Jumaat, 25 Julai 2008

MISI UMNO KINI MENGEMBALIKAN MARUAH, BERMULA DENGAN PERMUAFAKATAN MELAYU

“KUAT burung kerana sayap, kuat ketam sepitnya", peribahasa Melayu warisan bangsa ini boleh dijadikan iktibar bagi semua pihak khususnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) selepas menyaksikan parti pemerintah itu mengalami kemerosotan undi daripada rakyat pada Pilihanraya UMUM Malaysia ke-12 (PUM 12) yang lalu.
Adat memegang kepercayaan orang, Jangan sekali main belakang; Adat memegang kekuasaan, Jangan sekali merosak-binasakan; Adat memegang kebebasan, Jangan sekali lupa batasan.
Oleh kerana PUM 12 lalu adalah yang pertama bagi negara mengalami pilihanraya selepas 50 tahun kemerdekaanya, pelbagai cabaran yang tidak pernah disangka-sangka kini terpaksa ditempoh oleh BN khususnya selepas mengalami kekalahan di 5+1 di seluruh negara.
Seperti burung yang kekuatannya pada sayap dan ketam pada sepitnya, tunjang kekuatan UMNO pula sebenarnya terletak pada kesepaduan muafakat umat Melayu sebagai pendukung terbesar perjuangannya.
Di asaskan pada 11 Mei 1946 di Istana Besar, Johor Bahru, UMMO kini mengalami cabaran yang begitu getir dan segenap lapisan pimpinannya digesa bermuhasabah diri mengenai keputusan pilihanraya UMUM lalu.
Bagi mengulas keadaan UMNO dan BN sekarang, Majalah E9 melalui Ketua Pengarangnya, Yusaini Ali mewawancara eksklusif bersama Setiausaha Agong UMNO dan BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor baru-baru ini.



Soalan : Terlebih dahulu bagi pihak majalah E9 kami mengucapkan tahniah atas perlantikan Datuk Seri sebagai Setiausaha Agong UMNO dan Barisan Nasional Malaysia yang baru.

Jawapan: Terima kasih.

Soalan : Datuk Seri dilantik pada ketika UMNO dan Barisan Nasional dikatakan berada dalam keadaan yang paling lemah sejak penubuhan parti perikatan terutama selepas BN tumpas di lima negeri serta di Kuala Lumpur serta kehilangan majoriti 2/3 kerusi parlimen. Tentunya banyak cabaran yang terpaksa diharungi sekarang, Pada pandangan Datuk Seri apakah punca kemerosotan itu?

Jawapan: Bagi saya itu hanyalah persepsi yang menyatakan BN lemah dan ia tidak tepat di segi populariti, pada pilihanraya ke-12 lalu, BN mendapat 4.1 juta undi, Pas mendapat 1.1 juta, DAP (1.1 juta) dan Keadilan (1.4 juta). BN juga mendapat kemenangan yang kuat di parlimen dan hanya kurang lapan kerusi sahaja lagi untuk mendapat majoriti 2/3. Memanglah kita letakkan sasaran 2/3 tetapi walaupun gagal memerolehinya kita bukannya menang dengan ‘simple majority’iaitu 140 daripada 222. Jadi, saya rasa tidak adil kalau mengatakan BN lemah, cuma kita mengalami kekalahan di lima buah negeri dan ini satu cabaran dan masej yang disampaikan oleh rakyat untuk kita melihat dan menilai apakah masalah yang dihadapi oleh UMNO ataupun BN sendiri, kita akan buat analisa. Parti komponen termasuk MCA dan MIC telah bekerja keras tetapi masih ramai kaum Cina dan India yang merasakan penyampaian dan kerja-kerja mereka masih kurang. Perasaan dan kehampaan pengundi ini mengenai apa?...ini yang akan kita kaji. BN akan melihat semula bagaimana untuk mengatasinya khususnya kepada generasi muda yang terlupa atau tidak mengetahui langsung perjuangan yang telah laksanakan oleh BN dan UMNO sejak penubuhannya hinggalah ke hari ini kerana kebanyakan mereka lahir selepas kita mencapai kemerdekaan dan kesemua kemudahan telahpun terhidang di depan mata.

Soalan : Adakah BN khususnya UMNO sedar mengenai respon penolakan pengundi khususnya di negeri-negeri pantai barat serta kemerosotan undi yang akan diperolehi oleh parti di seluruh negara ini pada pilihanraya ke-12 baru-baru ini?

Jawapan: Bagaimana yang saya katakan tadi, kita sedar tentang masej yang disampailkan oleh rakyat dan akan mengatasinya.

Soalan : Selepas Datuk Seri dilantik sebagai Setiausaha Agong ini, bagaimana Datuk Seri melihat perkara ini dan apakah usaha yang akan dilakukan oleh BN dan UMNO khususnya dalam mengembalikan kepercayaan rakyat serta memulihkan semangat ahli-ahli parti?

Jawapan: Memang kita ada merancang untuk mengembalikan keyakinan rakyat khususnya generasi muda dan di bandar-bandar tetapi biarlah sekarang ia menjadi rahsia dahulu.

Soalan : Dalam cakap-cakap di blog ada menyatakan bahawa apakah ertinya pembangunan bagi rakyat sedang hakikatnya mereka merasakan harga sekilogram beras, sebuku roti dan seliter minyak lebih penting daripada pembangunan koridor-koridor di negara ini yang diwawarkan oleh kerajaan yang belum tentu memberikan manfaat kepada mereka. Apakah tindakan yang akan diambil terutama di Koridor Utara?

Jawapan: Kita sememangnya memerlukan pembangunan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi negara tanpa pembangunan kita tidak mempu menyediakan peluang-peliang pekerjaan dan kalau tidak ada pekerjaan maka tidak termampulah rakyat untuk membeli sekilo beras, sebuku roti dan seliter minyak. Barangkali rakyat Malaysia juga tidak sedar bahawa semua yang dibeli itu sama ada beras, roti ataupun minyak dan banyak lagi barangan dapat dibeli dengan harga yang agak murah kerana disubsidi oleh kerajaan persekutuan pimpinan Barisan Nasional. Kenaikan harga barangan ini adalah kerana fenomena kenaikan harga minyak dunia dan dirasai oleh negara-negara di seluruh dunia tetapi ia dimanupulasi oleh pembangkang seolah-olah kerajaan tidak mengawalnya. Jadi bagi saya, pembangunan demi pembangunan masih perlu dibawa oleh kerajaan BN bagi merangsang pertumbuhan ekonomi dan menjamin masa depan negara.

Soalan : Umno dahulu adalah parti kekampungan yang memperjuangkan apa sahaja permasalahan akar umbi khususnya di kampung-kampung dan isu agama, bangsa, dan negara. Hari ini parti pembangkang sering melebelkan UMNO sebagai parti yang tidak lagi releven kerana hanya memperjuangkan nasib golongan tertentu dan individu tertentu, ia juga berjaya mempengaruhi khususnya mereka yang di bandar yang mahukan perubahan. Apakah pandangan Datuk Seri?

Jawapan: Inilah persepsi yang diwawarkan oleh pembangkang sehingga rakyat terikut-ikut. Sebenarnya UMNO masih releven dulu, kini dan selamanya. UMNO ialah pertubuhan siasah yang memperjuangkan hak orang Melayu dari awal penubuhannya sehingga kini dan pengkongsian kuasa bersama komponen-komponen lain memyebabkan BN releven untuk semua bangsa. Ia releven kerana dasar yang dibawa. Bagaimanapun, bagi kebanyakan generasi muda yang lahir dengan semua kemudahan sudah disediakan tentulah kurang merasakannya, mereka lahir sudah ada jalan raya, lebuh raya, bekalan elektrik dan air di bandaraya ada menara berkembar Petronas dan pelbagai lagi mereka tentunya kata memang itulah tugas dan tanggungjawab kerajaan tetapi cuba lihat kerajaan lain yang juga mentadbir negara, BN telah laksanakan yang terbaik untuk menjamin negara Selamat, Aman dan Makmur.

Soalan : Apakah benar kata-kata bekas Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin bahawa UMNO seharusnya melupakan terus usaha untuk merampas kembali Kelantan kerana katanya wang dan masa yang digunakan ke arah itu sebagai sia-sia dan sejauh mana kebenaran kata-katanya bahawa wang yang dicurahkan untuk perjuangan politik di Kelantan itu lebih banyak menimbulkan perbalahan di kalangan pemimpin Umno di negeri itu. Jika benar ia berlaku apakah tindakan yang diakan dilakukan oleh UMNO?

Jawapan: Bagi saya itu mungkin pandangan peribadi Datuk Zam, kita ada idelisma dan perjuangan yang kita yakin Kelantan akan menjadi lebih baik sekiranya ditadbir oleh Barisan Nasional. Persoalannya, kita kena kaji mengapa penolakan terhadap BN kini jelas kelihatan Kelantan sedangkan pada pilihanraya 2004 lalu kita walaupun tewas tetapi hampir merampasnya, tentu ada fomula untuk kita meyakinkan pengundi di negeri itu.

Soalan : Pak Lah juga menyebut bahawa kegagalan pada pilihanraya lalu adalah kerana kecuaian kerajaan memanfaatkan kempen di alam siber termasuk internet dan blog? Bagaimana UMNO atau BN akan mengatasi masalah itu?

Jawapan: Kita selama ini mendapati kebanyakan yang dilaporkan di blog itu adalah laporan atau benda yang tidak benar, jadi kita biarkan ia berlaku begitu sahaja tanpa respon atau menjawap dakyah yang disebarkan tetapi kita tidak pula mengetahui ia rupa-rupanya menjadi kesukaan ramai rakyat Malaysia sehingga mereka termakan dakyah itu sehingga sanggup mengundi parti lawan yang berjaya menanam kebencian terhadap pemimpin dan kerajaan. UMNO dan BN kini sedang mengkaji bagaimana untuk kita atasi masalah ini.

Soalan : Datuk Seri, bagaimana sebenarnya pada pandangan Datuk Seri berhubung isu yang berlaku terhadap kes perlantikan Menteri Besar Terengganu dan benarkah seperti yang Datuk Seri katakana bahawa Adun Kijal, Datuk Ahmad Said boleh dipecat sebagai ahli sekiranya menerima perlantikan itu?

Jawapan: Saya tidak pernah kata dipecat, apa yang saya kata ialah dia boleh diambil tindakan disiplin mengikut perlembagaan kerana tidak mengikut keputusan pemimpin. Bagaimanapun ia terpulang kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk memutuskannya sama ada mengenakan tindakan ataupun menerima perlantikan Datuk Ahmad sebagai Menteri Besar (Datuk Ahmad kemudiannya dipersetujui oleh MKT untuk dilantik sebagai Menteri Besar). Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku antara bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh dan pihak istana tetapi penuh berkeyakinan dengan semangat mesyuarah UMNO dan ahli MKT satu titik penyelesaian akan dicapai, sama ada Ahmad atau Idris, kedua-duanya adalah wakil UMNO.

Soalan : Sebaik pilihanraya UMUM lalu, heboh desas-desus menyatakan bahawa beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional yang dikatakan akan melompat parti bagi memberi laluan kepada Barisan Alternetif untuk ‘merampas’ pemerintah kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) sehingga memaksa Datuk Seri mengeluarkan kenyataan bahawa BN akan menghantar ejen risikan untuk memastikan dakwaan bahawa kini wujud percubaan memujuk ahli-ahli parlimen meninggalkan BN, sejauh mana Datuk Seri melihat kebenaran maklumat itu?

Jawapan: Ini desas-desus yang kita dengar kerana parti pembangkang kini merasakan air begitu keruh dan mereka bersiap sedia untuk menangguknya. Sebenarnya selepas kita siasat, air tak keruhpun…setakat hari ini ia hanyalah andaian khususnya dilakukan oleh parti pembangkang untuk melengkapkan angan-angan mereka. Selepas kita selidik, jelas ahli BN tetap setia dan berpegang kepada perinsip perjuangan, mereka menang atas tiket BN dan tidak akan mengkhianati rakyat yang mengundi mereka atas tiket BN. Desas-desus ini ditokok-tambah dan dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Soalan : Ada laman blog melaporkan terdapat pemimpin komponen BN di Sabah yang tersinggung dengan kenyataan itu, apa komen Datuk Seri?

Jawapan: Saya tidak pernah bermaksud untuk menyinggung sesiapa, kita hanya ingin mendapatkan kepastian dan maklumat dari pelbagai peringkat. Saya tahu semua komponen BN masih setia dan bersatu tetapi apabila desas-sesus ini begitu kencang, kita kena siasat puncanya walaupun penuh yakin ia tidak benar, ini akan lebih merapatkan hubungan sesama kita.

Soalan : Datuk Seri, ada pandangan menyatakan bahawa kepimpinan Pak Lah terlalu telus, Perundangan negara boleh dipertikai, kuasa-kuasa polis juga boleh dipertikai khususnya selepas rang undang-undang berhubung IPCMC dibawa ke parlimen pada sidang parlimen kali ini, menteri dan menteri boleh berbalah secara terus di media dan ahkbar terutama berbahasa Cina jauh lebih bebas di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jawapan: Seluruh dunia menyebut tentang kebebasan dan ketelusan…persoalannya yang bagaimana yang paling sesuai dengan keadaan di negara kita dan bukannya mengikut ketelusan atau kebebasan di mana-mana negara khususnya di negara Barat. Memang diakui kerajaan di bawah pimpinan Pak Lah begitu telus tetapi kita dapati kebebasan yang diberi kadang-kala disalahgunakan. Bagaimanapun kebebasan yang sama atas nama demokrasi yang dipraktikkan di Indonesia kita lihat telah memakan diri sendiri sehingga hari ini ramai rakyatnya menghadapi masalah. Kebebasan dan ketelusan sebenarnya dilaksanakan untuk mendapatkan maklum balas sebenar daripada rakyat, tetapi ia telahpun disalahgunakan untuk kepentingan sendiri dan pihak tertentu hingga menjadi mudarat dan menikam kita dari belakang.

Soalan : Berhubung kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengenai kemungkinan UMNO akan menimbang untuk menangguhkan Perhimpunan Agung UMNO pada Ogos nanti selepas terdapat gesaan Badan Perhubungan Negeri mengenainya. Apakah ia benar-benar perlu dilakukan?

Jawapan: Ini yang kita dengar, tetapi kita tidak dapat pasti sama ada ia sememangnya kehendak akar umbi atau sebaliknya sebab itu apapun kita akan membawa kepada mesyuarat MKT (Mesyuarat MKT kemudiannya memetapkan pemilihan peringkat Cawangan akan diadakan Julai, Bahagian (September) dan Pemilihan Pusat (Disember)).

Soalan : Apakah pandangan Datuk Seri mengenai hasrat Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabar Pak Lah pada pemilihan parti kali ini dalam keadaan parti yang dikatakan lemah dan perlu dipulihkan?

Jawapan: Ini hak ahli dan terpulang kepada ahli, sekiranya ada penyokong dan sokongan siapapun boleh cuba dan tiada siapa yang akan menyekat atau menghalangnya.

Soalan : Benarkah terdapat dakwaan terdapat segelintir pemimpin dan ahli parti yang mengkhianati parti apabila tidak mengundi calon partinya sendiri kerana pelbagai faktor termasuk calon? Jika benar apakah tindakan yang akan diambil?

Jawapan: Kita akan ambil tindakan dan telahpun menerima banyak aduan mengenainya, kita difahamkan mereka dikatakan kecewa dan membuat keputusan yang tidak rasional dan sekarang ini kebanyakan mereka sudahpun menyesal. Apapun nasi sudah jadi bubur, walaupun menyesal kita kena tunggu lima tahun lagi untuk memperbetulkannya. Sebab itu bagi saya kita jangan membuat sebarang keputusan apabila berada dalam keadaan gembira, sedih atau marah kerana tentunya ia tidak rasional dan akan mendatangkan kekesalan kemudiannya.

Soalan : Terdapat juga Bahagian khususnya yang memiliki calon serta Ketua bahagian yang tidak sehaluan berperang secara terbuka hanya semata-mata untuk memenangi hati ketua-ketua cawangan kerana memikirkan pemilihan Bahagian terlalu hampir, ada juga ketua bahagian yang mendapat peruntukan pilihanraya tetapi digunakan untuk pemilihan Bahagian. Adakah kepimpinan parti dan Datuk Seri menyedar perkara itu? Jika benar bagaimana ia boleh diatasi?

Jawapan: Inipun satu lagi perkara yang kita telahpun terima aduan mengenainya, kita sedang teliti dan memang ada yang mendakwa terdapat ketua bahagian yang tidak menggunakan peruntukan pilihanraya tetapi menyimpannya entah untuk apa, mungkin untuk pemilihan parti tetapi jika benar itu tidak seharusnya berlaku. Ini sedang kita teliti, kita tidak tahu sama ada ia betul atau tidak, ia mungkin juga desas-desus yang perlu kita siasat.

Soalan : Apakah nasihat Datuk Seri khususnya kepada pemimpin akar umbi parti di peringkat cawangan-cawangan dan kepada generasi muda hari ini selepas melihat keputusan pilihanraya lalu?

Jawapan: Semua pihak khususnya di peringkat akar umbi sememangnya perlu memantapkan perjuangan, bersatu dalam waktu-waktu penting seperti sekarang bagi menangani kegelisahan dan kesengsaraan khususnya yang berada di negeri-negeri bawah pemerintahan pembangkang. Kita mesti tekat dan kuat untuk mempertahankan parti yang telah banyak berkhidmat dan berjasa kepada kita semua. Kita di pusat sentiasa mendengar dan bersedia untuk terus membuat apa juga cadangan yang baik sekiranya ada pandangan daripada akar umbi. Mereka boleh mengadakan bengkel atau apa juga yang sesuai untuk menilai apakah punca utama kehilangan undi yang besar kepada pembangkang kali ini. Kita perlu sedar bahawa rakyat dan pengundi adalah segala-galanya untuk membolehkan kerajaan terus kekal memerintah. Bagi kita, ubat pahit adalah untuk kebaikan kesihatan dan kata kritik adalah untuk kebaikan kelakuan. Bagi pemimpin pula, janganlah terlalu menjarakkan diri atau terlalu sombong dengan rakyat, sikap dan tingkah laku mereka kini diperhatikan. Kepada generasi muda lihatlah sejarah bagaimana perjuangan datuk, nenek, moyang mereka memperjuangkan kemerdekaan negara dan bagaimana UMNO mempertahankan agama, bangsa dan negara. Apa yang dimiliki hari ini adalah hasil keringat dan darah generasi terdahulu, jadi janganlah kita mengkhianatinya. Ingatlah pesanan pemimpin terdahulu Allahyarham Tan Sri Syed Jaafar Albar sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 1977 lalu;
“... perjuangan UMNO seluruhnya dan khasnya Pemuda yang akan menerima pusaka daripada orang-orang yang tua sekarang ini, adalah satu perjuangan yang amat sulit, amat berat dan tidak boleh diambil secara sambil lewa sahaja. Dalam perjuangan, kita mestilah serius. Selain dari serius, dalam keadaan serius kita juga, kita mestilah jujur. Inilah dua syarat yang penting untuk mencapai atau sampai ke matlamat yang kita tuju. Kalau kita tidak serius, (atau) kalau kita serius tetapi untuk kepentingan diri, bencana dan celaka juga padahnya kepada bangsa dan keturunan kita yang akan datang.”

Soalan : Terima kasih Datuk Seri kerana memberi kesempatan kepada kami untuk mewawancara dalam majalah ini.

Jawapan : Sama-sama.

Tiada ulasan: