Isnin, 29 September 2008

SEKS, HABUAN DAN SEDEKAH

Skandal rasuah di Perak, membabitkan antaranya Ahli Majlis Daerah memberi makna baru terhadap zina apabila perempuan menjadi ‘sedekah’ yang tidak dapat ditolak.

OLEH AJENG ARIA

Perempuan. Macam perumpamaan orang Melayu, “rezeki jangan ditolak, maut jangan dicari”, dan kalau ada yang datang menyerahkan tubuh, berperangailah seperti kucing yang pantang melihat ikan di depan mata.
Ego, atau memang dangkal, Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan yang disiasat Badan Pencegah Rasuah (BPR) dipetik membuat kenyataan ini: “Kita tak minta (perempuan), tak cari, Mohamad Imran yang hantar.
“Serupa juga kalau orang bagi sedekah, awak tak terima ke sedekah itu?”
Ia dibuat selepas rakannya, Fairul Azrim Ismail, 30, mengakui melakukan hubungan seks dengan seorang wanita China selepas diperangkap BPR dan seorang individu bernama Mohamad Imran Abdullah.
Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, menurut laporan akhbar Utusan Malaysia, membuat pengakuan dalam surat aduannya kepada Jabatan Agama Islam Perak (Jaip). Dia bagaimanapun, menafikan meminta rasuah atau habuan seks. Laporan sama dibuat Zul.
Fairul, antara yang ditahan BPR, Ogos lalu berhubung skandal rasuah dan seks membabitkan projek membangunkan tanah seluas 36 hektar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.
Selain Fairul, Zul dan Ruslan Sahat, seorang juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, kes itu turut membabitkan dua anggota Exco Kerajaan Negeri Perak dan seorang mantan Ahli Dewan Undangan Negeri yang didakwa meminta dan menerima rasuah wang.
Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria dipetik berkata, kenyataan Zul itu adalah daripada orang yang jahil mengenai hukum agama. Ia juga dianggap cukup bodoh jika bertujuan mempertahankan diri daripada kesalahan yang telah dilakukan.
Kecuali Harussani, ulama Pas dan bijak pandai agama serta pemerhati moral dari parti komponen Pakatan Rakyat (PR) sama ada tidak menyedari mengenai skandal terbaru ini, atau menelan saja kelakuan sumbang seperti itu – atas nama keutuhan parti?
Dan sudah tentu, kesalahan ditimpakan kepada media yang menurut Madzi Hassan, Setiausaha Perhubungan Keadilan Negeri Perak bahawa kenyataan Zul pada 23 September lalu telah “diperbesar-besarkan dan dimanipulasi oleh media yang dikuasai Umno.”
Bagi pihak Zul, Madzi dalam kenyataan akhbarnya, berkata “sedekah” yang dimaksudkan adalah “pemberian” tetapi kesilapan penggunaan istilah itu dimanipulasi media dari sudut keagamaan, bertujuan mengalihkan pandangan daripada isu sebenarnya, iaitu penggunaan seks dan maksiat untuk satu komplot bermotif politik.
Ia disokong Timbalan Pengerusi PKR Perak, Zulkifli Ibrahim yang menyifatkan penggunaan “sedekah” yang merujuk habuan seks oleh Zul itu sebagai “kesilapan bahasa yang tidak disengajakan.”
Pada sidang akhbar itu, dia berkata, “Barangkali itu mungkin kesilapan dari segi bahasa dan sebagainya tapi itu bukan maksud kita menjadikan seks itu sebagai satu sedekah.”
Menakjubkan, bagaimana atas kekesalan serta keinsafan kerana menerima “pemberian” yang telah tersilap sebut sebagai “sedekah” itu, aduan dibuat kepada Jaip bagi menyiasat dan mengambil tindakan ke atas pihak yang memfitnah, menghina dan menganiaya.
Salahkan BPR kerana memfitnah. Salahkan Mohamad Imran yang menurut Fairul, “menganjur dan menggalakan saya berbuat maksiat dengan membekalkan seorang wanita China”. Salahkan media kerana memanipulasi “kesilapan bahasa”. Dan, salahkan parti politik lawan yang dituduh dalang kejadian.
Madzi, dalam kenyataan sama, turut melahirkan rasa dukacita kerana “pihak yang merancang projek pemerangkapan ini telah mengeksploitasi wanita-wanita dan warganegara-warganegara asing.”
Membimbangkan katanya, jika jenayah “menggalakkan maksiat” yang “bermotif politik” itu, di mana ujud rakaman video mengenai perbuatan, digunakan sebagai “alat yang ampuh untuk memerangkap musuh politik.”
Dan, pengajaran paling penting dalam skandal ini barangkali, salahkan semua orang tetapi tidak diri sendiri. Lagi pun, apa yang hendak dimalukan? Perempan itu pun bukannya dicari. Jelas, tidak sukar untuk cuba menegakkan benang yang basah apabila ada yang boleh dikambing hitamkan. Cuma perlu, muka yang tebal.

Ahad, 28 September 2008

INTERVIEW EKSKLUSIF BERSAMA TUN DR MAHATHIR














Nantikan interview khas Ketua Editor E9, Yusaini Ali bersama Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bercakap tentang pelbagai perkara khususnya politik semasa tanahair
KHUSUSNYA MENGENAI KEPUTUSAN MESYUARAT KHAS MKT YANG MENANGGUHKAN PERSIDANGAN MAC 2009. SEDIKIT SUDUTAN INTERVIEW BERSAMA TUN ...
PENANGGUHAN PERHIMPUNAN AGUNG UMNO KEPADA MAC 2009 MENYEBABKAN LEBIH BANYAK KEMPEN SERTA PENULARAN POLITIK WANG – TUN DR MAHATHIR.

MANTAN Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat penangguhan Persidangan Agong UMNO sehingga Mac 2009 akan menyebabkan lebih banyak kempen-kempen dan penularan politik wang.
Menurutnya, jika dibagi banyak masa sehingga Mac tahun depan mungkin ada pendapat-pendapat pandangan yang bertukar.
“Mungkin juga akan berlaku kempen-kempen, bantahan dan sebagainya termasuk lebih banyak politik wang untuk meraih sokongan perwakilan.
“Ini lebih merumitkan kerja, lebih awal (pemilihan) sebenarnya adalah lebih baik,” katanya kepada Majalah E9 sewaktu diwawancara secara Eksklusif, di pejabatnya, di Kuala Lumpur.
Tun berkata demikian mengulas keputusan Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO baru-baru ini yang menangguhkan Perhimpunan Agung UMNO kepada Mac 2009.
Difahamkan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dijangka akan mengumumkan keputusannya untuk tidak bertanding jawatan Presiden UMNO sebelum 9 Oktober nanti bagi membolehkan peralihan kuasa kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dipercepatkan dari Jun 2010 kepada Mac 2009.
Ketika ditanya apakah ia perlu dilakukan selepas mesyuarat cawangan dan Bahagian diteruskan seperti biasa, Tun berkata;
“Saya tak nampak kenapa perlu ada penangguhan sehingga Mac kerana cuma ada tiga bulan kalau diteruskan seperti biasa saya tidak nampak sesuatu yang luar biasa akan berlaku, apa bezanya Disember dan Mac,” katanya.
Tun Mahathir turut menyatakan Perdana Menteri patut mengambil kira pandangan akar umbi serta kehendak ahli sebelum melaksanakannya.
“Kepimpinan patut ambil kira pandangan Majlis Tertinggi yang mungkin mencerminkan pandangan ahli dan seluruh Malaysia.
“Jika dia berpegang pada itu, tidak patut berdolak-dalik. Dia (Abdullah) ini terkenal dengan (kenyataan) yang berdolak dalih. Umpamanya pasal pilihan raya’, ketika ditanya wartawan adakah pilihan raya akan diadakan dalam masa terdekat, dia kata ‘Tak ada’, tapi tiba-tiba mengiystiharkan iaitu dia akan adakan pilihanraya serta merta dan membubarkan parlimen. Kini orang sudah kurang yakin dengan apa jua pengakuannya,” katanya.
Ketika ditanya apakah kepentingan suara akar umbi UMNO untuk kekalkan demokrasi dalam parti yang kini semakin dilupakan oleh kepimpinan Tun berkata;
“Ini antara apa yang amat penting dalam mengekalkan demokrasi dalam parti. Yang nak cabar, boleh mencabar. Dulu ada sistem kuota kerana kita cuba untuk mengadakan sistem yang kurang terdedah daripada sogokan, ada sistem bonus.
“Jelas menampakkan sistem kuota, bonus tidak boleh menyelamatkan parti daripada pengaruh duit terutama akhir-akhir ini,” katanya.
Mengenai perlantikan mantan Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kasim sebagai penasihat dan pembantu Perdana Menteri, Pak Lah dalam Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman sebagai pengerusi Felcra dibuat secara tiba-tiba terutama selepas beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang bersidang baru-baru ini dikatakan mendesak peralihan kuasa dilakukan lebih awal Tun berkata;
“Ini adalah pendekatan yang digunakan Abdullah. Saya difahamkan apabila Datuk Seri Shahrizat (Abd Jalil) menunjukkan tanda-tanda dia akan mengkritik pimpinan, dia dilantik penasihat bertaraf Menteri, dan banyak lagi yang dilantik dalam syarikat-syarikat sebagai Pengarah, CEO (dilantik) dans ebagainya.
“Jelas menampakkan pemilihan ini berasaskan kepada usaha untuk mendapat sokongan atau mengurangkan bantahan (kepada pimpinan). Ini amalan yang tidak sihat. Ini berupa rasuah, jenis rasuah juga,” katanya.

* DAPATKAN MAJALAH E9 KELUARAN OKTOBER/ NOVEMBER AKAN DATANG UNTUK INTERVIEW PENUH BERSAMA TUN DR MAHATHIR MOHAMAD BERSAMA KETUA EDITORNYA, YUSAINI ALI.