri besar.

SOALAN : Maknanya Dato’ adalah antara pemimpin yang berpengalaman luas di negeri dan negara ini dan apakah perbezaan ketara yang dapat dato’ lihat sejak awal pembabitan dato’ dan trend politik hari ini?.

DATO’ GHANI: Dulu perjuangannya agak jelas ke arah membentuk sebuah negara yang makmur dan adil. Perjuangan UMNO generasi saya di warisi selepas pejuang kemerdekaan negara, menempa kemerdekaan seterusnya adalah untuk membela kesejahteraan rakyat melalui pembangunan yang dikecapi secara adil oleh rakyat jelata tidak kira apa bangsa sekalipun sama ada Melayu, Cina atau India. Itu pengamatan saya di segi pengisian dalam politik. Sebenarnya kalau kita lihat apa yang dituntut DAP dan Pakatan Rakyat ialah kemakmuran yang dikecapi secara adil dan itulah yang Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak lakukan. Satu lagi pengamatan saya ialah ‘Pembangunan’ dan ‘Keadilan’ itu menjadi peggangan saya dan ia bergantung kuat kepada mutu serta peringkat kepimpinan politik itu mestilah mempunyai komitmen dan didikasi untuk memenuhi perjuangan tersebut dan pengamatan saya juga, mutu dan kualiti kepimpinan kini berubah-ubah di segi makna perjuangan politik untuk rakyat. Mutu pemimpin untuk melaksanakan perjuangan tadi, di segi intelek, didikasinya amat penting bagi menjaga masyarakat yang dipimpinnya. Kalau korup bagaimana nak bawa keadilan dan kemakmuran kepada rakyat dan negara.


SOALAN : Selepas empat penggal menerajui pemerintahan Johor dan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Dato’ dilihat konsisten terhadap perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu dengan desakan supaya pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dikembalikan dalam Bahasa Malaysia berbanding Bahasa Inggeris sekarang bermula dengan Konvensyen UMNO Johor dan hari ini hasil perjuangan itu soalan bagi mata pelajaran itu telahpun mula diadakan dalam dwi bahasa iaitu BM dan BI. Adakah Dato’ dan UMNO Johor khasnya akan meneruskan perjuangan ini?

DATO’ GHANI: Kita perlu mempertahankan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang membawa kepada perpaduan dan jati diri kepada negara kita dan ini dapat diperkuatkan lagi dengan bahasa kebangsaan itu juga menjadi bahasa ilmu. Oleh itu, bahasa kebangsaan mesti juga menjadi bahasa di bilik darjah dan di peringkat universiti, maka ia akan menjadi lebih jitu sebagai bahasa kebangsaan. Ia akan menjadi bahasa yang menyemarakkan ilmu. Kita juga menerima hakikat bahawa Bahasa Inggeris juga penting untuk kita mempunyai kekuatan perhubungan di peringkat antarabangsa. Oleh demikian, kita perlu mempertahankan berkenaan sebagai bahasa yang perlu dikuasai oleh rakyat Malaysia, itu kita tidak menidakkannya. Berdasarkan kepada dua perkara tersebut, maka mengajar matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris membawa kesan yang negatif terhadap dua perkara pokok di sini iaitu merumitkan pelajar daripada menguasai ilmu tersebut dari menguasai ilmu matematik dan sains dan untuk menguasai bahasa inggeris itu sendiri. Cara yang paling baik mengikut pendapat pakar dalam bidang pendidikan ialah belajar matematik dan sains melalui bahasa ibunda. Jadi, saya berpendapat kita boleh menguasai sains dan matematik melalui bahasa Malaysia dan menguasai bahasa inggeris dalam mata pelajaran itu sendiri. Saya yakin jika ia dapat disampaikan dalam tempoh persekolahan, saya yakin anak Malaysia akan menguasai bahasa inggeris. Saya tekankan bahasa ibunda paling berkesan untuk menyampaikan ilmu termasuk sains dan matematik dan bahasa inggeris diajar secara sistematik sepanjang 11 tahun, di segi nahunya, perbendaharaan kata, struktur ayatnya, di segi penulisan dan pengucapan serta saya yakin jika itu dilakukan anak Malaysia akan dapat menguasai sains dan mematik serta bahasa inggeris tetapi kalau kita teruskan pendekatan yang ada hari ini kita akan rugi kerana pelajar tidak dapat menguasai sains dan mematik begitu juga bahasa inggeris. Mana ada diajar di segi nahu, perbendaharaan kata dan sturktur ayatnya ketika pembelajaran sains dan matematik.

SOALAN : Hari ini, ramai yang berkata tanpa politik wang pemimpin itu tidak mampu untuk meningkat dan diterima perwakilan, sehingga ramai yang melihat mereka yang dipilih hanya mempunyai kekuatan untuk memenangi pertandingan selepas membeli perwakilan tetapi tidak mempunyai sokongan di peringkat akar umbi parti. Bagaimana Dato’ melihat gejala politik wang ini? Dan apakah yang seharusnya dilakukan ahli UMNO ini?

DATO’ GHANI : Saya amat bimbang tentang politik wang yang sudahpun menjalar di semua peringkat sehinggakan saya menganggapkan ia sebagai bentuk amaran ‘putaran ganas’ yang mula mencengkam amalan politik. ‘Putaran ganas’ ini telah tiba pada peringkat sambut-menyambut pada kedua-dua peringkat iaitu memberi dan menerima. Yang memberi mengatakan jika tidak dia tidak akan mendapat sokongan, yang menerima pula beranggapan tiada wang tiada sokongan dan ini malang sekali berlaku di semua peringkat. Saya pernah mengambil pendirian bahawa yang dapat mempertahankan parti ialah keahlian di peringkat akar umbi lebih-lebih lagi untuk menyangkal amalan politik wang tetapi sejak kebelakangan ini nampaknya di peringkat akar umbipun sudah mula terjebak, kerana ada diantara mereka yang telahpun disuakan dengan amalan politik wang. Dulu pendirian saya ia boleh dikekang di peringkat akar umbi kerana mereka memberikan sokongan kepada pemurnian perjuangan tetapi kebelakang ini, ia turut terjebak politik wang. Saya berharap bahawa semua ahli parti menyedari dan menginsafi kesudahan amalan ini akan memberi kesan dan keadaan yang merosakkan dan meruntuhkan parti apa lagi ia akan menyebabkan kita akan memilih pemimpin yang lemah dan tidak mempunyai kekuatan sebenar untuk memimpin parti dan rakyat. Jika itu terus berlaku kita akan menghadapi masalah yang serius dalam tempoh terdekat ini dan tidak akan mengambil masa yang panjang. Pemimpin seperti ini tidak akan mampu membawa segala cabaran yang ada.

SOALAN : Baru-baru ini, empat orang ditahan dibawah ISA termasuk Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok; pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin. Apa komen Dato’ mengenai penahanan mereka?

DATO’ GHANI: Bagi saya, di segi asas dan sebab mereka ditahan hendaklah kukuh dan kuat. Ia amat penting untuk rakyat menilainya dengan sewajarnya demi keselamatan negara dan melalui prosedur yang diperuntukan. Jika sebabnya tidak kuat, maka ia menimbulkan tanda tanya kepada tindakkan tersebut. ISA pernah digunakan pada masa-masa yang lalu dan kita lihat bahawa rakyat menerimanya sebagai satu daripada peruntukan yang ada di dalam negara untuk menjamin kesejahteraan negara. Rakyat boleh menerimanya sekiranya asas dan sebab yang kukuh dan prosedur yang jelas diperuntukkan.

SOALAN : Adakah ISA masih releven diguna pakai di negara ini, ketika ini?

DATO’ GHANI: Ia masih releven dan ia berkait tentang keselamatan negara. Kita sebuah negara yang amat terdedah kepada perkara-perkara sensetif yang boleh menyentuh soal keselamatan rakyat dan kita juga tidak sunyi daripada pihak-pihak yang agak melampau yang boleh bertindak mencabar soal keselamatan negara. Jadi saya berpendapat ia masih releven. Cuma apabila digunakan ia hendaklah kukuh dan kuat dan dalam keterbukaan hari ini jika ia memang benar-benar kukuh dan kuat saya yakin ia boleh diterima.

Soalan : Umno dahulu pernah dilabelkan parti kekampungan yang memperjuangkan apa sahaja permasalahan akar umbi khususnya di kampung-kampung dan isu agama, bangsa, dan negara. Hari ini parti pembangkang sering melebelkan UMNO sebagai parti yang tidak lagi releven kerana hanya memperjuangkan nasib golongan tertentu dan individu tertentu, ia juga berjaya mempengaruhi khususnya mereka yang di bandar yang mahukan perubahan. Apakah pandangan Dato’?

DATO’ GHANI: UMNO berjaya bersama-sama parti dalam perikatan dan BN serta membawa kemerdekaan kepada rakyat Malaysia. Satu perjuangan yang begitu besar maknanya. UMNO juga telah memperjuangkan kepentingan rakyat, bukan sahaja di kampung bahkan di bandar sekalipun dengan cara membela kesejahteraan rakyat dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, kebudayaan, keagamaan dan sebagainya. UMNO juga telah membawa kepada pembelaan rakyat di peringkat bawahan sehingga kita dapat lepaskan ramai daripada mereka di peringkat terbawah yang tidak lagi diparas kemiskinan. Ia berkembang sehinggalah kepada keluarga di kalangan rakyat Malaysia dalam kelompok menengah sama ada menengah atas, menengah menengah dan menengah bawah dan ini berlaku di kalangan semua masyarakat. Oleh itu, perjuangan UMNO telahpun membawa hasil dan kejayaan serta ia membawa kepada wujudnya kepelbagaian dalam masyarakat kita hari ini termasuk dalam bentuk cita rasa, harapan dan tuntutan mereka. Ini wujud bukan sahaja di bandar tetapi juga di luar bandar. Oleh demikian, UMNO berhadapan kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat Malaysia yang telah menikmati perubahan yang baik melalui perjuangan UMNO. UMNO kini perlu menyesuaikan kepelbagainya yang wujud dalam masyarakat, seperti Melayu bandar, Melayu Intelek, Melayu Kilang, Melayu Kampung dan sebagainya.


SOALAN : Dato’ pada PRU12 lalu, BN dan UMNO khususnya mengalami kemerosotan sokongan yang besar di seluruh negara sehingga mengalami kekalahan di 5+1 negeri. Adakah BN kini benar-benar berada di tahap yang kritikal sehingga mula ditolak oleh rakyat? Adakah Pembangkang mula membina kekuatan atau hanya BN yang tidak sudah-sudah dengan masalah dalamannya?

DATO’ GHANI: Kita mempunyai pelbagai gelagat pengundi kali ini. Ada yang sememangnya menolak BN, ada juga yang berpendapat perlu dikurangkan majoriti BN dan ada pengundi yang untuk tujuan mengajar kepimpinan BN dengan mengurangkan majoriti sama ada Dewan Negeri ataupun Parlimen. Kita lihat kesudahannya kehilangan majoriti 2/3 dan kalah di lima buah negeri . Ada juga reaksi terkejut melihat keputusan tersebut dan ini membuktikan amalan demokrasi berjalan dengan baik dan subur dengan wujudnya kerajaan di peringkat kebangsaan diperintah BN dan wujudkan kerajaan daripada parti pembangkang di lima buah negeri. Maka, pilihanraya ke 12 ini mempunyai sebab yang begitu pelbagai yang membawa kepada tindakan pengundi. Walaupun begitu, saya berpendapat tiga empat tahun selepas ini begitu penting untuk menentukan gelagat itu akan kekal bertahan atau cenderung kepada perubahan yang lebih baik. Ini terpulang kepada apa yang akan berlaku sebelum kita menghadapi pilihanraya Umum ke13. Tidak semestinya yang menolak BN sebelum ini akan terus menolak dan jika Datuk Seri Najib berjaya meyakinkan rakyat ia akan mampu kembalikan sokongan kepada BN.

SOALAN : Dato’, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diwawancara majalah ini dalam keluaran lalu menyatakan “UMNO Johor masih menjadi tunggak, tiang seri kepada UMNO keseluruhannya. Jika UMNO jatuh di Johor, kita akan jatuh di seluruh negara. Ini adalah kubu kuat kita.
Tapi sudah ada isyarat awal, kedudukan kita tidak begitu selesa walau kita menang semua kerusi ditandingi UMNO (parlimen). Majoriti undi kita semakin kecil dan tipis, kita kena beri kesedaran, kena buat sesuatu supaya dapat mengembalikan kegemilangan UMNO Johor”. Apakah komen Dato’ mengenai kenyataan Datuk Seri Najib ini dan apakah yang dapat Dato’ simpulkan mengenai kekurangan majoriti yang berlaku di Johor pada PRU12 lalu?

DATO’ GHANI: Kita terima hakikat kita kalah di enam kerusi DUN dan satu parlimen. Enam daripada 56 dan satu daripada 26. Dibandingkan dengan isu-isu yang berbangkit dalam pilihanraya ke12 yang digunakan di seluruh negara yang membawa kesan ‘tsunami’ sehingga hilang 2/3 majoriti, hakikatnya Johor masih dapat bertahan 50 daripada 56 kerusi DUN dan 25 dari 26 kerusi Parlimen. Jika kita lihat isu yang sama digunakan maka BN Johor sebenarnya masih mampu mempertahankan negeri ini dengan kemenangan yang kukuh, walaupun majoriti kerusi berkurangan tetapi majoriti yang adapun pada paras yang besar contohnya Johor Bahru dari 46,000 pada 2004 kepada 26,000 pada pilihanraya lalu tetapi hakikatnya jika mengambilkira scenario seluruh negara majoriti 26,000 masih lagi majoriti yang besar dan kita lihat sokongan diberi tanpa mengira kaum.

SOALAN : Dato’, Budaya UMNO Johor memang dikenali dan dihormati seluruh negara. Dari penyatuan orang-orang Melayu yang dilakukan oleh Dato Onn Jaafar sehingga tertubuhnya UMNO di Istana Besar, Resolusi Melayu Johor (RMJ) pada 18 Disember 1988 dan Penjelajahan Dato’ ke serata negeri Johor untuk memberi penjelasan akibat krisis dalaman UMNO sejurus Datuk Seri Anwar dipecat pada 1997 sehinggalah cadangan Peralihan Kuasa yang dilakukan oleh Perhubungan UMNO Negeri sewaktu kunjungan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Johor sebelum ini (tiga minggu selepas PRU12). Budaya UMNO Johor yang mengutamakan perpaduan dan kekukuhan bangsa agama dan negara cukup jelas. Bolah tak Dato jelaskan serba sedikit mengenai RMJ dan penglibatan Dato’ ketika itu, siri penjelajaan Dato’ pada 1997 dan cadangan peralihan kuasa sewaktu mesyuarat Perhubungan UMNO negeri yang turut dihadiri Pak Lah? Kesimpulannya apakah pandangan Dato’ mengenai Budaya UMNO Johor ini?

DATO’ GHANI: Pada tahun 1988, UMNO Johor dan orang melayu Johor menghadapi cabaran yang luar biasa, tanda-tanda perpecahan dan kurangnya sokongan mereka terhadap UMNO, ini perpecahan yang paling terdekat pernah berlaku, mungkin zaman Dato’ Onn juga berlaku apabila belliau keluar dari UMNO. Pada 1988 itu, UMNO Johor pada keadaan tercabar untuk mengajak Melayu Johor bersatu padusuk dan beri sokongan kpd UMNO. Saya percaya masyarakat melayu Johor masih lagi sedar dan faham betapa pentingnya Melayu di Johor ini bersatu padu melalui UMNO kerana itu merupakan sumber kekuatan orang Melayu di Johor serta ini untuk bersama-sama bangsa lain di Johor ini. Maka dalan RMJ kita mengambil langkah untuk mengajak pimpinan Melayu yang datangnya daripada badan-badan sukerela Melayu dan kepimpinan Melayu Johor termasuki membabitkan Allahyarhan Tun Hussein Onn dan Allahyarham Jalil Hassan untuk mengajak orang Melayu memulihkan keadaan bersama-sama Melayu Johor. Alhamdulillah dengan kepimpinan yang dihormati maka kita berjaya untuk memulihkan perpaduan dan sokongan kepada UMNO Johor dan itu sebenarnya yang berlaku. Saya serba-sedikit terbabit kerana saya berpegang kepada perjuangan iaitu mengatasi perpecahan dan mengajak perpaduan. Ia satu usaha begitu bermakna dan murni dan saya bersama-sama rakan-rakan lain dengan penuh komitmen dan ini satu pengalaman yang amat bermakna ke arah mengekalkan perpaduan Melayu Johor melalui UMNO. Satu lagi cabaran ialah apabila kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya melihat bahawa Melayu Johor rata-rata tidak terpengaruh hingga membawa perpecahan dan sokongan mereka disebabkan kes itu. Sekadarkan mereka perlu penjelasan dan penerangan yang jelas mengenainya dan saya mengambil langkah untuk bersama semua kepimpinan di Johor ini sama ada di peringkat masyarakat tempatan, daerah dan negeri semuanya terbabit tanpa mengira agama dan budaya dan saya sampaikan dalam tempoh dua bulan setiap hari dan Alhamdulillah pada pilihanraya 1999, kita berjaya dengan begitu baiknya walaupun negeri lain teruk sehingga Terengganupun tewas kepada Pas ketika itu.
Mengenai pelan peralihan kepimpinan, selepas tiga minggu pilihanraya UMUM ke-12, Umno Johor yang bermesyuarat telahpun mengambil keputusan bersama-sama dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memperkukuhkan parti dan menganjurkan Pak Lah untuk peralihan kepimpinan kerana kita berpendapat bahawa kita perlu kepimpinan pada tempoh cukup masa untuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihanraya yang ke-13. Ia berlaku tiga minggu selepas PRU12.. Selepas itu barulah timbul ayat peralihan kuasa atau kepimpinan. Sekadarkan tarikhnya sahaja dan Pak Lah cadangkan Jun 2010 tetapi untuk sampai 2010 banyak perkara akan berlaku sama ada ia akan memperkukuhkan lagi Pak Lah ataupun lebih mencabar kepimpinan beliau. Apa yang berlaku sejak kebelakangan ini kita lihat hanya kepada lebih banyak mencabar kepimpinannya dan Pak Lah pun maklum dan saya percaya ia dipercepatkan dan kita dimaklumkan ia dipendekkan kepada Mac 2009. Kita tunggulah pengumumannya sementara kita menunggu Mac 2009. UMNO Johor dan kepimpinan Melayu di semua peringkat yang amat dihargai di negeri ini ialah perpaduannya. Apapun berlaku sama ada pengaruh luarannya atau dalamnya, ia tidak merosakkan perpaduan UMNO dan masyarakat Melayu itu sendiri. Memang ada yang simpati kepada pembangkang seperti Pas di Johor tetapi ia tidak menjelaskan UMNO. Melayu di Johor amat menghayati pentingnya perpaduan dan faham Melayu Johor dan Melayu UMNO Johor dan ia terus dapat dipupuk di peringkat akar umbi serta terbabit dalam semua aspek tidak kira dalam hal pendidikan, kemasyarakat, keagamaan dan sebagainya dan UMNO Johor mempunyai peranan yang kuat dalam masyarakat. Maka perpaduan itu dapat dipupuk secara berteusan di peringkat akar umbi UMNO. Agama Islam di Johor juga tidak menjadi sumber perpecahan, mungkin pendidikan agama yang menyeluruh di semua peringkat dan kebanyakan rakyat bersekolah agama jadi mereka faham dan tidak mudah dipesongkan fahaman serta kepercayaannya seperti isu kafir mengkafir dan ia berlaku dalam setiap anak Johor yang dapat mempertahankan Melayu melalui UMNO di Johor.


SOALAN : Ada yang berpendapat penangguhan ini tidak wajar kerana hanya tiga bulan sedangkan mesyuarat cawangan dan bahagian diteruskan. Apa komen Dato’?

DATO’ GHANI: Satu yang perlu kita terima ialah tempoh peralihan kepimpinan dipendekkan daripada 18 bulan kepada tiga bulan dan ini dapat meredakan cawangan dan bahagian khususnya untuk persidangan bahagian berlangsung pada bulan Oktober ini. Saya berpendapat kita perlu melihatnya secara positif kerana tempoh peralihan telah dipendekkan pada tempoh yang paling ringkas mungkin dan kini ia meredakan keadaan dan tanda tanya yang tercetus dan rata-rata dapat meredakan keadaan yang suasana yang ada di peringkat akar umbi di seluruh negara untuk membolehkan persidangan bahagian berjalan secara tersusun selepas itu kita lalui pula bulan November, Disember, Januari, Februari dan Mac untuk kita timbangkan pemilihan peringkat kebangsaan. Saya ulangi lagi, tujuan utamanya ialah memendekkan proses peralihan kepimpinan dan itu yang paling penting untuk kita terima dengan baik penangguhan tersebut.

SOALAN : Johor sememangnya sinonim dengan keanggotaan dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Pada Perhimpunan Agung UMNO Mac 2009 nanti, ramai calon-calon dari Johor yang akan menawarkan diri. Bagaimana dengan Dato’ sendiri?

DATO’ GHANI: Saya melihat negeri Johor banyak tokoh yang boleh dipertimbangkan perwakilan di peringkat negara untuk pemilihan di beberapa peringkat dalam kepimpinan Majlis Tertinggi. Daripada pengumuman kita lihat ramai tokoh dari UMNO Johor yang menawar diri dan saya percaya perwakilan seluruh negara dapat mempertimbangkannya dan elok kita berikan tumpuan kepada mereka yang telah menawarkan diri, untuk dipertimbangkan di peringkat pencalonan dan seterusnya untuk perwakilan menimbangkan tentang calon-calon yang cukup di segi pencalonan sama ada dari negeri Johor atau negeri-negeri lain.

SOALAN : Bagaimana Dato’ melihat calon-calon dari Johor ini? Adakah UMNO Johor telah berjaya melahirkan pemimpin pelapis dalam UMNO?

DATO’ GHANI: Dalam parti kita sentiasa mempunyai pelapis termasuk dalam Pemuda dan Puteri. Pada pilihanraya pada 2004 banyak kerusi diberi kepada kepimpinan pemuda dan pelapis ada di dalam parti dan diberi peluang untuk bersama sama dalam pilihanraya dan dalam kerajaan dan di negeri Johor ini, kita sentiasa melalui proses membawa ke tengah pimpinan pelapis dalam tempoh-tempoh tertentu. Sebelum 2004, mereka yang bertanding rata-rata datang dari generasi yang agak lebih awal dari pelapis yang ada hari ini seperti Cikgu Kadir, Datuk Ali Hasaan dan Datuk Zainal Abidin Zain, Malik Munip, Haji Miseran dan ramai orang muda mendapat tempat tetapi ada juga yang kecundang sepenggal kerana prestadi yang kurang memberangsangkan.


SOALAN : Tun Dr Mahathir telahpun menyatakan hasrat untuk kembali kepada UMNO dan ramai beranggapan ia akan membantu memulihkan keyakinan orang Melayu kepada UMNO dan bukan Melayu kepada BN, namun ada juga yang berpendapat sebaliknya. Bagaimana Dato’ melihat kesan kemasukan semula Tun sebagai ahli UMNO ini?

DATO’ GHANI: Pertama saya tidak faham mengapa dia tinggalkan UMNO sehingga dia mengambil langkah tersebut, tetapi apapun saya amat mengalu-alukan Tun untuk bersama-sama dengan UMNO dan percaya Tun masih mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan rakyat Malaysia tentang apapun yang berlaku terhadap tindakan Tun tetapi saya percaya Tun masih lagi diikuti oleh rakyat Malaysia dan saya percaya Tun dapat memperkukuhkan UMNO serta BN. Saya mengalu-alukannya dan percaya ia mampu memperkukuhkan parti.

SOALAN : Dato’ hari ini, kaum-kaum lain selain Melayu dilihat mula menjauhkan diri daripada BN, mereka mungkin lebih percaya dengan janji-janji Datuk Seri Anwar mengenai persamaan hak di negara ini. Bibit perkauman semakin menebal. Apa komen Dato’ mengenai keadaan ini termasuk kontrak sosial yang telahpun dipersetujui oleh pemimpin terdahulu?

DATO’ GHANI: Saya berpendapat bahawa parti-parti komponen yang masyarakat Cina dan India telahpun bersama UMNO sejak 60 tahun lalu, terbukti kerjasama dan persefahaman antara komponen, MCA khususnya dan MIC. Ia terbukti membawa kepada suasana yang harmoni setabil dan kepada kemajuan serta pembangunan membela kepentingan rakyat sepanjang 60 tahun bersama parti komponen dalam perikatan dan BN. Soal kesamarataan hak sebagainya tidak berbangkit, tidak sepatutnya ada yang boleh mendakwa dia warganegara kelas kedua, setiap individu mempunyai hak dalam perlembagaan dan dapat dibuktikan dengan hidup seharian. Mana ada orang di Malaysia boleh mendakwa sedemikian sama ada peluang dan kedudukan, Mungkin ada yang miskin tetapi kita bantu. Sekadarkan parti pembangkang telahpun mempergunakan dan mempermainkan soal tidak samarataan ini dan dapat mempengaruhi pemiliran setengah-setengah pihak termasuk generasi muda yang mungkin terbawa-bawa dengan tuntutan yang sempit oleh mereka. Walaupun ada peruntukan hak dan keistimewaan orang Melayu tidak bermakna yang lain sebagai kelas kedua. Dalam perlembagaan kita semua mempunyai hak yang sewajarnya. Sekiranya ada pihak yang merasa terpinggir mungkin bukan kerana diskriminasi seperti di sesetengah negara tetapi mungkin ada pelaksanaan dasar yang tidak tepat yang boleh diperbetulkan. Tidak ada amalan diskriminasi dan ini dapat dilihat dalam hidup seharian kita.


SOALAN Bagaimana pandangan Dato’ mengenai taktik DS Anwar dan PKR yang dilihat mengadaikan agenda perjuangan bangsa hanya untuk mencapai cita-cita individu untuk menjadi Perdana Menteri?

DATO’ GHANI: Kita melihat bahawa, satu langkah untuk mencetuskan rasa tidak puas hati dikalangan bukan Melayu. Datuk Seri Anwar mengambil pendirian berbeza-beza bila bercakap dengan orang Melayu dan bukan Melayu seperti kumpulan Hindraf jelas dia bercakap berbeza mengikut khalayaknya. Ia menimbulkan rasa tidak puas hati dan jaminan untuk memenuhi rasa tidak puas hati atau kegelisahan yang dicetuskan oleh dia sendiri. Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak mustahil ia akan bertembung di antara satu sama lain yang wujud diantara masyarakat. Ia akan membawa kepada satu keadaan yang tidak akan menjamin kestabilan dan ini bermakna bahawa matlamat mengizinkan cara yang digunakan dan ia sepatutnya tidak boleh diterima oleh rakyat Malaysia kerana matlamat untuk menjadi Perdana Menteri menghalalkan cara sehingga membawa cetusan rasa tidak puas hati dan syak wasangka bahkan curiga antara rakyat sehingga berbalah antara satu dengan yang lain.

SOALAN : Mengenai Pembangunan Wilayah Iskandar, Johor bolehkah Dato’ ceritakan sedikit perkembangan terkininya.

DATO’ GHANI: Iskandar Malaysia telah dilancar DYMM Tuanku dua tahun lalu, komitmen yang paling awal pada pelaburan yang datangnya dari Timur Tengah dan sumber tempatan dan telahpun mula di peringkat pelaksanaannya. Nampaknya ini disusuli pula dengan minat baru yang agak tinggi di kalangan pelabur lain. Ia telahpun mempunyai momentum yang kuat di segi pelaburan dan pelaburan baru yang akan tiba, Ini berlaku dalam pelbagai sektor bukan sahaja dalam bidang baru dan perkhidmatan pelbagai tetapi juga perindustrian termasuk pengeluaran makanan di peringkat moden berskala besar dan lebih berbentuk organik. Saya yakin Iskandar Malayska akan melalui satu arus pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan dan insyaallah akan menempa matlamatnya dalam tempoh 10 tahun terdekat.


SOALAN : Ada sesetengah pendapat ia hanyalah sebagai Wilayah Pembangunan Singapura dan bagaimana dengan jumlah pelaburan di WPI setakat ini? Apakah benar ia hanya menarik minat pelabur Singapura?


DATO’ GHANI: Kita menyangkal sepenuhnya satu tanggapan kita menjadi wilayah ekonomi Singapura. Bahkan, kita tidak boleh menafikan Iskandar Malaysia menjadi satu wiilayah ekonomi yang mencakupi kawasan sekitarnya termasuk Singapura. Bahawa antara IM dan Singapura ia merupakan wilayah ekonomi yang akan menjadi distinasi pelaburan secara besar-besaran dan ia bukan lagi menjadi kawasan komplimenteri kepada Siungapura tetapi menjadi pesaing kepada Singapura kerana kelebihan yang ada kepada IM itu sendiri sepeti kawasannya yang tiga kali lebih besar dari Singapura dan kosnya yang lebih kecil. Hingga kini walaupun kita telah menempuh pelaburan sehingga RM35 billion tetapi belum ada satupun datang daripada Singapura. Saya percaya ianya perlu menerima hakikat IM akan menempa kejayaan dengan kekuatan pelaburan yang datang dengan pelbagai sumber.


SOALAN : Bagaimana pula dengan pembelaan orang-orang Melayu khususnya yang banyak menduduki setinggan-setinggan di sekitar kawasan pembanguanan?

DATO’ GHANI: Satu daripada impak ialah kita juga membawa pembangunan ke kawasan sedia ada termasuk setinggan dan kebetulan di sini akan berlaku juga pembangunan dan ia hanya dapat dilakukan dengan melibatkan mereka, Alhamdulillah satu projek untuk mereka yang sedangpun dirancang untuk pelaksanaan dan dijalankan pada 2008 ini juga. Ia akan melibatkan kira-kira 5,000 setinggan diantara perairan Sg Tebrau Plentong, sempena untuk pembinaan lebih raya penyuraian ke timur yang menghubungkan kompleks kastam dan imigresen dengen interchain di pandan dengan pembangunan di skudai kiri dan kita telahpun mempunyai peruntukan yang cukup dan kita merancang untuk mereka mempunyai rumah yang lebih selesa di segi keluasannya dan kita akan pastikan kita dapat selesaikan masalah setinggan dalam IM ini.

SOALAN : Selain itu, pembangkang sentiasa mencari kesempatan untuk memperjuangkan isu setinggan dan pembangunan yang dirancang kerajaan sentiasa dijadikan isu untuk menimbulkan kemarahan rakyat. Apa pandangan dan nasihat Dato’ kepada penduduk terbabit dan apa jaminan nasib mereka akan terbela?

DATO’ GHANI: Pembangkang ini sebenarnya mengambil isu setinggan ni ditengah jalan sahaja, Ia telah diambil kira oleh kerajaan untuk penyelesaian muktamat. Mungkin ia memakan sedikit masa dan pembangkang ambil kesempatan untuk bertemu mereka kononnya suara pembangkang lebih nyaring tetapi sebenarnya tidak begitu. Apapun semuanya telah diambil kira kerajaan dan semuanya telah diperingkat kira rancang dan penyelesaian sama ada di barat Iskandar dan di timur termasuk di tengah-tengah Iskandar iaitu di Kempas.

SOALAN : Adakah pembangunan WPI turut mengambil kira peranan kontraktor Bumiputera dan jika ada apakah nisbah pengagihan berkenaan.

DATO’ GHANI: Kita bermula dengan kerja-kerja infrastruktur yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui IRDA sebagai permulaan antara RM2 hingga 3 bilion dan dari jumlah itu, 60% untuk bumiputera melalui tender terbuka. Daripada 60% itu kita peruntukan pula kepada Bumiputera Johor dan bakinya untuk umum dan saya percaya khususnya yang mendaftar di Johor sentiasa mengambil kesempatan untuk bersaing untuk Bumiputera dan sekurang-kurangnya jelas kita memberi peluang kepada mereka ini, Kita tidak mengambil langkah runding terus tetapi di Johor ini kita menggunakan pendekatan tender terbuka walaupun di kalangan Bumiputera kerana saya percaya kepentingan rakyat akan dapat dijaga melalui tender terbuka dan kita mengelak kerja-kerja runding terus lebih-lebih lagi yang agak besar di IM ini.


SOALAN : Selain daripada pembanguan seperti WPI, Dato’ telah lama memperkenalkan pembangunan holistik di negeri ini. Apakah Dato’ berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini?

DATO GHANI: Yang terpaksa kita elakkan pembangunan yang tempang dan menekankan ekonomi sahaja, kita bersyukur Johor tidak sepi daripada pembangunan dan ia berlaku secara berterusan sehingga Johor mampu menyediakan peluang pekerjaan yang besar termasuk dari Sabah, Sarawak dan utara tanah air dan kita nikmati pertumbuhan secara berterusan. Tetapi jika itu sahaja berlaku di Johor saya anggap ia pembangunan yang tempang kerana ia membawa kesan-kesan lain. Sebab itu kita menekankan pembangunan holistik supaya ia tidak rosak dan tercemar dan membawa kepada kerosakan alam semula jadi, masyarakat, sosial, keagamaan, kebudayaan supaya pembangunan yang berlaku ia adalah pembangunan yang ada ketahanan. Jika tidak ia tempang dan rapuh. Ia memerlukan usaha yang berterusan untuk melihat hasilnya. Di Johor kita harap pembangunan holistik ini akan menyediakan pembangunan kemakmuran yang mempunyai ketahanannya.


SOALAN : Tentunya idea Dato’ supaya rakyat membudayakan AlQuran dan Hadis yang kini masih diamalkan khususnya seluruh kakitangan kerajaan setiap hari Jumaat. Bagaimana Dato’ melihat kejayaan program ini.


DATO’ GHANI: Setiap kali kita diingatkan bahawa Rasullullah sebelum wafatnya baginda telahpun menyeru bahawa umat tidak akan sesat sekali-sekali apabila berpandu al-quran dan hadis sepanjang zaman. Jadi, kita di Johor ini selepas belajar tajwit dan sebutannya di peringkat kanak-kanak dan remaja dan hanya ulangi semasa bulan puasa, saya melihat sempena membudaya al-quran ini kita harap ia dibaca sepanjang hayat dan alhamdulillah dapat sambutan. Setiap hari apabila dibaca kita perlu pula memahaminya selepas membaca dan terjemahannya sepanjang lebih 12 tahun. Kini kita mula mendalaminya lagi kandungan al-quran. Oleh itu, kerajaan akan melantik pakar tafsir al-quran untuk diwujudkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri dengan harapan pakar tafsir ini akan meyampaikan kandungannya kepada masyarakat tempatan yang akan difahami kandungannya melalui pakar dan ahli tafsir dan kerajaan Johor akan melantik 56 semuanya supaya ia lebih tersusun, sistematik dan umat Islam mendalami al-quran sepanjang hayat dan kita buat ini semua sempena pesan Rasululah agar ia menjadi panduan hidup sepanjang zaman.


SOALAN : Bagaimanapula dengan Kolej Kominiti yang turut lahir hasil pembangunan holistic?.

Sebahagian daripada anak Johor yang keluar sekolah tanpa kemahiran sekadarkan apa yang diperolehi dari bilik darjah hingga tingkatan lima, Sebahagian besar terpaksa masuk pasaran buruh tanpa kemahiran langsung dan mereka terdedah pelbagai kegiatan kerja yang mungkin beri kemahiran. Di Johor kita ambil dua langkah, pertama tingkatkan prestasi anak-anak di sekolah dengan membawa pendekatan tuisyen kampung, di bandar-bandar ada tuisyen swasta tetapi tidak di kampung jadi kita laksanakan lebih 10-12 tahun lalu dan tidak kurang 32,000 pelajar sepanjang tahun menikmatinya dan kita belanja RM3 juta setahun dan peningkatan prestasi mereka. Selepas sekolah di mana mereka? Nak ke universiti ada yang tak sampai, jadi kita sediakan pilihan sijil dan diploma untuk mereka sebelum masuk ke pasaran tenaga kerja dengan kemahiran dan alhamdulillah ia telah berjaya dan diterima oleh pasaran dan industri. Ia merupakan peluang kedua untuk anak-anak dari bangku sekolah untuk anak dapat peluang pendidikan berterusan. Walaupun tak sampai universiti serta-merta ia dapat kemahiran dan mungkin boleh sampai peringkat professional. Alhamdullillah ia merupakan satu kejayaan dan bukan sahaja terhad kepada anak Johor tetapi juga anak-anak negeri lain.

SOALAN : YWJ yang mula dikenali bukan sahaja di negara ini malah di peringkat antarabangsa. Bagaimana Dato’ melihat perkembangannya?.

DATO’ GHANI: Budaya ini di segi tradisi, amalan, jati diri, pengenalan dan identiti sesebuah masyarakat di Johor ini ialah kekayan budayaan-budayaan sama ada muzik, tariannya, hidupnya mempunyai tradisinya, Alhamdulillah kita telah bangunkan kekuatan melalui YWJ yang dapat membawa ke tengah tentang tradisi dan budaya di Johor dan saya lihat ia sebagai identiti yang ada pada masyarakat di Johor dan ia tidak hanya terhad kepada masyarakat Melayu tetapi juga masyarakat Cina dan India termasuk tarian. Sempena penekanan ini, kita telah menempa kejayaan, baik dengan kepelbagaian amalan budaya dan pada tahap dan mutu yang tinggi sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan ini merupakan dimensi pembangunan holistik yang memberi ketahanan jadi diri.

SOALAN : Selepas lebih enam bulan pilihanraya UMUM ke12 lalu, adakah Dato’ berpuas hati dengan pencapaian dan komitmen semua wakil-wakil rakyat Barisan Nasional? Dan bagaimana pula dengan kehadiran wakil rakyat pembangkang dalam Sidang DUN?

DATO’ GHANI: Enam bulan agak terlalu awal untuk dinilai. Saya akan berjumpa dengan mereka di kawasan masing-masing dan akan menerima laporan kerja-kerja yang telah dibuat oleh mereka. Saya akan menunggu sehingga 2009 untuk sampai ke semua DUN atau Parlimen untuk berbincang bagaimana mereka dapat memberikan perkhidmatan yang baik kepada pengundi-pengundi. Ini agak penting bagi kita kukuhkan kedudukan parti untuk pilihanraya akan datang. Saya mengambil langkah untuk sampai ke setiap parlimen untuk bersama-sama berbincang untuk sama-sama faham dan sedar peranan kita sebagai wakil rakyat lebih-lebih lagi untuk kerajaan menghadapi rakyat dalam pilihanraya akan datang.


SOALAN : Dalam kerancakan persidangan UMNO Bahagian yang akan menjelang mulai 9 Oktober hingga 9 November nanti, Apakah nasihat Dato’ kepada semua perwakilan cawangan ke bahagian itu nanti dan apakah harapan Dato’ pada persidangan bahagian kali ini?

DATO’ GHANI: Saya meletakkan harapan supaya persidangan di bahagian akan berjalan teratur dan tersusun mengikut agenda dan mempunyai pendapat bernas untuk mendapat perhatian kepimpinan bahagian dan proses pemilihan berlaku dengan sangat tertip, supaya di Johor ini kita dapat melalui satu proses persidangan dan pemilihan yang teratur dan penuh ketertipan. Saya tekankan bahawa jika ada pihak yang menggunakan wang untuk dapatkan sokongan supaya kita tolak untuk dia dipilih jadi pemimpin kerana mereka yang mengggunakan politik wang tidak perlu dipilih kerana ia sebenarnya tidak mempunyai kemampuan untuk membela kita.

SOALAN : Akhir sekali, sempena Hari Raya yang menjelang, apakah mesej yang hendak Dato’ sampaikan kepada rakyat beragama Islam di seluruh negara?

DATO’ GHANI: Kita sewajarnya bersyukur dengan penuh keikhlasan atas pemberian tuhan kepada kita kerana kira dapat menyempurnakan puasa hari ini dalam keadaan baik, aman dan damai dan juga kita mengambil kesempatan ini untuk kita semua memperbaiki hubungan sesama kita. Satu yang amat penting ialah kekuatan pada seseorang melalui keluarga masing-masing dan inilah diantara institusi dan benteng yang paling kukuh dan kuat untuk menghadapi apa juga cabaran, jadi kita kena ambil kesempatan untuk memperkuatkannya bersama keluarga dan jiran-jiran kita, kita juga dapat mengambil kesempatan mewujudkan suasana muhibbah sesama masyarakat berbilang kaum dengan cara menerima kunjungan mereka dan kepelbagaian ini sebenarnya tidak membawa perpecahan dan perbezaan tetapi memupuk dan mewujudkan rasa muhibbah antara kita.

SOALAN : Terima kasih Dato’

DATO’ GHANI: Sama-sama.

Tiada ulasan: