Rabu, 24 Disember 2008
LAWAK BODOH DI KUALA TERENGGANU
Kemajuan yang dikecepi negara hasil idea negarawan seperti Tun sehingga menjadikan negara ini mempunyai kemudahan kelas pertama tidak sedikitpun diikuti oleh kebanyakan bangsa Melayu sehingga mereka terus menganggap kepimpinan dan pentadbiran negara sebagai medan lawak dan tempat untuk mencari populariti.
MIMPI KARUT TERENGGANU KITE...
Nenek penjual kain batik atau tauke getah sekerap? Calon bebas di pilihan raya kecil Kuala Terengganu seolah beri indikasi politik kini cuma pentas badut.
OLEH AJENG ARIA
Tok Mun, begitu dia diteriak. Ditimpa terik mentari, mengayuh basikal tuanya, garis kedut di wajah yang dimamah usia ini seolah bertambah sejak akhir ini.
Banyak yang hendak difikirkan perempuan ini. Penjualan kain batiknya terasa makin meruncing kerana wang RM10,000 harus tersedia atau dia akan kempunan bertanding di pilihan raya kecil, 17 Januari ini.
Dia paling awal mengumumkan hasratnya bertanding dalam pilihan raya kecil kerusi Parlimen P.36 Kuala Terengganu yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail, 27 November lalu.
Bertanding atas tiket Bebas, dia atau nama sebenarnya, Maimun Yusof, 82, satu-satunya calon perempuan, juga paling tua dan mungkin, paling ‘sengkek’ – jika dia dapat mengumpul wang deposit yang diperlukan untuk melayakkannya menjadi calon.
Dan, dia juga bakal berdepan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh 46, yang direstui Pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi meneruskan legasi Razali.
Razali, Timbalan Menteri Pelajaran menang kerusi di Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dengan majoriti 628 undi, menewaskan calon Pas, Mohamad Sabu selain Tok Mun sendiri yang hilang wang pertaruhan, ketika itu.
Soalnya, hendak diangkatkah perempuan seperti Tok Mun itu? Impiannya itu, adakah tanda kegigihan atau cuma satu kebodohan? Atau, barangkali gelanggang politik memberi publisiti murahan untuknya mengembangkan bisnes kain batiknya?
Duit simpanan Tok Mun hampir RM20,000 lesap begitu saja pada PRU12 lalu. Dengan tabung kontang, cuma berbekalkan impian, dia yang berhasrat menggunakan lambang ‘istana’ selepas ‘kunci’ sebelum ini, dilaporkan mahu meminta bantuan kewangan daripada keluarga dan sanak saudara.
Dalam keadaan begitu pun, Tok Mun memanfaatkan teknologi apabila dia, dalam laporan yang disiarkan Utusan Malaysia, merancang mengujudkan blog, ditaja pihak tertentu, bagi mengumpul deposit yang diperlukan.
Seperti Tok Mun, demokrasi ikut membenarkan tauke getah sekerap, Isma Airfath Hassanuddin, 38, untuk bertanding di pilihan raya kecil ini, juga sebagai calon Bebas.
Dia yang menggunakan lambang ‘kepala harimau’ bagaimanapun bukan anak Terengganu, tapi anak jati Kelantan, dari Kampung Kok Pauh, Rantau Panjang.
Pengalaman di pilihan raya Mac lalu, tewas dalam pertandingan tiga penjuru bagi kerusi Parlimen Rantau Panjang yang dimenangi calon Pas, Siti Zailah Mohd Yusof serta hilang wang pertaruhan, nyata tidak membuatnya serik.
Atau dia memang tidak belajar.
Dan, Isma memberi indikasi yang jelas apabila mengakui “hobi saya” bertanding dalam pilihan raya.
Jangan bersusah payah fikirkan apakah manifesto atau perjuangan calon seperti Isma yang bertanding kali ini untuk membersihkan namanya, konon dia ditaja beberapa ahli Umno Rantau Panjang pada PRU lalu.
Sukar untuk membayangkan apabila dia memberitahu “jangan terperanjat jika saya menang pada pilihan raya kecil ini nanti”, kerana jika itu benar berlaku, satu-satunya alasan yang boleh difikirkan ialah dunia barangkali sudah gila.
Namun, tidak boleh juga dipersoalkan keyakinan dirinya yang tinggi itu lantaran sokongan yang didakwanya diperolehi daripada rakan persatuan kelab bermotor di Terengganu, termasuk ahli persatuan skuter di Kuala Terengganu yang dikatakan “berjanji untuk berkempen secara agresif bagi memastikan saya menang.”
Cuma berbanding Tok Mun, deposit RM10,000 bukan masalah buat Isma yang tidak takut hilang wang pertaruhan kerana menganggapnya sebagai “adat pertandingan.”
Lagak ahli politik sejati, belum apa-apa Isma bagaimanapun ‘dibelasah’ Persatuan Permotoran Terengganu yang menafikan menyokongnya. Presidennya, Tengku Sri Temenggong Raja Tengku Baharuddin Sultan Mahmud dipetik berkata, “Kita membuat penafian ini kerana calon Bebas ini tidak terbabit dengan kita, bukan orang tempatan dan kita tidak tahu menahu mengenai orang ini.”
Biarpun dengan kehadiran calon bebas, dan mungkin daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM), pilihan raya kecil Kuala Terengganu boleh saja dilihat sebagai pertembungan antara Umno dan Pas. Berbeda dengan suasana PRU, ia lebih bersifat peribadi dan calon di kalangan anak jati memainkan sentimen dalam menentukan undian.
Lalu, BN menerusi Timbalan Presidennya, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan calonnya lebih awal sebelum hari penamaan bagi ‘mencuri’ masa untuk diperkenalkan kepada pengundi.
Dia dipetik berkata, “Kita juga berpendapat jika ada masalah sedikit sebanyak, kita ada masa memulih keadaan. Kita ada masa untuk hembus-hembus, bukan hulur (duit) jika ada masalah.”
BN tentunya mengharapkan mandat daripada rakyat di Kuala Terengganu pada 17 Januari ini untuk menebus maruahnya selepas kalah di Permatang Pauh, Ogos lalu.
Begitu pun, kerusi Parlimen itu yang dikosongkan Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan dimenangi suami, iaitu Penasihat Parti Keadlian Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudian diangkat sebagai Ketua Pembangkang, tidak membiaskan suasana di Kuala Terengganu.
Masih, dalam keadaan pengundi diduga memprotes pentadbiran BN pada PRU12 lalu, kerusi Parlimen Kuala Terengganu boleh saja terlepas ke tangan pembangkang seandainya kerajaan tersilap percaturan lantaran tidak merasai parahnya imej parti, khususnya Umno yang terjejas dengan isu korup, terutamanya.
Bagi rakyat di Kuala Terengganu yang menjadi lubuk ilmu, antaranya lewat pengenalan konsep generasi Al-Quran yang diitinggalkan Allahyarham Razali, mandat yang diberikan kepada BN akan membolehkan legasi pemimpin itu diteruskan.
Pengiktirafan hak kerajaan Terengganu dengan penyerahan kembali hak royalti minyak yang diusahakan Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Said antaranya, termasuk cek bernilai RM408 juta oleh Kerajaan Pusat diharap dapat meyakinkan rakyat untuk terus memberikan mandat kepada BN.
Pemilihan kali ini, akui Ahmad yang sendiri, bukan mudah namun sokongan pihak istana dalam perlantikannya dulu menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh diihat antara faktor yang bakal mempengaruhi undi, termasuk penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang dizahirkan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin yang juga Sultan Terengganu.
TIA ditubuhkan bagi memastikan perolehan daripada royalti minyak Terengganu dilaburkan di dalam dan luar negara menerusi pasaran bon bagi memastikan pulangan yang berterusan demi masa depan negeri itu.
Dengan pencapaian diperolehi pentadbiran Ahmad itu, seorang nenek dan tauke getah sekerap misalnya mungkin ibarat ikan bilis dalam pertandingan ini. Namun kehadiran mereka di tengah krisis imej dan kepercayaan yang dialami BN selepas protes yang ditunjukkan rakyat dalam PRU12 lalu dan mencatat kekalahan paling teruk dalam sejarah 50 tahun Umno, membayangkan sesuatu yang amat ngeri dalam suasana politik negara. Terserah.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan