Selasa, 5 Mei 2009

Penubuhan Alumni UPMKB tepati konsep 1Malaysia























PENUBUHAN Persatuan Bekas Pelajar Universiti Putra Malaysia, Kampus Bintulu mampu menyahut dan menepati konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden penaja persatuan itu, Yusaini Ali berkata melalui persatuan berkenaan semua lepasan universiti itu daripada pelbagai kaum termasuk dari Sabah dan Sarawak akan bersatu di bawah satu organisasi.
“Sebagai bekas pelajar, ramai diantara mereka kini sudahkan berjaya dan tidak kurang juga yang sudah menjawat jawatan tinggi dalam sektor awam dan sumbangan mereka boleh digunakan dalam merealisasikan konsep berkenaan,” katanya melalui kenyataan akhbar selepas menghadiri Program Lawatan ke Universiti Putera Malaysia, Kampus Bintulu (UPMKB), baru-baru ini.
Melalui lawatan berkenaan bekas pelajar mengadakan lawatan di sekitar kampus, bertemu dengan pelajar, lawatan ke rumah penduduk dan projek pertanian sekitar Bintulu serta berdialog dengan pihak pengurusan universiti mengenai misi dan visi persatuan.
Menurutnya, satu perbincangan telah diadakan bersama pihak universiti dan beberapa perkara telahpun dipersetujui secara dasar untuk kebaikan dan kepentingan bekas pelajar dan pelajar itu sendiri.
Beliau berkata, antaranya, bekas pelajar yang berjaya bersetuju untuk datang ke universiti berkenaan untuk memberikan ceramah dan motivasi kepada yang masih menuntut.
“Dengan keadaan berjauhan dari keluarga tentunya pelajar-pelajar ini memerlukan motivasi untuk menempuh kehidupan kampus dan mereka juga perlu mendapat maklumat yang sebenar mengenai dasar-dasar kerajaan supaya tidak dipengaruhi perkara-perkara yang boleh menganggu penumpuan pelajaran mereka.
“Bekas pelajar yang telah berjaya juga melalui projek Jejak Gemilang akan menjadi duta kecil kampus berkenaan sekaligus mampu mempromosikannya kepada bakal-bakal pelajar,” katanya.
Beliau berkata, sebagai menepati konsep 1Malaysia, persatuan ini juga menetapkan dua jawatan Timbalan Presiden iaitu satu mewakili Semenanjung Malaysia, kini diwakili oleh Khaidir Majid dan satu lagi mewakili Malaysia Timur, kini diwakili oleh Nalong Buda yang kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Taman Pertanian, UPMKB. Jawatankuasanya juga diwakili oleh semua kaum.
Katanya, persatuan juga mensasarkan untuk mengadakan satu Majlis Makan Malam 1Malaysia melibatkan seberapa ramai lepasan UPMKB di ibunegara dalam tempoh tiga bulan dari sekarang.
“Dari sinilah kami akan bertemu selepas berbelas-belas tahun tidak berjumpa dan ia diharap dapat mengembalikan nostalgia dan mampu mengeratkan lagi silaturrahim sesame bekas pelajar.
Menurutnya, bekas pelajar yang berminat untuk menyertai program berkenaan dan menjadi ahli persatuan bolehlah menghubungi Setiausaha Penaja Persatuan, Zaifulsham Zakaria di nombor telefon 0122998660 atau email yusaini_e9@yahoo.com.

Tiada ulasan: