Menteri Besar Johor, YAB Datuk Haji Abdul Ghani Othman berdoa bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Mufti Johor, Dato’ Noh Gadut bersama rakyat di Johor.
LUAH ISI HATI, TOLAK RASUAH POLITIK
OLEH Yusaini Ali
OLEH Yusaini Ali
Nasib, serta masa depan UMNO dicorakkan oleh para pemimpinnya. Namun, kesejahteraan parti berusia 62 tahun itu hanya boleh berlaku di tangan pemimpin yang berkaliber, yang mempunyai keupayaan dan kebijaksanaan di terajunya.
Bermula dengan akar umbilah UMNO akan meneruskan kegemilangannya.
Dan, kata Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, mesyuarat UMNO di peringkat cawangan yang bermula pada 17 Julai lalu adalah satu permulaan dalam menentukan perjalanan parti seterusnya.
Sehubungan itu, menurutnya mesyuarat itu harus dimanfaatkan oleh semua ahli akar umbi untuk meluahkan pandangan terhadap pucuk pimpinan agar parti terus kukuh.
“Keutuhan UMNO bukan cuma kerja pemimpin, namun ia bergantung kepada kekuatan ahli akar umbinya. Jika kuat akarnya, kuatlah keseluruhannya. Sebab itu, mesyuarat cawangan harus digunakan ahli untuk meluahkan isi hati, seperti mengenai kedudukan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lalu.
“Mesyuarat cawangan harus menjadi sebuah forum terbuka kepada ahli. UMNO memerlukan pandangan yang bukan saja bernas, tapi lebih penting jujur dan tidak didorong oleh politik rasuah atau amalan negatif lain,” katanya.
UMNO, kata Abdul Ghani, harus dikembalikan ke landasannya yang asal, terutama dalam memperjuangkan bangsa Melayu.
Oleh tu, “mesyuarat yang bersih” menurutnya menjadi perkara pokok dalam perjalanannya kerana daripada situlah semua cadangan atau usul yang dikemukakan perwakilan akan dibawa ke peringkat bahagian untuk dibincang dan diputuskan.
“Saya percaya, jika ahli akar umbi benar sayangkan UMNO, kasihkan negara dan bangsanya, mesyuarat cawangan ini berupaya membuahkan pandangan yang akan menguatkan ikatan kita.
“Mesyuarat yang bersih, tanpa dipengaruhi kepentingan peribadi terutama dalam pemilihan pemimpin perlu ditekankan ahli agar UMNO sentiasa berada di landasannya, cemerlang dalam perjuangannya membela bangsa dan tanahair,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan