Skandal rasuah di Perak, membabitkan antaranya Ahli Majlis Daerah memberi makna baru terhadap zina apabila perempuan menjadi ‘sedekah’ yang tidak dapat ditolak.
OLEH AJENG ARIA
Perempuan. Macam perumpamaan orang Melayu, “rezeki jangan ditolak, maut jangan dicari”, dan kalau ada yang datang menyerahkan tubuh, berperangailah seperti kucing yang pantang melihat ikan di depan mata.
Ego, atau memang dangkal, Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan yang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) dipetik membuat kenyataan ini: “Kita tak minta (perempuan), tak cari, Mohamad Imran yang hantar.
“Serupa juga kalau orang bagi sedekah, awak tak terima ke sedekah itu?”
Ia dibuat selepas rakannya, Fairul Azrim Ismail, 30, mengakui melakukan hubungan seks dengan seorang wanita China selepas diperangkap BPR dan seorang individu bernama Mohamad Imran Abdullah.
Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, menurut laporan akhbar Utusan Malaysia, membuat pengakuan dalam surat aduannya kepada Jabatan Agama Islam Perak (Jaip). Dia bagaimanapun, menafikan meminta rasuah atau habuan seks. Laporan sama dibuat Zul.
Fairul, antara yang ditahan BPR, Ogos lalu berhubung skandal rasuah dan seks membabitkan projek membangunkan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.
Selain Fairul, Zul dan Ruslan Sahat, seorang juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, kes itu turut membabitkan dua anggota Exco Kerajaan Negeri Perak dan seorang mantan Ahli Dewan Undangan Negeri yang didakwa meminta dan menerima rasuah wang.
Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dipetik berkata, kenyataan Zul itu adalah daripada orang yang jahil mengenai hukum agama. Ia juga dianggap cukup bodoh jika bertujuan mempertahankan diri daripada kesalahan yang telah dilakukan.
Kecuali Harussani, ulama Pas dan bijak pandai agama serta pemerhati moral dari parti komponen Pakatan Rakyat (PR) sama ada tidak menyedari mengenai skandal terbaru ini, atau menelan saja kelakuan sumbang seperti itu – atas nama keutuhan parti?
Dan sudah tentu, kesalahan ditimpakan kepada media yang menurut Madzi Hassan, Setiausaha Perhubungan Keadilan Negeri Perak bahawa kenyataan Zul pada 23 September lalu telah “diperbesar-besarkan dan dimanipulasi oleh media yang dikuasai Umno.”
Bagi pihak Zul, Madzi dalam kenyataan akhbarnya, berkata “sedekah” yang dimaksudkan adalah “pemberian” tetapi kesilapan penggunaan istilah itu dimanipulasi media dari sudut keagamaan, bertujuan mengalihkan pandangan daripada isu sebenarnya, iaitu penggunaan seks dan maksiat untuk satu komplot bermotif politik.
Ia disokong Timbalan Pengerusi PKR Perak, Zulkifli Ibrahim yang menyifatkan penggunaan “sedekah” yang merujuk habuan seks oleh Zul itu sebagai “kesilapan bahasa yang tidak disengajakan.”
Pada sidang akhbar itu, dia berkata, “Barangkali itu mungkin kesilapan dari segi bahasa dan sebagainya tapi itu bukan maksud kita menjadikan seks itu sebagai satu sedekah.”
Menakjubkan, bagaimana atas kekesalan serta keinsafan kerana menerima “pemberian” yang telah tersilap sebut sebagai “sedekah” itu, aduan dibuat kepada Jaip bagi menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak yang memfitnah, menghina dan menganiaya.
Salahkan BPR kerana memfitnah. Salahkan Mohamad Imran yang menurut Fairul, “menganjur dan menggalakan saya berbuat maksiat dengan membekalkan seorang wanita China”. Salahkan media kerana memanipulasi “kesilapan bahasa”. Dan, salahkan parti politik lawan yang dituduh dalang kejadian.
Madzi, dalam kenyataan sama, turut melahirkan rasa dukacita kerana “pihak yang merancang projek pemerangkapan ini telah mengeksploitasi wanita-wanita dan warganegara-warganegara asing.”
Membimbangkan katanya, jika jenayah “menggalakkan maksiat” yang “bermotif politik” itu, di mana ujud rakaman video mengenai perbuatan, digunakan sebagai “alat yang ampuh untuk memerangkap musuh politik.”
Dan, pengajaran paling penting dalam skandal ini barangkali, salahkan semua orang tetapi tidak diri sendiri. Lagi pun, apa yang hendak dimalukan? Perempan itu pun bukannya dicari. Jelas, tidak sukar untuk cuba menegakkan benang yang basah apabila ada yang boleh dikambing hitamkan. Cuma perlu, muka yang tebal.
Isnin, 29 September 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan