Jumaat, 17 Oktober 2008

BIAR PAPA, ASAL BERGAYA

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menafikan ujudnya “Perjanjian Pangkor II”, dakwaan yang dibuat abangnya, Fadhil Jamaluddin. Begitupun, kemungkinannya sukar diketepikan yang membawa kepada persoalan berikutnya: bagaimana kedudukan Pas sebenarnya?

OLEH MUHAYA RADEN SALLEH

Perak membawa signifikasi besar dalam sejarah tanah Melayu ini. Di bumi kelahiran Datuk Maharajalela itulah, Inggeris meloloskan dirinya bagi mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Melayu lewat Perjanjian Pangkor pada 1874.
Datuk Maharajalela disifatkan Inggeris sebagai pemberontak selepas dia dikatakan merancang pembunuhan Residen Inggeris ketika itu, JWW Birch yang sedang mandi di Sungai Perak dalam satu peristiwa berdarah di Pasir Salak. Pembunuhan itu dirancang ekoran sikap Birch yang antaranya, tidak menghormati adat resam, budaya serta hal-hal membabitkan Melayu dan kuasa istana.
Ironinya, maharajalela iaitu gelaran yang diberi kepada kepala menteri yang tugasnya memenggal kepala orang yang bersalah kepada raja, juga digunakan bagi merujuk perbuatan sesuka hati atau sewenang-wenangnya.
Dan, 134 tahun selepas termeterainya perjanjian itu, Perak digoyahkan lagi dengan perkhabaran mengenai keujudan perjanjian seumpamanya yang dikatakan ditandatangani antara Menteri Besar (MB) Perak dan DAP Perak.
Perjanjian yang dinafikan Mohamad Nizar, tapi hairannya mengapa sampai begitu sekali ‘pembohongan’ abangnya yang turut menganggap adiknya tidak layak menjadi Menteri Besar bagi kerajaan campuran Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu?
Ia yang dijoloki “Perjanjian Pangkor II”, antara lain melarang Menteri Besar menyebut negeri Perak diperintah oleh Islam, selain menafikan haknya untuk membuat keputusan tapi mesti diperakukan semua ahli Exco.
Jika benar ujud, menurut pakar Perlembagaan Persekutuan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, ia adalah satu “kedayusan politik.”
Dalam satu kenyataannya, dia dipetik berkata, perjanjian seumpamanya tidak mengikat kedudukan Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaannya, tambahan DAP “tiada locus standi”, iaitu hak undang-undang untuk memaksa MB mengikut telunjuk mereka apatah lagi melarang Islam dikait dalam pemerintahannya.
Sambil menyatakan kehairanannya mengenai perjanjian seumpamanya, jika ujud, dia berkata, “Sama ada MB sudah lupa asal usulnya atau dia telah dijual bulat-bulat oleh DAP.”
Manakala Mohamad Nizar berkata, abangnya telah dipergunakan oleh pihak tertentu sehingga mengeluarkan kenyataan sedemikian yang disifatkan sebagai “tohmahan tidak berasas sama sekali.”
Dia bukan saja menempelak mereka yang mempercayai ujudnya perjanjian seperti itu sebagai tidak mempunyai cukup maklumat, malah “berfikiran singkat.”
Soalnya, dengan kekecohan sejak hal perlantikan MBnya yang dicetuskan DAP selepas pembangkang merampas Perak dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, keujudan perjanjian seumpamanya adalah satu kebarangkalian yang tidak dapat dinafikan.
Jika benar, begitu terdesakkah Pas?
Pas barangkali menyedari adalah sukar untuk parti yang berteraskan agama itu menubuhkan kerajaan, dan hanya menerusi gabungan bersama parti pembangkang seperti DAP dan PKR barulah mereka dapat memerintah. Atau, itu yang mereka sangka.
Sedang Pas menyedari, hakikatnya mereka hampir tiada suara dalam pakatan itu. Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan obsesinya untuk menjadi Perdana Menteri, jawatan sama yang dicadang Dewan Ulama Pas patut disandang Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi menyatakan ketegasan Pas bagi mempertahankan Islam sebagai teras perjuangannya , namun bukan rahsia bahawa ia bertentangan dengan pendirian teman pakatannya, DAP yang ‘langkah mayat dulu.’
Pas, dalam satu kenyataannya menerusi Abdul Hadi yang disiarkan Harakahdaily.net, berkata “PAS bukannya sebuah parti politik semata-mata, tetapi adalah satu wadah dakwah dan tarbiyah.
“Perjuangan PAS adalah bersifat universal, untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan sejagat.”
Masalahnya, bolehkah rakyat mempercayai Pas yang mendapat tentangan daripada dalaman PR sendiri, seperti di Perak apabila DAP yang meletak syarat awal termasuk mahukan wakil mereka dilantik MB walaupun menyedari perlembagaan Perak tidak membenarkan bukan Islam menjawat jawatan nombor satu kerajaan negeri itu.
Malah, DAP sempat mengancam untuk memboikot majlis angkat sumpah di hadapan pemangku Sultan Perak, Datuk Raja Dr Nazrin Shah itu sebelum mereka dilapor kembali dengan permohonan maaf dan menerima perlantikan Mohamad Nizar. Selepas kekecohan yang ditimbulkan, begitu sajakah DAP merelakan Mohamad Nizar menjadi MB Perak?
Sebesar manakah pengaruh Pas dalam perikatan pembangkang?
Pas mungkin gah di Kelantan yang harus diakui, tapi setakat itu sajalah. Bagi memastikan Pas boleh memimpin, parti itu harus punya suara. Dan, perkara paling pokok yang perlu difikirkan Pas dan pengikutnya, apakah parti itu dipandang dalam PR?
Dalam isu penubuhan kerajaan baru yang dicanang Anwar ke seantero dunia sehingga membabitkan kedutaan Turki, mantan Presiden Indonesia Gus Dur malah Amerika Syarikat, Abdul Hadi yang ditanya apakah Pas mengiktiraf daan mahukanKetua Pembangkang itu yang sedang menghadapi tuduhan liwat, kali kedua, sebelum ini Ahli Parlimen Marang itu, berkata: “Apa pun kena tunggu Anwar menang pilihan raya kecil terlebih dulu dan hingga berlaku perubahan di Parlimen.
“Kita tunggu beliau menang dulu, lepas menang kita tunggu 16 September.”
Menjelang 16 September, dan Barisan Nasional nampaknya terus menguasai kerajaan dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih Perdana Menteri Malaysia, Abdul Hadi dipetik berkata, “Janganlah hendak jadi Mat Jenin.
“Jika kerajaan baru tidak berteraskan Islam, Pas tidak akan berkompromi. Tidak kiralah sama ada Anwar atau Umno yang akan menjadi Perdana Menteri. Ini adalah pendirian saya sebagai Presiden Pas.”
Perak yang menyaksikan kemenangan besar buat DAP, tetapi terpaksa berMenteri Besar orang Pas dengan isu-isu yang berbangkit, terutama berhubung hal tanah, daripada pemberian 400 hektar kepada sekolah persendirian Cina untuk dijadikan syarikat bagi menampung perbelanjaan ke hak milik 999 tahun yang disifatkan “luar biasa” diberi kepada kampung baru yang 85% diduduki bukan Melayu, nyata ujian getir buat kepimpinan parti itu.
Soalnya, jika Perak pun bermasalah buat Pas, bagaimana hendak memimpin negara?
“Pas Untuk Semua” menjadi tema Muktamar Pas ke-54 lalu yang menyaksikan Naib Presidennya, Mohamad Sabu senyum berjabat tangan menyambut kehadiran Anwar yang pernah dijolokinya “Al Juburi”. Jadi, sejauh manakah Pas bersedia untuk mengorbankan ideolgi mereka dalam perjuangannya? Dan, lebih penting apakah “semua” bersedia untuk Pas?

* Artikel ini disiarkan di dalam Majalah E9, Isu 3, Oktober/ November 2008

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya percaya ramai yang membaca catatan-catatan bernas saudara selama ini....tetapi lebih kepada pengetahuan politik terkini,diharap akan ada pembaca-pembaca bijakpandai memberikan komen untuk kami sama-sama berkongsi idea saudara.....

Tanpa Nama berkata...

wahai saudara pengarang... saya tertarik dengan majalah anda dan segala artikel yg dicoretkan di dalam majalah e9. tetapi saya tertanya tanya. Dimanakah saya boleh mendapatkan/ melanggani majalah anda?.

M.Faizul Sadri
blitz_mode@yahoo.com
http://senirumput.fotopages.com