Khamis, 6 Ogos 2009

ISA: Apabila Melayu jadi balaci

MELAYU itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun


Jika menipu pun masih bersopan


Bila mengampu bijak beralas tangan


Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara
Malangnya Melayu itu kuat bersorak


Terlalu ghairah pesta temasya


Sawah sejalur tinggal sejengkal


Tanah sebidang mudah terjual


Itulah antara bait-bait puitis sajak Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang, merungkai sikap bangsa Melayu sedangkan kampung telah tergadai, negara mahu dijualnya.

Mungkin juga sajak itu paling sesuai dalam memperkatakan mengenai tindakan segolongan kecil penderhaka bangsa bertempik, bersorak, berpesta melaungkan kononnya ‘Mansuhkan ISA’. Mereka lupa akta itulah yang telah menjadikan negara kita selamat, aman dan makmur sejak 52 tahun kemerdekaan negara.

Malu, marah, geram, kesal, muak, mual semua perasaan itu timbul apabila melihat wajah-wajah pengkhianat bangsa Melayu, kebanyakan berkopiah serta bertudung, yang sanggup menjadi balaci atau orang suruhan hanya untuk menganggu-gugat keamanan dan kestabilan negara yang telah kita kecapi selama ini.

Kenapa dalam zaman moden ini dan kebanyakannya berpelajaran sanggup diperkudakan hanya untuk kepentingan politik golongan tertentu sahaja yang berhasrat mengalih perhatian masyarakat terhadap masalah dalaman yang melanda pembangkang dan isu peribadi yang dihadapi.

Sekalung tahniah kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang tegas dan berjaya memastikan golongan teramai tidak menjadi mangsa demonstrasi berkenaan.

Beliau berjaya memastikan pihak polis menjalankan tugas dari awal dengan menyekat laluan utama ke kawasan yang dirancang dan menahan mereka serta mendakwa sesiapa sahaja yang menyebabkan ia berlaku. Jelas dalam dirinya, yang salah tetap salah dan yang haram tetap haram.

Dakwaan pembangkang perhimpunan itu berjaya nyata meleset apabila sasaran 100,000 akan hadir tetapi hanya sekitar 5,000 dan 7,000 sahaja yang hadir.

Sedarkah orang Melayu, daripada 589 orang yang ditangkap 99 peratus atau 583 orang adalah Melayu dan 27 orang daripadanya pelajar, termasuk 20 orang pelajar sekolah di bawah 17 tahun.

Apabila polis menjalankan undang-undang dengan tegas, pembangkang mulalah mencanangkan ke seluruh dunia mendakwa polis zalim dan mengikut telunjuk UMNO. Ada juga kenyataan mereka yang sanggup berkata, polis sengaja berbuat demikian sebagai membalas dendam hasrat pembangkang yang mahukan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, meletak jawatan dan tidak disambung perkhidmatannya.

Persoalannya, bukankah polis dan menteri berkaitan sudah acap kali memberi amaran.

Bukankah perhimpunan itu tidak mempunyai permit. Yang haram tetap haram. Mana boleh yang hitam hendak diputihkan.

Bukankah sejak hari pertama Datuk Seri Najib Tun Razak memegang tampuk pemerintahan negara, beliau sudah memberi jaminan ISA akan dikaji semula. Jadi tunggulah kajian, janganlah lebih sudu daripada kuahnya.

Mereka yang bertanggungjawab dan menjadi dalang di sebalik perhimpunan itu patut didakwa dan dikenakan hukuman yang berat bagi menjadi contoh bagi rakyat lain agar tidak melakukan kesilapan yang serupa.

Kepada mereka yang mengikuti demonstrasi berkenaan, bacalah akta berkenaan sebelum meminta ia dibubarkan. Janganlah hanya mahu menang sorak sedangkan kampung dan negara menjadi galang gantinya.

Bayangkanlah sekiranya tanpa akta seumpama itu. Walaupun kerajaan sudah tahu seseorang mahu menghancurkan negara, tetapi tidak boleh bertindak awal kerana mahu menunggu ia melakukan kesalahan baru hendak ditangkap. Kehancuran sudah berlaku baru boleh bertindak.

Saya harap mereka bersembahyang istiharah sebelum melakukan perbuatan seumpama itu. Mintalah petunjuk daripada Allah SWT sama ada betul atau tidak tindakan yang telah menimbulkan kekacauan, kerosakan dan kehancuran kepada negara.

Janganlah hanya pandai memakai baju yang tertulis perkataan ‘ISA Bukan Cara Islam’ tetapi lupa tindakan mereka itu lebih jauh tidak Islam.


yusaini ali
diterbitkan di utusan malaysia pada 6 Ogos 2009.

E9 TEMUI PEMBACA OKTOBER 2009

Bagi pihak penerbit kami meminta maaf kerana majalah E9 dihentikan sementara penerbitannya bagi membolehkan ia diterbitkan lebih menarik dan berkala sebulan sekali mulai Oktober 2009 ini.

Saya mendapat banyak email dari pembaca yang mencari majalah ini dikedai-kedai tetapi tidak ditemui, untuk makluman semua, majalah ini sebelum ini adalah peringkat percubaan dan promosi sebanyak 5 keluaran.

Pihak kami kini sudahpun mendapat maklum balas positif daripada pembaca dan ia akan menemui pembaca mulai Oktober ini, insyaallah.

Sekian, terima kasih.