Sabtu, 25 Oktober 2008

UMNO Johor dalam KELAS TERSENDIRI




Written by jebatmustlive

Bukan nak memuji, tak juga nak masuk bakul angkat sendiri, tetapi puas berfikir senario semasa. Bila mana Perhubungan-perhubungan negeri sibuk mengarahkan anak-anak buahnya mencalonlan pemimpin dari negeri -negeri mereka, ternampak UMNO Johor berada di dalam kelasnya yang tersendiri.

Badan Perhubungan UMNO Melaka sebulat suara bermesyuarat mencalonkan Ali Rustam sebagai calon Tim Presiden.

Badan Perhubungan UMNO Perak sebulat suara dan sekata mencalon Zahid Hamidi selaku calon Naib Presiden.

Badan Perhubungan UMNO Selangor seia sekata mencalonkan Mat Taib dan Khir Toyo selaku calon Tim Presiden dan KP UMNO Malaysia.

UMNO Johor pula mengambil pendirian yang MATANG dan sekaligus menunjukkan UMNO Johor UNGGUL sebagai lambang demokrasi UMNO Malaysia.

Syabas saya ucapkan kepada UMNO Johor kerana tidak terikut-ikut dengan tindakan badan-badan perhubungan negeri lain, yang menidakkan hak-hak ahli UMNO di bahagian mereka sendiri dengan mengeluarkan arahan hanya mengundi calon-calon dari negeri mereka sendiri.

Tindakan UMNO Johor menunjukkan kepada UMNO-UMNO negeri lain, bahawa di dalam memilih kepimpinan UMNO, yang pentingnya bukan dari negeri mana pemimpin tersebut berasal, tetapi yang paling penting adalah tidak kira dari mana mereka berasal, mereka perlulah mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang tinggi, berintegriti dan mampu membawa UMNO ke puncak kegemilangan.

Dengan ini saya menyeru badan-badan perhubungan UMNO seluruh Malaysia mengambil iktibar dari tindakan UMNO Johor yang berkecuali dan menyerahkan sepenuhnya kepada ahli-ahli UMNO seluruh Johor untuk memilih pemimpin UMNO yang terbaik buat UMNO.

Semarakkan demokrasi di dalam UMNO.

Jangan dikekang hak-hak ahli untuk memilih hanya pemimpin dari negeri-negeri tertentu sahaja.

JIka ini berlaku amat malang bagi UMNO dikala UMNO sedang bergelut dengan hidup-matinya sebgai parti tersohor di Malaysia

Huru hara jika hanya orang muda dipilih sebagai pemimpin

Baru-Baru ini Tun Musa Hitam menyatakan UMNO kini sedang mengalami penyakit tua. Menurut beliau "Generasi muda diperlukan bagi membantu memulihkan semula penyakit tua UMNO yang kini sudah menginjak usia 61 tahun.

Katanya, penyakit tua Umno kini tidak boleh lagi dibaiki atau dirawat golongan tua kerana Umno kini memerlukan muka baru yang lebih muda untuk mengembalikan semula Umno serta keyakinan rakyat terhadap parti itu.

Katanya lagi, Penyakit tua ini tidak boleh diperbaiki oleh orang tua-tua, jadi maksud saya mereka yang hendak bertanding pada pemilihan Umno Mac depan, yang ingin memegang jawatan tertinggi haruslah terdiri daripada golongan muda yang mempunyai idea yang baru.

Diatas adalah pedapat Tun Musa Hitam. Persoalannya, betul ke UMNO hanya boleh diubati oleh orang muda, walaupun saya masih muda, saya tidak setuju 100% pandangan Tun Musa itu.

Sebelum ini, Tun Musa adalah antara ikon politik di Johor tetapi sejak akhir-akhir ini keyakinan orang ramai khususnya ahli UMNO terhadapnya semakin pudar, lebih-lebih lagi statementnya terhadap Tun Dr M sebaik Tun meninggalkan UMNO.

Cuba bayangkan semua orang muda yang mempunyai cita-cita tinggi dalam politik berada dalam senarai naib, mereka akan cuba overshadow antara satu sama lain dan jika berkesempatan, jangankan timbalan, presiden pun mereka sanggup tengang.

Lihat sahaja contoh orang Muda yang masih berhingus dalam politik, Jazlan Glamour yang menawar diri terus menjadi timbalan presiden. jika beliau dicalonkan dan layak bertanding tentu ada sesuatu yang tidak kena dengan parti kita, waktu itu jangankan orang luar akan berminat dengan UMNO ... saya sendiri akan terfikir, salah parti ke aku salama ini berketuakan pemimpin yang gila kuasa dan mementingkan diri sendiri.

Justeru.pendapat Tun Musa jelas tidak betul sama sekali, pengalaman orang lama amat diperlukan, Mereka banyak pengalaman dan sudah diterima bangsa-bangsa lain sebelum ini.

Dalam kes Pak Lah yang 'mengamuk' teradap campur tangan Tun Dr M, jelas hanya DS Rais Yatim yang bersuara mempertahankan mantan PM itu. Beliau memberikan pendapat tanpa berkepentingan. Sebab itu kita lihat bahagian TS Muhyiddin dan D Shafie Afdal mencalonkan DS Rais dan ini memberi gambaran yang boleh diinterpritasikan dari pelbagai sudut oleh banyak pihak.

Memang benar kita perlu meremajakan parti yang sudah berusia 61 tahun, namun ia perlu disulami dngan orang lama yang lebih berpengalaman serta boleh menegur dan bercakap khususnya dalam MT.

Zaman berubah...umno berubah, jika dahulu orang memilih berdasarkan pengalaman dan kredibeliti sekarang siapa yang paling pandai berkempen dia akan popular, sebab itu kita lihat orang lama agak ketinggalan di segi pencalonan.

Jumaat, 17 Oktober 2008

BIAR PAPA, ASAL BERGAYA

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin menafikan ujudnya “Perjanjian Pangkor II”, dakwaan yang dibuat abangnya, Fadhil Jamaluddin. Begitupun, kemungkinannya sukar diketepikan yang membawa kepada persoalan berikutnya: bagaimana kedudukan Pas sebenarnya?

OLEH MUHAYA RADEN SALLEH

Perak membawa signifikasi besar dalam sejarah tanah Melayu ini. Di bumi kelahiran Datuk Maharajalela itulah, Inggeris meloloskan dirinya bagi mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Melayu lewat Perjanjian Pangkor pada 1874.
Datuk Maharajalela disifatkan Inggeris sebagai pemberontak selepas dia dikatakan merancang pembunuhan Residen Inggeris ketika itu, JWW Birch yang sedang mandi di Sungai Perak dalam satu peristiwa berdarah di Pasir Salak. Pembunuhan itu dirancang ekoran sikap Birch yang antaranya, tidak menghormati adat resam, budaya serta hal-hal membabitkan Melayu dan kuasa istana.
Ironinya, maharajalela iaitu gelaran yang diberi kepada kepala menteri yang tugasnya memenggal kepala orang yang bersalah kepada raja, juga digunakan bagi merujuk perbuatan sesuka hati atau sewenang-wenangnya.
Dan, 134 tahun selepas termeterainya perjanjian itu, Perak digoyahkan lagi dengan perkhabaran mengenai keujudan perjanjian seumpamanya yang dikatakan ditandatangani antara Menteri Besar (MB) Perak dan DAP Perak.
Perjanjian yang dinafikan Mohamad Nizar, tapi hairannya mengapa sampai begitu sekali ‘pembohongan’ abangnya yang turut menganggap adiknya tidak layak menjadi Menteri Besar bagi kerajaan campuran Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu?
Ia yang dijoloki “Perjanjian Pangkor II”, antara lain melarang Menteri Besar menyebut negeri Perak diperintah oleh Islam, selain menafikan haknya untuk membuat keputusan tapi mesti diperakukan semua ahli Exco.
Jika benar ujud, menurut pakar Perlembagaan Persekutuan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, ia adalah satu “kedayusan politik.”
Dalam satu kenyataannya, dia dipetik berkata, perjanjian seumpamanya tidak mengikat kedudukan Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaannya, tambahan DAP “tiada locus standi”, iaitu hak undang-undang untuk memaksa MB mengikut telunjuk mereka apatah lagi melarang Islam dikait dalam pemerintahannya.
Sambil menyatakan kehairanannya mengenai perjanjian seumpamanya, jika ujud, dia berkata, “Sama ada MB sudah lupa asal usulnya atau dia telah dijual bulat-bulat oleh DAP.”
Manakala Mohamad Nizar berkata, abangnya telah dipergunakan oleh pihak tertentu sehingga mengeluarkan kenyataan sedemikian yang disifatkan sebagai “tohmahan tidak berasas sama sekali.”
Dia bukan saja menempelak mereka yang mempercayai ujudnya perjanjian seperti itu sebagai tidak mempunyai cukup maklumat, malah “berfikiran singkat.”
Soalnya, dengan kekecohan sejak hal perlantikan MBnya yang dicetuskan DAP selepas pembangkang merampas Perak dalam Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, keujudan perjanjian seumpamanya adalah satu kebarangkalian yang tidak dapat dinafikan.
Jika benar, begitu terdesakkah Pas?
Pas barangkali menyedari adalah sukar untuk parti yang berteraskan agama itu menubuhkan kerajaan, dan hanya menerusi gabungan bersama parti pembangkang seperti DAP dan PKR barulah mereka dapat memerintah. Atau, itu yang mereka sangka.
Sedang Pas menyedari, hakikatnya mereka hampir tiada suara dalam pakatan itu. Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperlihatkan obsesinya untuk menjadi Perdana Menteri, jawatan sama yang dicadang Dewan Ulama Pas patut disandang Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi menyatakan ketegasan Pas bagi mempertahankan Islam sebagai teras perjuangannya , namun bukan rahsia bahawa ia bertentangan dengan pendirian teman pakatannya, DAP yang ‘langkah mayat dulu.’
Pas, dalam satu kenyataannya menerusi Abdul Hadi yang disiarkan Harakahdaily.net, berkata “PAS bukannya sebuah parti politik semata-mata, tetapi adalah satu wadah dakwah dan tarbiyah.
“Perjuangan PAS adalah bersifat universal, untuk seluruh umat manusia, membawa keadilan sejagat.”
Masalahnya, bolehkah rakyat mempercayai Pas yang mendapat tentangan daripada dalaman PR sendiri, seperti di Perak apabila DAP yang meletak syarat awal termasuk mahukan wakil mereka dilantik MB walaupun menyedari perlembagaan Perak tidak membenarkan bukan Islam menjawat jawatan nombor satu kerajaan negeri itu.
Malah, DAP sempat mengancam untuk memboikot majlis angkat sumpah di hadapan pemangku Sultan Perak, Datuk Raja Dr Nazrin Shah itu sebelum mereka dilapor kembali dengan permohonan maaf dan menerima perlantikan Mohamad Nizar. Selepas kekecohan yang ditimbulkan, begitu sajakah DAP merelakan Mohamad Nizar menjadi MB Perak?
Sebesar manakah pengaruh Pas dalam perikatan pembangkang?
Pas mungkin gah di Kelantan yang harus diakui, tapi setakat itu sajalah. Bagi memastikan Pas boleh memimpin, parti itu harus punya suara. Dan, perkara paling pokok yang perlu difikirkan Pas dan pengikutnya, apakah parti itu dipandang dalam PR?
Dalam isu penubuhan kerajaan baru yang dicanang Anwar ke seantero dunia sehingga membabitkan kedutaan Turki, mantan Presiden Indonesia Gus Dur malah Amerika Syarikat, Abdul Hadi yang ditanya apakah Pas mengiktiraf daan mahukanKetua Pembangkang itu yang sedang menghadapi tuduhan liwat, kali kedua, sebelum ini Ahli Parlimen Marang itu, berkata: “Apa pun kena tunggu Anwar menang pilihan raya kecil terlebih dulu dan hingga berlaku perubahan di Parlimen.
“Kita tunggu beliau menang dulu, lepas menang kita tunggu 16 September.”
Menjelang 16 September, dan Barisan Nasional nampaknya terus menguasai kerajaan dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih Perdana Menteri Malaysia, Abdul Hadi dipetik berkata, “Janganlah hendak jadi Mat Jenin.
“Jika kerajaan baru tidak berteraskan Islam, Pas tidak akan berkompromi. Tidak kiralah sama ada Anwar atau Umno yang akan menjadi Perdana Menteri. Ini adalah pendirian saya sebagai Presiden Pas.”
Perak yang menyaksikan kemenangan besar buat DAP, tetapi terpaksa berMenteri Besar orang Pas dengan isu-isu yang berbangkit, terutama berhubung hal tanah, daripada pemberian 400 hektar kepada sekolah persendirian Cina untuk dijadikan syarikat bagi menampung perbelanjaan ke hak milik 999 tahun yang disifatkan “luar biasa” diberi kepada kampung baru yang 85% diduduki bukan Melayu, nyata ujian getir buat kepimpinan parti itu.
Soalnya, jika Perak pun bermasalah buat Pas, bagaimana hendak memimpin negara?
“Pas Untuk Semua” menjadi tema Muktamar Pas ke-54 lalu yang menyaksikan Naib Presidennya, Mohamad Sabu senyum berjabat tangan menyambut kehadiran Anwar yang pernah dijolokinya “Al Juburi”. Jadi, sejauh manakah Pas bersedia untuk mengorbankan ideolgi mereka dalam perjuangannya? Dan, lebih penting apakah “semua” bersedia untuk Pas?

* Artikel ini disiarkan di dalam Majalah E9, Isu 3, Oktober/ November 2008

Isnin, 13 Oktober 2008

KENAPA CALON SELAIN MUHYIDDIN YASSIN MENAWAR DIRI?

PELIK tapi benar, walaupun majoriti ahli akar Umbi UMNO sudah membulatkan tekad untuk memilih gandingan ideal Najib dan Muhyiddin untuk jawatan Presiden dan Timbalan, namun masih ada yang berani mencuba nasib walaupun ia bolehlah diibaratkan membunuh karier politik dan ada pula yang benar-benar digelar raja lawak.

Persoalannya mengapa ia berlaku? Asalnya Datuk Ahmad Zahid Hamidi dilihat sebagai pencabar yang memasang hajat untuk menduduki no 2 dalam parti itu, namum difahamkan beliau akhirnya akui ia mampu membunuh karier politiknya dan atas 'nasihat', beliau akhirnya menarik diri. Tindakannya itu akhirnya mengundang padah apabila dikatakan tidak konsisten dan dilebal sebagai singa sarkas 2 (selepas syed hamid yang pernah dilebal begitu) .

Tan Sri Mohammad Taib pula dilihat sebagai proksi kepada kumpulan pro Pak Lah terutama ditonjolkan Datuk Md Alwi Ahmad dan Tan Sri Anuar Musa kerana dikatakan tidak berpuas hati dengan tindak tanduk Muhyiddin yang dikatakan mendesak Pak Lah mempercepatkan peralihan kuasa itu.

Sehinggakan Alwi mendesak Muhyiddin meletak jawatan dengan menggunakan jawatan Ketua Penerangan Kelantan sedangkan satu Malaysia tahu dia adalah Ketua Setiausaha Politik kepada Pak Lah.

Sewaktu penulis ke Kelantan baru-baru ini, kebetulan satu kapal terbang dengan Alwi dan Datuk Serki Anwar Ibrahim. Alwi masih kelihatan marah kerana ramai yang mendesak Pak Lah mengundur diri.

Sambil berjalan menaiki kapal terbang, dia terus bersungut...masalah saya ialah my general tak mahu berperang. Kalau dia nak berperang taulah macam mana saya nak lakukan.

Jelas dia tidak dapat menerima hakikat Pak Lah sudah ditolak oleh akar umbi UMNO, dipercayaai hanya sekitar 40 Bahagian akan mencalonkan Pak Lah sekiranya dia ingin menentang DS Najib.

Penulis yang kemudiannya ke Terengganu berkesempatan bertemu beberapa orang exco, wakil rakyat dan pemimpin peringkat bahagian, rata-rata mereka menolak terus kepimpinan Pak Lah.

Seorang pemimpin Bahagian yang juga wakil rakyat berkata mereka bertindak berdasarkan nasihat Pak Lah dan akhirnya dilihat tidak sehaluan dengan pihak pihak istana, hari ini saya tidak baca lagi akhbar bila ada gambar Pak lah di depan dan akan menutup tv bila berita Pak Lah keluar.

Manakala, seorang lagi calon, Datuk Seri Ali Rustam pula tentunya tidak berpuas hati kerana mengikut rangking dia seharusnya lebih popular dari Muhyiddin (untuk jawatan naib presiden) tetapi kenapa Muhyiddin pula yang harus pergi ke jawatan Timbalan.

Jadi, dipercayaai atas nasihat pengikut-pengikutnya dengan keyakinan dia lebih popular dan diyakinkan begitu lebih-lebih lagi dengan kelebihan PR dia yang lebih mesra berbanding Munyiddin dia tentunya melihat ada peluang.

Namun, dalam politik jawatan Naib dan Timbalan adalah berbeza, walaupun dia amat popular bagi jawatan Naib tidak semestinya dia juga akan popular bagi jawatan Timbalan.

Tindakan kerajaan Melaka yang 'mensedekahkan' gelaran Datuk dilihat sebagai kelebihannya tetapi ia tidak cukup untuk menambat hati perwakilan. Kalau Shah Rukh Khanpun boleh diberikan Datuk...apalah nilainya? Hingga ada akhbar menulis dia bimbang Amithabachan akan diberi gelaran Tun atau Tan Sri pula.

Malah, ramai pemerhati politik yang mempertikaikannya dan ia berlaku dalam suasana persidangan Bahagian sekarang dan mampu menjejaskan kredibiliti Ketua Menteri itu.

Satu lagi calon yang menawar diri, Jazlan Glamour hanyalah Pak Lawak Abad ini yang meraih publiksiti murahan semata-mata meletakkan namanya sebaris pemimpin besar negara.

Kalau bahagian sendiripun setahun sekalipun susah nak bermesyuarat, suara Pemuda bahagian diabaikan, mengamalkan politik berpuak dan pelbagai lagi sikap buruknya. Jelas, dia hanyalah mahu meraih populariti murahan untuk dikenali walaupun sebagai raja lawak UMNO.

Dahulu ketika Menteri Besar Johor masih belum diisi, juak-juaknya sibuk mengatakan Jazlan adalah salah seorang dari calon hingga mempengaruhi pihak media dan namanyapun dimasukkan sebaris dengan Datuk Haji Abdul Ghani Othman, sedang hakikatnya jauh panggang dari api.

Pendak kata, nasihat Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad amat sesuai dituruti, calon Timbalan selain Muhyiddin hanyalah pak lawah.

Justeru, bagi memperkukuhkan parti yang menghadapi pelbagai cabaran sekarang, UMNO perlu meletakkan pemimpin yang benar-benar komited dalam perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

Jelas tindakan Munyiddin yang ibarat mengorbankan jawatannya hanya untuk menegur kesilapan ketuanya adalah satu sikap yang amat terpuji, walaupun peringkat awal dia dicemuh oleh segelintir pemimpin UMNO tetapi menjelang pemilihan bahagian ini, suara keramat akar UMNO mula bergema.

Jadi tidak hairanlah jika mereka berdua kini merupakan calon yang amat popular, manakala Datuk Seri Hishamuddin pula dilihat sebagai pemimpin pelapis yang perlu diberi tempat bagi mengalas cabaran negara pada masa akan datang.

Ahad, 12 Oktober 2008

AIR MATA DI KUALA LUMPUR



Dia memberi maruah kepada imej anak seni. Di Jalan Dedap, legasi tinggalan P Ramlee bagaimanapun, berbisik mereka menyaksikan kepayahan, keperitan dan air mata seorang lagenda.

OLEH ZURINA WAJI


Jalan Ampas, Singapura. Satu masa, dunia seni perfileman Melayu pernah mencatat sejarahnya di sana, di bawah bendera Shaw Brothers, lahir banyak nama yang masih jadi sebutan sampai sekarang.
Dan, seorang yang disebut orang seniman agung – P Ramlee.
Kurus, melidi. Cengkung, muka terlihat kesan jerawat. Kumis halus, lagak hero Tamil, MGR. Serta rambut kerinting yang berkilat, siap dengan jambulnya. Di sebalik itu, dia punya senyuman paling manis.
“Dia ada pakai apa-apa ke?” tanya saya kepada Pak Lah, begitu saya meneriak Datuk Abdullah Hussain, sasterawan negara, dalam satu pertemuan beberapa tahun lalu.
Sejarah Pak Lah dan seniman itu bermula seawal 1951, bergaul sampai bekerja di Penerbitan P Ramlee yang menerbitkan majalah Gelanggang Filem. Namun kepada soalan tadi dia hanya senyum, tidak berkata apa mengenai “senyuman misterius” itu.
Di tahun ke-35 pemergiannya, misteri senyumannya itu menghantar saya ke No.22 Jalan Dedap di Kuala Lumpur, rumah milik seniman berdarah Aceh itu yang kini dijadikan Pustaka Peringatan P Ramlee.
Sepi, begitu dirasai. Hati yang barangkali mengharap akan dibawa oleh kegemilangan era hitam putih P Ramlee, hampa. Tiada justifikasi dalam memperingati manusia yang dikagumi semua, yang menjadi “harapan bangsa” itu.
Jelas, begitu tinggi martabatnya diangkat sampai diberi gelaran Tan Sri, dengan filemnya diputar di TV sehingga kini dan tanyalah hatta pada anak kecil sekalipun, siapa tidak kenal P Ramlee. Ironi sungguh, rumah itu melempar kesedihan.
Jelajah di pustaka membawa pengunjung melewati memorabilia - salinan poster lakonan dan arahan, piring hitam, foto lama yang menyingkap seawal zaman anak-anaknya malah biola yang pernah dimanjai P Ramlee, menggesekkan Azizah yang membawanya ke Jalan Ampas, mencipta kegemilangan yang membuat ramai mengungkapkan: Di mana kan ku cari ganti?
Di satu sudut, kerusi hitam tertera “Director, P Ramlee A.M.N”.
Terus terang, siapa yang ingin kita perolok-olokkan di sini? Hari ini, diselenggara Arkib Negara, hati ini bagai disiat: Ini sajakah yang termampu dilakukan sebagai memperingati seniman yang disebut agung, lagenda itu?
Mahu disebut tanda kegemilangannya, piala-piala usang, helaian nota muzik yang kekuningan terpamer buat tatapan. Entah harus gembira, sedih atau ketawa apabila busana yang pernah disarung P Ramlee dan Saloma dipamer di dalam balang kaca, di penyangkut berupa wajah mereka – tidak ubah seperti jualan baju murah di pasar malam.
Jika ada yang berasa ini satu jenaka, tidak ada yang ketawa.
Di sudut ‘Di Sebalik Tabir’ yang sama luasnya dengan tandas awam, beberapa helai busana yang didakwa pernah diguna P Ramlee dan Saloma dalam filem mereka digantung asal boleh. Dan busana itu, ada yang mulai berhabuk.
Sudah tentu, ini bukannya Elvis Presley dan Gracelandnya…
Warkah daripada Saloma buat P Ramlee, suami tercinta, yang dikirim ketika dia berada di Thailand kerana kontrak menyanyi, bermain di fikiran. Bukan kerana rasa kasih yang dirasai dalam nukilan Saloma itu, namun lebih pada bait-bait yang mengungkap kesengsaraan kerana harus berjauhan, ditelan demi kantung yang bagai memperjelas situasi mereka ketika P Ramlee sudah mulai tidak dihiraukan.
Pak Lah, dalam pertemuan dulu memberitahu apa yang sepatutnya apabila sekadar berkata, “P Ramlee, sampai mati masih bayar hutang.” Disanjung ke langit di satu masa, dia tersembam kerana tapi tiada peduli akan keujudannya.
Atau, barangkali Pustaka itu memang seharusnya begitu, dengan memorial buat P Ramlee yang tidak berapa gah kerana itulah apa yang ditinggalkan manusia lagenda itu di penghujung hayatnya – air mata.

* Artikel ini disiarkan di majalah E9, Isu 2, Ogos | September 2008

Sabtu, 11 Oktober 2008

ESOK MASIH ADA


Simple, tapi tidak mudah? Kami, rencah yang mengasyikkan Lebaran.


OLEH ZURINA WAJI

KAMI
ARAHAN EFFENDEE MAZLAN dan FARIZA AZLINA
LAKONAN LIYANA JASMAY, SYARUL EZANI, NAS-T, JULIANA EVANS, ZAYANAH IBRAHIM, ZAHIRIL ADZIM
GENRE DRAMA
TAYANGAN HARI RAYA PERTAMA
SINOPSIS Cerita lima sahabat, bermula dengan salah seorangnya, Abu yang lari dari rumah akhlak untuk bersama Ali, Lynn, Sofie dan Adii meraikan hari terakhir mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Sedang gembira, kehidupan lampau Lynn kembali menghantui. Siapa Boy, si pengedar dadah yang memburu Lynn menimbulkan persoalan, lalu mencetus konflik yang membawa kepada rahsia dan keputusan yang bakal merubah hidup mereka.


Buat seketika, saya lupa bahawa hari ‘suka-suka’ semasa remaja itu sudah lama ditinggalkan.
Separuh segan, dengan diri sendiri sebetulnya, saya ikut senyum dengan, kenakalan lima sahabat yang menjadi teras dalam garapan dua sutradara muda, Effendee dan Fariza.
Saya tidak mengharapkan keajaiban daripada karya cereka pertama mereka ini, tapi kerana diangkat daripada siri TVnya yang popular juga, ia mencetus rasa ingin tahu bagaimana rupanya apabila ia dibawa ke layar lebar.
Seperkara, saya tidak menduga akan berasa enjoy sebegini dengan Kami.
Menakjubkan bagaimana saya masih dapat mengaitkan diri dengan lima karektor ini, dengan keletah dan kenakalan mereka sambil dua sutradaranya membangkitkan imaginasi, memberi feel tapi dalam suasana semasa, lewat kegilaan anak muda sekarang ini dengan gig dan band-band indie mereka.
Audiens sebaya, juga lebih muda atau tua ada sisi yang akan disentuh filem ini, menjadikan Kami satu pengalaman menonton yang indah. Hati dicuit, jiwa terusik saat mengikuti perjalanan setiap karektornya yang seolah dicuri daripada cebisan kisah atau pengalaman kita.
Biar ada rasa aneh menghambat perasaan, menakjubkan bagaimana filem ini terasa relevan dan apa lagi rencah yang baik buat sesebuah karya sebagaimana yang dipersembahkan Kami?
Saya berasa senang kerana Kami tidak berlebih-lebih, tidak meleret. Cerita yang tampak simple, tapi mencabar dalam plot serta pertalian antara karektor-karektornya yang dicetus oleh kehidupan lalu Lynn– Boy dan bisnes dadahnya.
Plot Kami disulam dengan cerita suka dan duka, serta konflik anak muda yang membabitkan hati dan perasaan cinta – pada ibu bapa, teman dan kekasih. Ia juga cerita mengenai pengorbanan, dengan karektor Abu lakonan Nas-T yang terluka dengan kematian abang dan menuntut perhatian daripada seorang bernama ayah atau Ali (Syarul Ezani), anak orang kaya yang menyasar ke kancah dadah kerana hanya memendam rasa.
Juliana sebagai Sofie, mungkin agak kaku mencerminkan karektornya dan sementara saya awalnya mengira Liyana akan mencuri perhatian dengan peran Lynn, tapi Nas-T membuat audiens lebih percaya dengan persembahannya. Selamba, bersahaja, saya mengira Nas-T adalah bintang yang perlu diberi perhatian kerana ia bisa buat anda suka, benci, geram, ketawa dan menangis.
Sebagaimana Zahiril menggerunkan hati dengan perannya sebagai Boy, menakjubkan bagaimana karektor sehitam itu berupaya mengejutkan audiens dengan sifatnya yang begitu ironi, dengan kasih dalam momen yang nyaris tidak tertangkap kerana berlalu sepantas ia melemparkannya. Momen yang membuatkan kita ingin mendekatinya walaupun pada masa sama, menggeruninya.
Saya pasti, penganjuran gig bukan cuma di bilik sekangkang kera dengan audiensnya yang tidak mencecah 30 atau mungkin, 20 orang seperti yang ditonjolkan di dalam filem ini, tapi pemilihan lagu-lagu daripada band-band indie menambah keasyikan menontonnya.
Saya senyum, saya ketawa. Dan, saya ikut merasa duka. Satu ketika, saya berasa sesak di dada, menyeka air mata yang memberati di akhir cerita. Masih, saya ingin menonton Kami lagi kerana ia mengingatkan saya bahawa sekacau mana pun hidup ini, masih ada harapan di hari esoknya.
Dan, buat seketika Kami buat saya rasa muda. Benar muda.

* Reviu ini disiarkan di majalah E9, Isu 3, Oktober | November 08

MENDAKAP NOSTALGIA LEBARAN




Salahkan pencipta kerana tidak satu hit pun yang terciptakan? Atau, salahkan pendengar kerana masih berpegang pada nostalgia setiap kali datangnya Lebaran?


OLEH ZURINA WAJI

Bas mini merentasi Chow Kit Road. Bas nombor berapa, tidak dapat saya ingati. Orang yang bersesak, konduktor bertubuh gempal yang berteriak meraih penumpang tambah meresahkan hati yang sejak tadi diasak lagu-lagu raya pilihan ‘drebar’ bas. “Balik kampung, Oh Oh Oh balik kampung hati girang… ” Lantunan suara Allahyarham Sudirman itu meresahkan saya, “apa aku buat kat KL ni?”
Balik kampung adalah salah satu agenda yang melengkapi sambutan Lebaran. Salahkan Sudirman barangkali kerana membuat hati tidak tertahan menanggung rindu di kampung halaman? Lagu yang membangkitkan nostalgia sambutan raya di zaman anak-anak.
Saya suka mendengar kelunakan Halil Chik dengan lagu Lenggang Mak Limah, kerana mengingatkan pada arwah mak yang sibuk mencari kain maslin putih buat menutup nasi impit dengan lesung batunya untuk disertakan dengan hidangan pagi Lebaran kami - lontong, kuah lodeh, serunding, sambal goreng dan ketupat.
Selamat Hari Raya daripada Saloma menambah keterujaan seorang anak kecil mendengar “minta mak, kuih sepotong… saya mahu makan kerna perut kosong.” Dan, dengan usia yang menginjak dewasa, begitu juga senarai lagu raya yang membangkitkan nostalgia, menghambat saya dengan sebuah senyuman bersama Ahmad Jais dan Selamat Hari Rayanya yang menenangkan.
Ku Mohon Keampunan nyanyian Al-Jawahir ke Sudirman, sekali lagi, dengan Dari Jauh Ku Pohon Maaf atau Sepasang Kurung Biru oleh Khairil Johari Johar… dan senarai itu berterusan. Menakjubkan bagaimana setiap kali, lagu-lagu raya sama juga yang diputar dan ia tidak pernah gagal untuk membekas dalam jiwa.
Dan, setiap kali itu jugalah akan terdengar: kenapa lagu raya dulu lebih menusuk jiwa berbanding lagu baru?
Nazam Lebaran ciptaan Pak Ngah yang dinyanyikan Datuk Siti Nurhaliza adalah antara lagu raya baru yang menempatkan dirinya di kalangan lagu-lagu lama yang nostalgik. Biar agak moden, seperti juga Sesuci Lebaran, ia menyuntik keceriaan sebagaimana seharusnya dalam sebuah lagu raya.
Ia, sebagaimana intipati Satu Hari Di Hari Raya ciptaan M Nasir yang membawa bersamanya rasa keinsafan pada bait-baitnya yang memberi makna tulus pada Lebaran.
Selain itu, saya tidak fikir ada lagi lagu raya baru yang memberi kesan serupa.
Dan, berbalik kepada soalan yang sering menerjah: kenapa lagu raya lama?
Definasi Lebaran, bagi saya berubah mengikut usia. Sebagai anak kecil, ia soal hidangan yang menanti di pagi raya, soal baju baru yang akan dijahit arwah mak, duit raya dan dentuman mercun jiran serta bunga api ‘cap kepala kucing hitam’ yang biasa dibeli arwah abah.
Liuk pelita minyak tanah yang memagari rumah, menanti datangnya ‘malam tujuh likur’, bermain perang ‘mercun katak’ atau bunga api, merasai kedamaian malam-malam Ramadan dengan kefahaman ‘setan dirantai sepanjang itu’ serta mencongak bila Lailatulqadar akan tiba sambil beramai-ramai ke surau bagi bersolat Tarawih, antara kenangan terindah dalam hidup seorang anak remaja.
Jadi, pantaslah kenapa kedewasaan membuatkan hati merindui semua itu.
Dan, itulah yang dilakukan lagu-lagu raya lama yang banyaknya membawa cerminan budaya kehidupan Melayu yang selari dengan pegangan agama - nostalgia yang meniup keceriaan serta memahami erti sebuah kerinduan, keinsafan dan hari umat Islam bermaaf-maafan.
Disebabkan itu, sebuah lagu raya harus mampu meresapi jiwa. Sebuah lagu raya Melayu yang mahu membekas harus padat dengan jiwa Melayu, dan itulah kelebihannya lagu-lagu raya lama berbanding lagu baru yang kosong, tidak ada jiwa.

* Artikel ini disiarkan di majalah E9, Isu 3 Oktober | November 08

JAZLAN - LUNCAI ITU TERJUN, BIARKAN!

Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ketua UMNO Bahagian Pulai mahu jadi “suara orang muda” apabila menawarkan diri bertanding jawatan No.2 UMNO. Kasar untuk melabelnya “gila”, mungkin “betul atau tidak” kepalanya, lebih sopan? Gila glamour yang sering dilakukannya bermula kononnya sebagai bakal Menteri Besar Johor sebelum pilihanraya Mac lalu kini menawar diri pula sebagai calon Timbalan Presiden UMNO sekaligus Timbalan Perdana Menteri Malaysia, butakah ahli UMNO sekarang atau butakah dirinya sendiri melihat tindakannya yang menjadi bahan politik terlawak abad ini.

OLEH AJENG ARIA

Nur Jazlan mendapat apa yang dia mahu – perhatian murahan! Biarpun dengan respons berupa tawa sinis dan kecaman, tapi bagi seorang yang tidak popular dari segi sokongan, idea dan kerja, buatlah stunt. Lalu, ketepikan semua pertimbangan akal asalkan nama disebut, diri jadi perhatian (sekurang-kurangnya nama sebaris pemimpin senior).
Jauh daripada keberanian sebenarnya, tindakan Nur Jazlan lebih bersifat kedangkalan, kejahilan dan strategi yang tentunya memakan diri.
Atau, senteng pemikiran? Terdesakkah UMNO untuk pemimpin seperti itu? Sedang di Bahagiannya sendiri dicabar oleh timbalan Bahagian, Datuk Osman Sapian yang memperolehi sokongan kuat dengan pencalonan meyakinkan. Kalaupun terdesak nak meyakinkan penyokong di Bahagian sendiri janganlah membuat cerita atau tindakan yang terlalu lawak hingga semua orag tertawa dan yang diluar UMNO pula melihat, gelojohnya orang muda ini yang lupa siapa dirinya sendiri.
Seorang akauntan bertauliah yang mewarisi kecenderungan politik daripada bapa, mantan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Mohamed Rahmat, tindakannya disambut dengan tawa besar oleh Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Dr Rais Yatim.
Sambil mengutip peribahasa “ukur baju di badan sendiri”, Rais menegur jawatan tertinggi UMNO bukan untuk dieksperimen dan menegaskan jawatan seperti Presiden dan Timbalan Presiden perlu diisi calon dengan kriteria penting, seperti teruji kepimpinan dan keintelektualan diri.
Nur Jazlan, 42, dalam kenyataannya mendakwa sistem birokrasi UMNO tidak membuka ruang untuk “orang muda naik” menyebabkan perlu “membawa perubahan”. Maka, jawatan Timbalan Presiden yang kini dilepasi Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mengumumkan bertanding kerusi Presiden, dibidik.
Soalnya adakah dia membuka ruang kepada Pemuda Bahagiannya sendiri? Tanyalah ketua Pemudanya, Abdullah Yusof bagaimana azabnya dia menjaga Pemuda Bahagian yang langsung dianak tirikan di Bahagian sendiri, oleh Ketua Bahagian yang kononnya mewakili orang muda.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang kecewa dengan perkembangan itu, menyifatkannya sebagai “gila jawatan.” Dia melihatnya sebagai “satu trend yang tidak begitu sihat, seolah-olah UMNO menjadi satu tempat untuk memperjuangkan kepentingan diri masing-masing.”
Perlembagaan memang tidak menghalang sesiapa bertanding, tapi alasan Nur Jazlan bahawa dengan berjawatan lebih mudah dia menjadikan parti relevan semula dilihat satu obsesi. Cita-cita tidak menjadi hal, soalnya: layakkah?
Ibarat hidung yang tak mancung, pipi terus disorong-sorong.
Sedang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menawarkan diri bertanding jawatan sama disambut sinis sebelum dia menarik diri, apatah lagi ahli seperti Nur Jazlan.
Politik dunia menyaksikan Amerika Syarikat dengan Presidennya yang berusia 40an, seperti John F Kennedy ke calon popular, Barrack Obama tapi ekonomi, pembangunan rakyat antara yang diisi dalam agenda menyokong kepimpinan mereka. Usia bukan penghalang, tapi mereka tidak jadi pemimpin dengan perjuangan di jalan pintas.
Sekadar “mahu menonjolkan diri dan terkenal dengan jalan singkat” menurut Pengerusi Putera UMNO Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung perlumbaan mereka ini yang “tidak melihat diri sendiri ketika menawarkan diri bertanding.”
Malah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan perkembangan itu telah “merendah-rendahkan kedudukan dan martabat” jawatan Timbalan dan Naib Presiden UMNO.
“Jawatan tertinggi dalam UMNO ini memerlukan individu yang
berpengalaman, beramanah dan mempunyai tanggungjawab yang cukup berat
terhadap agama, bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Jadi, molek kita bertanya kepada Nur Jazlan apakah dia punya semua itu? Satu yang pasti, anak Tok Mat ini akan diingati kerana kegopohan yang berputik dengan obsesi yang memakan diri. Harap-harap lepas ini dia tidak pula menawarkan diri untuk menjadi Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Manalah tahukan.

Khamis, 9 Oktober 2008

Pak Lah tidak pertahan jawatan demi kebaikan parti

Rata-rata pemimpin UMNO dan BN hari ini memuji tindakan Pak Lah untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden pada Pemilihan UMNO Mac depan dan menyifatkan beliau sebagai mementingkan parti lebih dari kepentingan peribadi.
Malah ada yang berpendapat ia akan mampu memulihkan kepercayaan rakyat dan ahli UMNO khususnya kepada parti itu dan ia mendatangkan kebaikan kepada parti.
Dengan kata lain, kehadiran Pak Lah lebih mendatangkan kemudaratan kepada parti dan perpecahan khususnya dikalangan Komponen BN, betul tak?
Daripada maklumat yang diterima, seandainya berlaku pertandingan juga, dijangka Pak Lah akan mendtangkan aib sendiri kerana dijangka tidak akan cukup pencalonan untuk 58 pencalonan bagi melayakkannya bertanding jawatan presiden parti.
Inilah presiden parti pertama UMNO yang terpaksa mengundur selepas lebih 2/3 ahli UMNO sendiri sudah tidak lagi menerima kehadirannya akibat kesilapan yang berulang-ulang dilakukannya hingga hampir meruntuhkan kerajaan BN pada PRU12 lalu.
Hinggakan Johor sendiri sebagai tiang seri umno dan jantung hati BN menjadi negeri pertama mencadangkan peralihan kuasa hanya tiga minggu selepas PRU12 yang terus mencetuskan fenomena peralihan kuasa sehingga memaksa Pak Lah mengumumkan peralihan kuasa secara mutlak pada 8 Oktober lalu.
Tiada siapa bersedih atau menangisi pengumuman berkenaan hanya segelintir manusia yang melaung-laungkan 'hidup Pak Lah' di PWTC ketika mesyuarat Tertinggi BN. Saya masih ingai pada petang pengumuman Tun Dr M mengumumkan perletakan jawatan ramai di dalam dewan PWTC menangis dan ramai yang memujuknya. Sebaliknya pengumuman Pak Lah tidak bertanding jawatan Presiden UMNO hanya mengundang sorakan dan tepukan dengan segelinir terfikir alangkah bagusnya jika Pak Lah terus meletak jawatan sebagai PM.

Isnin, 6 Oktober 2008

Melayu Sarawak Bimbang Masa Depan UMNO?

Asalamualaikum wbt, saya masih berhari raya di Sarawak (kampung isteri di Bintulu), di sini banyak rumah yang saya kunjungi terutama sanak saudara isteri di Sarawak. Tetapi agak mengejutkan hampir kesemua rumah yang dikunjungi menanyakan mengenai keadaan UMNO hari ini.
Rata-rata mereka masih mengharapkan UMNO untuk menjadi pejuang bangsa Melayu hingga ada yang melahirkan perasaan sedih mereka kerana UMNO tidak ada di Sarawak sebagaimana kehadran UMNO di Sabah.
Walaupun PBB ada mewakili mereka tetapi kebanyakan mereka menyifatkan kebanyakan kekayaan dan manfaat hasil bumi Sarawak hanya diperolehi oleh satu kaum sahaja. Jadi kebnyakan mereka sudah tidak lagi parti itu.
Kehadiran PKR memberikan harapan baru kepada rakyat Sarawak dan rata-rata mereka beranggapan imej DS Anwar masih sama seperti pada tahun ketika beliau menjadi TPM dahuu sehingga 1997.
Apabila saya menjelaskan apa yang dilakukan DS ASnwar melalui Pakatan Rakyat terutama negeri-negeri yang diperintah olehnya khususnya di Perak dan Selangor dimana Menteri Besar melayu dilihat lebih menjadi boneka DAP, barulah mereka sedar dan faham keadaannya.
Persoalannya apakah pilihan yang mereka miliki? Dengan pembangunan sering mengambil tanah-tanah orang Melayu untuk digunapakai dan dijadikan milik bersama kaum2 lain, dengan bayaran pampasan hanya puluhan ringgit sahaja seekar, dengan kehidupan yang semkin terpinggir, apa alternatif yang dimiliki seandainya PKR terus bertanding dan PBB tetap gagal membela nasib mereka.
Tindakan ketua menteri meletakkan anaknya sebagai calon menambah 'mual' orang Melayu Sarawak terhadap PBB, mereka melihat anaknya kurang mesra rakyat sengan ucapannya lebih 'slang' inggeris.
Walaupun BN gagal mendapat 2/3 kerusi majoriti parliman tetapi kebanyakan mereka faham UMNO tidak kalah yang kalah MCA, Gerakan dan MIC dan rata-rata mereka menganggap ia bagai pakaian mereka seolah sengaja mengurangkan kemenangan BN agar tuntutan kaum masing-masing lebih didengar.
Satu harapan mereka bilakah UMNO ingin masuk ke Sarawak?

Rabu, 1 Oktober 2008

INTERVIEW EKSKLUSIF BERSAMA MENTERI BESAR JOHOR, DATO' ABDUL GHANI OTHMAN

Ikuti temubual khas bersama antara Menteri Besar Johor, Dato' Abdul Ghani Othman bersama Ketua Editor E9, Yusaini Ali, di Saujana Johor Bahru baru-baru ini.

PENANGGUHAN PEMILIHAN UMNO UNTUK PERCEPAT PERALIHAN KUASA- GHANI OTHMAN

SOALAN : Terlebih dahulu bagi pihak majalah E9 kami mengucapkan terima kasih atas kesudian Dato’ untuk diwawancara dalam majalah ini. Sebelum kita pergi ke soalan yang lebih lanjut bolah tak Dato’ ceritakan sedikit perjalanan politik sejak awal pembabitan sehingga kini sebagai Menteri Besar Johor buat penggal ke-4?

DATO GHANI: Saya terlibat dalam politik secara langsung pada usia yang agak awal. Penglibatan saya berlaku selepas saya balik daripada pengajian di luar negara iaitu 1974 bersama-sama dengan ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan di kampong dan di Bahagian Ledang. Sambil saya mengajar dalam bidang ekonomi di UM, penyertaan saya dalam Pergerakan Pemuda UMNO di peringkat Cawangan dan Bahagian secara berterusan sejak itu, saya dapat memerhatikan suasana negara dan masyarakat dalam konteks pembangunan sama ada dalam bilik kuliah ataupun di peringkat akar umbi UMNO. Ini berlaku sepanjang lebih kurang 10 tahun sehinggalah satu syarat baru iaitu golongan professional tidak dibenarkan terbabit dalam politik secara langsung dan saya mengambil keputusan untuk menjadi Ketua Pemuda Bahagian pada 1984 dan berhenti daripada bertugas sebagai pensyarah di UM. Beberapa bulan selepas itu, saya dilantik sebagai senator dan berada di Dewan Negara selama setahun setengah sehingga pilihanraya UMUM pada 1986 di kawasan Ledang dan saya dipilih sebagai wakil rakyat di Dewan Rakyat dan 1987 dilantik sebagai Menteri Tenaga dan bertanding sekali lagi dalam Pilihanraya UMUM 1990 sebagai Timbalan Menteri Kewangan Kewangan dan Menteri Belia pada 1994. Selepas pilihanraya 1995 saya terus ke Johor dan menjadi Menteri Besar sehingga kini. Jadi saya terbabit selama 34 tahun sebaik selepas belajar selama tujuh tahun di Australia dan sudah 24 tahun sebagai wakil rakyat Parlimen dan DUN, timbalan menteri, menteri dan menteri besar.

SOALAN : Maknanya Dato’ adalah antara pemimpin yang berpengalaman luas di negeri dan negara ini dan apakah perbezaan ketara yang dapat dato’ lihat sejak awal pembabitan dato’ dan trend politik hari ini?.

DATO’ GHANI: Dulu perjuangannya agak jelas ke arah membentuk sebuah negara yang makmur dan adil. Perjuangan UMNO generasi saya di warisi selepas pejuang kemerdekaan negara, menempa kemerdekaan seterusnya adalah untuk membela kesejahteraan rakyat melalui pembangunan yang dikecapi secara adil oleh rakyat jelata tidak kira apa bangsa sekalipun sama ada Melayu, Cina atau India. Itu pengamatan saya di segi pengisian dalam politik. Sebenarnya kalau kita lihat apa yang dituntut DAP dan Pakatan Rakyat ialah kemakmuran yang dikecapi secara adil dan itulah yang Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak lakukan. Satu lagi pengamatan saya ialah ‘Pembangunan’ dan ‘Keadilan’ itu menjadi peggangan saya dan ia bergantung kuat kepada mutu serta peringkat kepimpinan politik itu mestilah mempunyai komitmen dan didikasi untuk memenuhi perjuangan tersebut dan pengamatan saya juga, mutu dan kualiti kepimpinan kini berubah-ubah di segi makna perjuangan politik untuk rakyat. Mutu pemimpin untuk melaksanakan perjuangan tadi, di segi intelek, didikasinya amat penting bagi menjaga masyarakat yang dipimpinnya. Kalau korup bagaimana nak bawa keadilan dan kemakmuran kepada rakyat dan negara.


SOALAN : Selepas empat penggal menerajui pemerintahan Johor dan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Dato’ dilihat konsisten terhadap perjuangan memartabatkan Bahasa Melayu dengan desakan supaya pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dikembalikan dalam Bahasa Malaysia berbanding Bahasa Inggeris sekarang bermula dengan Konvensyen UMNO Johor dan hari ini hasil perjuangan itu soalan bagi mata pelajaran itu telahpun mula diadakan dalam dwi bahasa iaitu BM dan BI. Adakah Dato’ dan UMNO Johor khasnya akan meneruskan perjuangan ini?

DATO’ GHANI: Kita perlu mempertahankan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang membawa kepada perpaduan dan jati diri kepada negara kita dan ini dapat diperkuatkan lagi dengan bahasa kebangsaan itu juga menjadi bahasa ilmu. Oleh itu, bahasa kebangsaan mesti juga menjadi bahasa di bilik darjah dan di peringkat universiti, maka ia akan menjadi lebih jitu sebagai bahasa kebangsaan. Ia akan menjadi bahasa yang menyemarakkan ilmu. Kita juga menerima hakikat bahawa Bahasa Inggeris juga penting untuk kita mempunyai kekuatan perhubungan di peringkat antarabangsa. Oleh demikian, kita perlu mempertahankan berkenaan sebagai bahasa yang perlu dikuasai oleh rakyat Malaysia, itu kita tidak menidakkannya. Berdasarkan kepada dua perkara tersebut, maka mengajar matematik dan sains dalam Bahasa Inggeris membawa kesan yang negatif terhadap dua perkara pokok di sini iaitu merumitkan pelajar daripada menguasai ilmu tersebut dari menguasai ilmu matematik dan sains dan untuk menguasai bahasa inggeris itu sendiri. Cara yang paling baik mengikut pendapat pakar dalam bidang pendidikan ialah belajar matematik dan sains melalui bahasa ibunda. Jadi, saya berpendapat kita boleh menguasai sains dan matematik melalui bahasa Malaysia dan menguasai bahasa inggeris dalam mata pelajaran itu sendiri. Saya yakin jika ia dapat disampaikan dalam tempoh persekolahan, saya yakin anak Malaysia akan menguasai bahasa inggeris. Saya tekankan bahasa ibunda paling berkesan untuk menyampaikan ilmu termasuk sains dan matematik dan bahasa inggeris diajar secara sistematik sepanjang 11 tahun, di segi nahunya, perbendaharaan kata, struktur ayatnya, di segi penulisan dan pengucapan serta saya yakin jika itu dilakukan anak Malaysia akan dapat menguasai sains dan mematik serta bahasa inggeris tetapi kalau kita teruskan pendekatan yang ada hari ini kita akan rugi kerana pelajar tidak dapat menguasai sains dan mematik begitu juga bahasa inggeris. Mana ada diajar di segi nahu, perbendaharaan kata dan sturktur ayatnya ketika pembelajaran sains dan matematik.

SOALAN : Hari ini, ramai yang berkata tanpa politik wang pemimpin itu tidak mampu untuk meningkat dan diterima perwakilan, sehingga ramai yang melihat mereka yang dipilih hanya mempunyai kekuatan untuk memenangi pertandingan selepas membeli perwakilan tetapi tidak mempunyai sokongan di peringkat akar umbi parti. Bagaimana Dato’ melihat gejala politik wang ini? Dan apakah yang seharusnya dilakukan ahli UMNO ini?

DATO’ GHANI : Saya amat bimbang tentang politik wang yang sudahpun menjalar di semua peringkat sehinggakan saya menganggapkan ia sebagai bentuk amaran ‘putaran ganas’ yang mula mencengkam amalan politik. ‘Putaran ganas’ ini telah tiba pada peringkat sambut-menyambut pada kedua-dua peringkat iaitu memberi dan menerima. Yang memberi mengatakan jika tidak dia tidak akan mendapat sokongan, yang menerima pula beranggapan tiada wang tiada sokongan dan ini malang sekali berlaku di semua peringkat. Saya pernah mengambil pendirian bahawa yang dapat mempertahankan parti ialah keahlian di peringkat akar umbi lebih-lebih lagi untuk menyangkal amalan politik wang tetapi sejak kebelakangan ini nampaknya di peringkat akar umbipun sudah mula terjebak, kerana ada diantara mereka yang telahpun disuakan dengan amalan politik wang. Dulu pendirian saya ia boleh dikekang di peringkat akar umbi kerana mereka memberikan sokongan kepada pemurnian perjuangan tetapi kebelakang ini, ia turut terjebak politik wang. Saya berharap bahawa semua ahli parti menyedari dan menginsafi kesudahan amalan ini akan memberi kesan dan keadaan yang merosakkan dan meruntuhkan parti apa lagi ia akan menyebabkan kita akan memilih pemimpin yang lemah dan tidak mempunyai kekuatan sebenar untuk memimpin parti dan rakyat. Jika itu terus berlaku kita akan menghadapi masalah yang serius dalam tempoh terdekat ini dan tidak akan mengambil masa yang panjang. Pemimpin seperti ini tidak akan mampu membawa segala cabaran yang ada.

SOALAN : Baru-baru ini, empat orang ditahan dibawah ISA termasuk Exco Kerajaan Negeri Selangor, Teresa Kok; pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin. Apa komen Dato’ mengenai penahanan mereka?

DATO’ GHANI: Bagi saya, di segi asas dan sebab mereka ditahan hendaklah kukuh dan kuat. Ia amat penting untuk rakyat menilainya dengan sewajarnya demi keselamatan negara dan melalui prosedur yang diperuntukan. Jika sebabnya tidak kuat, maka ia menimbulkan tanda tanya kepada tindakkan tersebut. ISA pernah digunakan pada masa-masa yang lalu dan kita lihat bahawa rakyat menerimanya sebagai satu daripada peruntukan yang ada di dalam negara untuk menjamin kesejahteraan negara. Rakyat boleh menerimanya sekiranya asas dan sebab yang kukuh dan prosedur yang jelas diperuntukkan.

SOALAN : Adakah ISA masih releven diguna pakai di negara ini, ketika ini?

DATO’ GHANI: Ia masih releven dan ia berkait tentang keselamatan negara. Kita sebuah negara yang amat terdedah kepada perkara-perkara sensetif yang boleh menyentuh soal keselamatan rakyat dan kita juga tidak sunyi daripada pihak-pihak yang agak melampau yang boleh bertindak mencabar soal keselamatan negara. Jadi saya berpendapat ia masih releven. Cuma apabila digunakan ia hendaklah kukuh dan kuat dan dalam keterbukaan hari ini jika ia memang benar-benar kukuh dan kuat saya yakin ia boleh diterima.

Soalan : Umno dahulu pernah dilabelkan parti kekampungan yang memperjuangkan apa sahaja permasalahan akar umbi khususnya di kampung-kampung dan isu agama, bangsa, dan negara. Hari ini parti pembangkang sering melebelkan UMNO sebagai parti yang tidak lagi releven kerana hanya memperjuangkan nasib golongan tertentu dan individu tertentu, ia juga berjaya mempengaruhi khususnya mereka yang di bandar yang mahukan perubahan. Apakah pandangan Dato’?

DATO’ GHANI: UMNO berjaya bersama-sama parti dalam perikatan dan BN serta membawa kemerdekaan kepada rakyat Malaysia. Satu perjuangan yang begitu besar maknanya. UMNO juga telah memperjuangkan kepentingan rakyat, bukan sahaja di kampung bahkan di bandar sekalipun dengan cara membela kesejahteraan rakyat dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, kebudayaan, keagamaan dan sebagainya. UMNO juga telah membawa kepada pembelaan rakyat di peringkat bawahan sehingga kita dapat lepaskan ramai daripada mereka di peringkat terbawah yang tidak lagi diparas kemiskinan. Ia berkembang sehinggalah kepada keluarga di kalangan rakyat Malaysia dalam kelompok menengah sama ada menengah atas, menengah menengah dan menengah bawah dan ini berlaku di kalangan semua masyarakat. Oleh itu, perjuangan UMNO telahpun membawa hasil dan kejayaan serta ia membawa kepada wujudnya kepelbagaian dalam masyarakat kita hari ini termasuk dalam bentuk cita rasa, harapan dan tuntutan mereka. Ini wujud bukan sahaja di bandar tetapi juga di luar bandar. Oleh demikian, UMNO berhadapan kepelbagaian yang wujud dalam masyarakat Malaysia yang telah menikmati perubahan yang baik melalui perjuangan UMNO. UMNO kini perlu menyesuaikan kepelbagainya yang wujud dalam masyarakat, seperti Melayu bandar, Melayu Intelek, Melayu Kilang, Melayu Kampung dan sebagainya.


SOALAN : Dato’ pada PRU12 lalu, BN dan UMNO khususnya mengalami kemerosotan sokongan yang besar di seluruh negara sehingga mengalami kekalahan di 5+1 negeri. Adakah BN kini benar-benar berada di tahap yang kritikal sehingga mula ditolak oleh rakyat? Adakah Pembangkang mula membina kekuatan atau hanya BN yang tidak sudah-sudah dengan masalah dalamannya?

DATO’ GHANI: Kita mempunyai pelbagai gelagat pengundi kali ini. Ada yang sememangnya menolak BN, ada juga yang berpendapat perlu dikurangkan majoriti BN dan ada pengundi yang untuk tujuan mengajar kepimpinan BN dengan mengurangkan majoriti sama ada Dewan Negeri ataupun Parlimen. Kita lihat kesudahannya kehilangan majoriti 2/3 dan kalah di lima buah negeri . Ada juga reaksi terkejut melihat keputusan tersebut dan ini membuktikan amalan demokrasi berjalan dengan baik dan subur dengan wujudnya kerajaan di peringkat kebangsaan diperintah BN dan wujudkan kerajaan daripada parti pembangkang di lima buah negeri. Maka, pilihanraya ke 12 ini mempunyai sebab yang begitu pelbagai yang membawa kepada tindakan pengundi. Walaupun begitu, saya berpendapat tiga empat tahun selepas ini begitu penting untuk menentukan gelagat itu akan kekal bertahan atau cenderung kepada perubahan yang lebih baik. Ini terpulang kepada apa yang akan berlaku sebelum kita menghadapi pilihanraya Umum ke13. Tidak semestinya yang menolak BN sebelum ini akan terus menolak dan jika Datuk Seri Najib berjaya meyakinkan rakyat ia akan mampu kembalikan sokongan kepada BN.

SOALAN : Dato’, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika diwawancara majalah ini dalam keluaran lalu menyatakan “UMNO Johor masih menjadi tunggak, tiang seri kepada UMNO keseluruhannya. Jika UMNO jatuh di Johor, kita akan jatuh di seluruh negara. Ini adalah kubu kuat kita.
Tapi sudah ada isyarat awal, kedudukan kita tidak begitu selesa walau kita menang semua kerusi ditandingi UMNO (parlimen). Majoriti undi kita semakin kecil dan tipis, kita kena beri kesedaran, kena buat sesuatu supaya dapat mengembalikan kegemilangan UMNO Johor”. Apakah komen Dato’ mengenai kenyataan Datuk Seri Najib ini dan apakah yang dapat Dato’ simpulkan mengenai kekurangan majoriti yang berlaku di Johor pada PRU12 lalu?

DATO’ GHANI: Kita terima hakikat kita kalah di enam kerusi DUN dan satu parlimen. Enam daripada 56 dan satu daripada 26. Dibandingkan dengan isu-isu yang berbangkit dalam pilihanraya ke12 yang digunakan di seluruh negara yang membawa kesan ‘tsunami’ sehingga hilang 2/3 majoriti, hakikatnya Johor masih dapat bertahan 50 daripada 56 kerusi DUN dan 25 dari 26 kerusi Parlimen. Jika kita lihat isu yang sama digunakan maka BN Johor sebenarnya masih mampu mempertahankan negeri ini dengan kemenangan yang kukuh, walaupun majoriti kerusi berkurangan tetapi majoriti yang adapun pada paras yang besar contohnya Johor Bahru dari 46,000 pada 2004 kepada 26,000 pada pilihanraya lalu tetapi hakikatnya jika mengambilkira scenario seluruh negara majoriti 26,000 masih lagi majoriti yang besar dan kita lihat sokongan diberi tanpa mengira kaum.

SOALAN : Dato’, Budaya UMNO Johor memang dikenali dan dihormati seluruh negara. Dari penyatuan orang-orang Melayu yang dilakukan oleh Dato Onn Jaafar sehingga tertubuhnya UMNO di Istana Besar, Resolusi Melayu Johor (RMJ) pada 18 Disember 1988 dan Penjelajahan Dato’ ke serata negeri Johor untuk memberi penjelasan akibat krisis dalaman UMNO sejurus Datuk Seri Anwar dipecat pada 1997 sehinggalah cadangan Peralihan Kuasa yang dilakukan oleh Perhubungan UMNO Negeri sewaktu kunjungan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke Johor sebelum ini (tiga minggu selepas PRU12). Budaya UMNO Johor yang mengutamakan perpaduan dan kekukuhan bangsa agama dan negara cukup jelas. Bolah tak Dato jelaskan serba sedikit mengenai RMJ dan penglibatan Dato’ ketika itu, siri penjelajaan Dato’ pada 1997 dan cadangan peralihan kuasa sewaktu mesyuarat Perhubungan UMNO negeri yang turut dihadiri Pak Lah? Kesimpulannya apakah pandangan Dato’ mengenai Budaya UMNO Johor ini?

DATO’ GHANI: Pada tahun 1988, UMNO Johor dan orang melayu Johor menghadapi cabaran yang luar biasa, tanda-tanda perpecahan dan kurangnya sokongan mereka terhadap UMNO, ini perpecahan yang paling terdekat pernah berlaku, mungkin zaman Dato’ Onn juga berlaku apabila belliau keluar dari UMNO. Pada 1988 itu, UMNO Johor pada keadaan tercabar untuk mengajak Melayu Johor bersatu padusuk dan beri sokongan kpd UMNO. Saya percaya masyarakat melayu Johor masih lagi sedar dan faham betapa pentingnya Melayu di Johor ini bersatu padu melalui UMNO kerana itu merupakan sumber kekuatan orang Melayu di Johor serta ini untuk bersama-sama bangsa lain di Johor ini. Maka dalan RMJ kita mengambil langkah untuk mengajak pimpinan Melayu yang datangnya daripada badan-badan sukerela Melayu dan kepimpinan Melayu Johor termasuki membabitkan Allahyarhan Tun Hussein Onn dan Allahyarham Jalil Hassan untuk mengajak orang Melayu memulihkan keadaan bersama-sama Melayu Johor. Alhamdulillah dengan kepimpinan yang dihormati maka kita berjaya untuk memulihkan perpaduan dan sokongan kepada UMNO Johor dan itu sebenarnya yang berlaku. Saya serba-sedikit terbabit kerana saya berpegang kepada perjuangan iaitu mengatasi perpecahan dan mengajak perpaduan. Ia satu usaha begitu bermakna dan murni dan saya bersama-sama rakan-rakan lain dengan penuh komitmen dan ini satu pengalaman yang amat bermakna ke arah mengekalkan perpaduan Melayu Johor melalui UMNO. Satu lagi cabaran ialah apabila kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya melihat bahawa Melayu Johor rata-rata tidak terpengaruh hingga membawa perpecahan dan sokongan mereka disebabkan kes itu. Sekadarkan mereka perlu penjelasan dan penerangan yang jelas mengenainya dan saya mengambil langkah untuk bersama semua kepimpinan di Johor ini sama ada di peringkat masyarakat tempatan, daerah dan negeri semuanya terbabit tanpa mengira agama dan budaya dan saya sampaikan dalam tempoh dua bulan setiap hari dan Alhamdulillah pada pilihanraya 1999, kita berjaya dengan begitu baiknya walaupun negeri lain teruk sehingga Terengganupun tewas kepada Pas ketika itu.
Mengenai pelan peralihan kepimpinan, selepas tiga minggu pilihanraya UMUM ke-12, Umno Johor yang bermesyuarat telahpun mengambil keputusan bersama-sama dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memperkukuhkan parti dan menganjurkan Pak Lah untuk peralihan kepimpinan kerana kita berpendapat bahawa kita perlu kepimpinan pada tempoh cukup masa untuk membuat persiapan bagi menghadapi pilihanraya yang ke-13. Ia berlaku tiga minggu selepas PRU12.. Selepas itu barulah timbul ayat peralihan kuasa atau kepimpinan. Sekadarkan tarikhnya sahaja dan Pak Lah cadangkan Jun 2010 tetapi untuk sampai 2010 banyak perkara akan berlaku sama ada ia akan memperkukuhkan lagi Pak Lah ataupun lebih mencabar kepimpinan beliau. Apa yang berlaku sejak kebelakangan ini kita lihat hanya kepada lebih banyak mencabar kepimpinannya dan Pak Lah pun maklum dan saya percaya ia dipercepatkan dan kita dimaklumkan ia dipendekkan kepada Mac 2009. Kita tunggulah pengumumannya sementara kita menunggu Mac 2009. UMNO Johor dan kepimpinan Melayu di semua peringkat yang amat dihargai di negeri ini ialah perpaduannya. Apapun berlaku sama ada pengaruh luarannya atau dalamnya, ia tidak merosakkan perpaduan UMNO dan masyarakat Melayu itu sendiri. Memang ada yang simpati kepada pembangkang seperti Pas di Johor tetapi ia tidak menjelaskan UMNO. Melayu di Johor amat menghayati pentingnya perpaduan dan faham Melayu Johor dan Melayu UMNO Johor dan ia terus dapat dipupuk di peringkat akar umbi serta terbabit dalam semua aspek tidak kira dalam hal pendidikan, kemasyarakat, keagamaan dan sebagainya dan UMNO Johor mempunyai peranan yang kuat dalam masyarakat. Maka perpaduan itu dapat dipupuk secara berteusan di peringkat akar umbi UMNO. Agama Islam di Johor juga tidak menjadi sumber perpecahan, mungkin pendidikan agama yang menyeluruh di semua peringkat dan kebanyakan rakyat bersekolah agama jadi mereka faham dan tidak mudah dipesongkan fahaman serta kepercayaannya seperti isu kafir mengkafir dan ia berlaku dalam setiap anak Johor yang dapat mempertahankan Melayu melalui UMNO di Johor.


SOALAN : Ada yang berpendapat penangguhan ini tidak wajar kerana hanya tiga bulan sedangkan mesyuarat cawangan dan bahagian diteruskan. Apa komen Dato’?

DATO’ GHANI: Satu yang perlu kita terima ialah tempoh peralihan kepimpinan dipendekkan daripada 18 bulan kepada tiga bulan dan ini dapat meredakan cawangan dan bahagian khususnya untuk persidangan bahagian berlangsung pada bulan Oktober ini. Saya berpendapat kita perlu melihatnya secara positif kerana tempoh peralihan telah dipendekkan pada tempoh yang paling ringkas mungkin dan kini ia meredakan keadaan dan tanda tanya yang tercetus dan rata-rata dapat meredakan keadaan yang suasana yang ada di peringkat akar umbi di seluruh negara untuk membolehkan persidangan bahagian berjalan secara tersusun selepas itu kita lalui pula bulan November, Disember, Januari, Februari dan Mac untuk kita timbangkan pemilihan peringkat kebangsaan. Saya ulangi lagi, tujuan utamanya ialah memendekkan proses peralihan kepimpinan dan itu yang paling penting untuk kita terima dengan baik penangguhan tersebut.

SOALAN : Johor sememangnya sinonim dengan keanggotaan dalam Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Pada Perhimpunan Agung UMNO Mac 2009 nanti, ramai calon-calon dari Johor yang akan menawarkan diri. Bagaimana dengan Dato’ sendiri?

DATO’ GHANI: Saya melihat negeri Johor banyak tokoh yang boleh dipertimbangkan perwakilan di peringkat negara untuk pemilihan di beberapa peringkat dalam kepimpinan Majlis Tertinggi. Daripada pengumuman kita lihat ramai tokoh dari UMNO Johor yang menawar diri dan saya percaya perwakilan seluruh negara dapat mempertimbangkannya dan elok kita berikan tumpuan kepada mereka yang telah menawarkan diri, untuk dipertimbangkan di peringkat pencalonan dan seterusnya untuk perwakilan menimbangkan tentang calon-calon yang cukup di segi pencalonan sama ada dari negeri Johor atau negeri-negeri lain.

SOALAN : Bagaimana Dato’ melihat calon-calon dari Johor ini? Adakah UMNO Johor telah berjaya melahirkan pemimpin pelapis dalam UMNO?

DATO’ GHANI: Dalam parti kita sentiasa mempunyai pelapis termasuk dalam Pemuda dan Puteri. Pada pilihanraya pada 2004 banyak kerusi diberi kepada kepimpinan pemuda dan pelapis ada di dalam parti dan diberi peluang untuk bersama sama dalam pilihanraya dan dalam kerajaan dan di negeri Johor ini, kita sentiasa melalui proses membawa ke tengah pimpinan pelapis dalam tempoh-tempoh tertentu. Sebelum 2004, mereka yang bertanding rata-rata datang dari generasi yang agak lebih awal dari pelapis yang ada hari ini seperti Cikgu Kadir, Datuk Ali Hasaan dan Datuk Zainal Abidin Zain, Malik Munip, Haji Miseran dan ramai orang muda mendapat tempat tetapi ada juga yang kecundang sepenggal kerana prestadi yang kurang memberangsangkan.


SOALAN : Tun Dr Mahathir telahpun menyatakan hasrat untuk kembali kepada UMNO dan ramai beranggapan ia akan membantu memulihkan keyakinan orang Melayu kepada UMNO dan bukan Melayu kepada BN, namun ada juga yang berpendapat sebaliknya. Bagaimana Dato’ melihat kesan kemasukan semula Tun sebagai ahli UMNO ini?

DATO’ GHANI: Pertama saya tidak faham mengapa dia tinggalkan UMNO sehingga dia mengambil langkah tersebut, tetapi apapun saya amat mengalu-alukan Tun untuk bersama-sama dengan UMNO dan percaya Tun masih mempunyai pengaruh yang kuat di kalangan rakyat Malaysia tentang apapun yang berlaku terhadap tindakan Tun tetapi saya percaya Tun masih lagi diikuti oleh rakyat Malaysia dan saya percaya Tun dapat memperkukuhkan UMNO serta BN. Saya mengalu-alukannya dan percaya ia mampu memperkukuhkan parti.

SOALAN : Dato’ hari ini, kaum-kaum lain selain Melayu dilihat mula menjauhkan diri daripada BN, mereka mungkin lebih percaya dengan janji-janji Datuk Seri Anwar mengenai persamaan hak di negara ini. Bibit perkauman semakin menebal. Apa komen Dato’ mengenai keadaan ini termasuk kontrak sosial yang telahpun dipersetujui oleh pemimpin terdahulu?

DATO’ GHANI: Saya berpendapat bahawa parti-parti komponen yang masyarakat Cina dan India telahpun bersama UMNO sejak 60 tahun lalu, terbukti kerjasama dan persefahaman antara komponen, MCA khususnya dan MIC. Ia terbukti membawa kepada suasana yang harmoni setabil dan kepada kemajuan serta pembangunan membela kepentingan rakyat sepanjang 60 tahun bersama parti komponen dalam perikatan dan BN. Soal kesamarataan hak sebagainya tidak berbangkit, tidak sepatutnya ada yang boleh mendakwa dia warganegara kelas kedua, setiap individu mempunyai hak dalam perlembagaan dan dapat dibuktikan dengan hidup seharian. Mana ada orang di Malaysia boleh mendakwa sedemikian sama ada peluang dan kedudukan, Mungkin ada yang miskin tetapi kita bantu. Sekadarkan parti pembangkang telahpun mempergunakan dan mempermainkan soal tidak samarataan ini dan dapat mempengaruhi pemiliran setengah-setengah pihak termasuk generasi muda yang mungkin terbawa-bawa dengan tuntutan yang sempit oleh mereka. Walaupun ada peruntukan hak dan keistimewaan orang Melayu tidak bermakna yang lain sebagai kelas kedua. Dalam perlembagaan kita semua mempunyai hak yang sewajarnya. Sekiranya ada pihak yang merasa terpinggir mungkin bukan kerana diskriminasi seperti di sesetengah negara tetapi mungkin ada pelaksanaan dasar yang tidak tepat yang boleh diperbetulkan. Tidak ada amalan diskriminasi dan ini dapat dilihat dalam hidup seharian kita.


SOALAN Bagaimana pandangan Dato’ mengenai taktik DS Anwar dan PKR yang dilihat mengadaikan agenda perjuangan bangsa hanya untuk mencapai cita-cita individu untuk menjadi Perdana Menteri?

DATO’ GHANI: Kita melihat bahawa, satu langkah untuk mencetuskan rasa tidak puas hati dikalangan bukan Melayu. Datuk Seri Anwar mengambil pendirian berbeza-beza bila bercakap dengan orang Melayu dan bukan Melayu seperti kumpulan Hindraf jelas dia bercakap berbeza mengikut khalayaknya. Ia menimbulkan rasa tidak puas hati dan jaminan untuk memenuhi rasa tidak puas hati atau kegelisahan yang dicetuskan oleh dia sendiri. Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak mustahil ia akan bertembung di antara satu sama lain yang wujud diantara masyarakat. Ia akan membawa kepada satu keadaan yang tidak akan menjamin kestabilan dan ini bermakna bahawa matlamat mengizinkan cara yang digunakan dan ia sepatutnya tidak boleh diterima oleh rakyat Malaysia kerana matlamat untuk menjadi Perdana Menteri menghalalkan cara sehingga membawa cetusan rasa tidak puas hati dan syak wasangka bahkan curiga antara rakyat sehingga berbalah antara satu dengan yang lain.

SOALAN : Mengenai Pembangunan Wilayah Iskandar, Johor bolehkah Dato’ ceritakan sedikit perkembangan terkininya.

DATO’ GHANI: Iskandar Malaysia telah dilancar DYMM Tuanku dua tahun lalu, komitmen yang paling awal pada pelaburan yang datangnya dari Timur Tengah dan sumber tempatan dan telahpun mula di peringkat pelaksanaannya. Nampaknya ini disusuli pula dengan minat baru yang agak tinggi di kalangan pelabur lain. Ia telahpun mempunyai momentum yang kuat di segi pelaburan dan pelaburan baru yang akan tiba, Ini berlaku dalam pelbagai sektor bukan sahaja dalam bidang baru dan perkhidmatan pelbagai tetapi juga perindustrian termasuk pengeluaran makanan di peringkat moden berskala besar dan lebih berbentuk organik. Saya yakin Iskandar Malayska akan melalui satu arus pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan dan insyaallah akan menempa matlamatnya dalam tempoh 10 tahun terdekat.


SOALAN : Ada sesetengah pendapat ia hanyalah sebagai Wilayah Pembangunan Singapura dan bagaimana dengan jumlah pelaburan di WPI setakat ini? Apakah benar ia hanya menarik minat pelabur Singapura?


DATO’ GHANI: Kita menyangkal sepenuhnya satu tanggapan kita menjadi wilayah ekonomi Singapura. Bahkan, kita tidak boleh menafikan Iskandar Malaysia menjadi satu wiilayah ekonomi yang mencakupi kawasan sekitarnya termasuk Singapura. Bahawa antara IM dan Singapura ia merupakan wilayah ekonomi yang akan menjadi distinasi pelaburan secara besar-besaran dan ia bukan lagi menjadi kawasan komplimenteri kepada Siungapura tetapi menjadi pesaing kepada Singapura kerana kelebihan yang ada kepada IM itu sendiri sepeti kawasannya yang tiga kali lebih besar dari Singapura dan kosnya yang lebih kecil. Hingga kini walaupun kita telah menempuh pelaburan sehingga RM35 billion tetapi belum ada satupun datang daripada Singapura. Saya percaya ianya perlu menerima hakikat IM akan menempa kejayaan dengan kekuatan pelaburan yang datang dengan pelbagai sumber.


SOALAN : Bagaimana pula dengan pembelaan orang-orang Melayu khususnya yang banyak menduduki setinggan-setinggan di sekitar kawasan pembanguanan?

DATO’ GHANI: Satu daripada impak ialah kita juga membawa pembangunan ke kawasan sedia ada termasuk setinggan dan kebetulan di sini akan berlaku juga pembangunan dan ia hanya dapat dilakukan dengan melibatkan mereka, Alhamdulillah satu projek untuk mereka yang sedangpun dirancang untuk pelaksanaan dan dijalankan pada 2008 ini juga. Ia akan melibatkan kira-kira 5,000 setinggan diantara perairan Sg Tebrau Plentong, sempena untuk pembinaan lebih raya penyuraian ke timur yang menghubungkan kompleks kastam dan imigresen dengen interchain di pandan dengan pembangunan di skudai kiri dan kita telahpun mempunyai peruntukan yang cukup dan kita merancang untuk mereka mempunyai rumah yang lebih selesa di segi keluasannya dan kita akan pastikan kita dapat selesaikan masalah setinggan dalam IM ini.

SOALAN : Selain itu, pembangkang sentiasa mencari kesempatan untuk memperjuangkan isu setinggan dan pembangunan yang dirancang kerajaan sentiasa dijadikan isu untuk menimbulkan kemarahan rakyat. Apa pandangan dan nasihat Dato’ kepada penduduk terbabit dan apa jaminan nasib mereka akan terbela?

DATO’ GHANI: Pembangkang ini sebenarnya mengambil isu setinggan ni ditengah jalan sahaja, Ia telah diambil kira oleh kerajaan untuk penyelesaian muktamat. Mungkin ia memakan sedikit masa dan pembangkang ambil kesempatan untuk bertemu mereka kononnya suara pembangkang lebih nyaring tetapi sebenarnya tidak begitu. Apapun semuanya telah diambil kira kerajaan dan semuanya telah diperingkat kira rancang dan penyelesaian sama ada di barat Iskandar dan di timur termasuk di tengah-tengah Iskandar iaitu di Kempas.

SOALAN : Adakah pembangunan WPI turut mengambil kira peranan kontraktor Bumiputera dan jika ada apakah nisbah pengagihan berkenaan.

DATO’ GHANI: Kita bermula dengan kerja-kerja infrastruktur yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan melalui IRDA sebagai permulaan antara RM2 hingga 3 bilion dan dari jumlah itu, 60% untuk bumiputera melalui tender terbuka. Daripada 60% itu kita peruntukan pula kepada Bumiputera Johor dan bakinya untuk umum dan saya percaya khususnya yang mendaftar di Johor sentiasa mengambil kesempatan untuk bersaing untuk Bumiputera dan sekurang-kurangnya jelas kita memberi peluang kepada mereka ini, Kita tidak mengambil langkah runding terus tetapi di Johor ini kita menggunakan pendekatan tender terbuka walaupun di kalangan Bumiputera kerana saya percaya kepentingan rakyat akan dapat dijaga melalui tender terbuka dan kita mengelak kerja-kerja runding terus lebih-lebih lagi yang agak besar di IM ini.


SOALAN : Selain daripada pembanguan seperti WPI, Dato’ telah lama memperkenalkan pembangunan holistik di negeri ini. Apakah Dato’ berpuas hati dengan pencapaiannya setakat ini?

DATO GHANI: Yang terpaksa kita elakkan pembangunan yang tempang dan menekankan ekonomi sahaja, kita bersyukur Johor tidak sepi daripada pembangunan dan ia berlaku secara berterusan sehingga Johor mampu menyediakan peluang pekerjaan yang besar termasuk dari Sabah, Sarawak dan utara tanah air dan kita nikmati pertumbuhan secara berterusan. Tetapi jika itu sahaja berlaku di Johor saya anggap ia pembangunan yang tempang kerana ia membawa kesan-kesan lain. Sebab itu kita menekankan pembangunan holistik supaya ia tidak rosak dan tercemar dan membawa kepada kerosakan alam semula jadi, masyarakat, sosial, keagamaan, kebudayaan supaya pembangunan yang berlaku ia adalah pembangunan yang ada ketahanan. Jika tidak ia tempang dan rapuh. Ia memerlukan usaha yang berterusan untuk melihat hasilnya. Di Johor kita harap pembangunan holistik ini akan menyediakan pembangunan kemakmuran yang mempunyai ketahanannya.


SOALAN : Tentunya idea Dato’ supaya rakyat membudayakan AlQuran dan Hadis yang kini masih diamalkan khususnya seluruh kakitangan kerajaan setiap hari Jumaat. Bagaimana Dato’ melihat kejayaan program ini.


DATO’ GHANI: Setiap kali kita diingatkan bahawa Rasullullah sebelum wafatnya baginda telahpun menyeru bahawa umat tidak akan sesat sekali-sekali apabila berpandu al-quran dan hadis sepanjang zaman. Jadi, kita di Johor ini selepas belajar tajwit dan sebutannya di peringkat kanak-kanak dan remaja dan hanya ulangi semasa bulan puasa, saya melihat sempena membudaya al-quran ini kita harap ia dibaca sepanjang hayat dan alhamdulillah dapat sambutan. Setiap hari apabila dibaca kita perlu pula memahaminya selepas membaca dan terjemahannya sepanjang lebih 12 tahun. Kini kita mula mendalaminya lagi kandungan al-quran. Oleh itu, kerajaan akan melantik pakar tafsir al-quran untuk diwujudkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri dengan harapan pakar tafsir ini akan meyampaikan kandungannya kepada masyarakat tempatan yang akan difahami kandungannya melalui pakar dan ahli tafsir dan kerajaan Johor akan melantik 56 semuanya supaya ia lebih tersusun, sistematik dan umat Islam mendalami al-quran sepanjang hayat dan kita buat ini semua sempena pesan Rasululah agar ia menjadi panduan hidup sepanjang zaman.


SOALAN : Bagaimanapula dengan Kolej Kominiti yang turut lahir hasil pembangunan holistic?.

Sebahagian daripada anak Johor yang keluar sekolah tanpa kemahiran sekadarkan apa yang diperolehi dari bilik darjah hingga tingkatan lima, Sebahagian besar terpaksa masuk pasaran buruh tanpa kemahiran langsung dan mereka terdedah pelbagai kegiatan kerja yang mungkin beri kemahiran. Di Johor kita ambil dua langkah, pertama tingkatkan prestasi anak-anak di sekolah dengan membawa pendekatan tuisyen kampung, di bandar-bandar ada tuisyen swasta tetapi tidak di kampung jadi kita laksanakan lebih 10-12 tahun lalu dan tidak kurang 32,000 pelajar sepanjang tahun menikmatinya dan kita belanja RM3 juta setahun dan peningkatan prestasi mereka. Selepas sekolah di mana mereka? Nak ke universiti ada yang tak sampai, jadi kita sediakan pilihan sijil dan diploma untuk mereka sebelum masuk ke pasaran tenaga kerja dengan kemahiran dan alhamdulillah ia telah berjaya dan diterima oleh pasaran dan industri. Ia merupakan peluang kedua untuk anak-anak dari bangku sekolah untuk anak dapat peluang pendidikan berterusan. Walaupun tak sampai universiti serta-merta ia dapat kemahiran dan mungkin boleh sampai peringkat professional. Alhamdullillah ia merupakan satu kejayaan dan bukan sahaja terhad kepada anak Johor tetapi juga anak-anak negeri lain.

SOALAN : YWJ yang mula dikenali bukan sahaja di negara ini malah di peringkat antarabangsa. Bagaimana Dato’ melihat perkembangannya?.

DATO’ GHANI: Budaya ini di segi tradisi, amalan, jati diri, pengenalan dan identiti sesebuah masyarakat di Johor ini ialah kekayan budayaan-budayaan sama ada muzik, tariannya, hidupnya mempunyai tradisinya, Alhamdulillah kita telah bangunkan kekuatan melalui YWJ yang dapat membawa ke tengah tentang tradisi dan budaya di Johor dan saya lihat ia sebagai identiti yang ada pada masyarakat di Johor dan ia tidak hanya terhad kepada masyarakat Melayu tetapi juga masyarakat Cina dan India termasuk tarian. Sempena penekanan ini, kita telah menempa kejayaan, baik dengan kepelbagaian amalan budaya dan pada tahap dan mutu yang tinggi sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa dan ini merupakan dimensi pembangunan holistik yang memberi ketahanan jadi diri.

SOALAN : Selepas lebih enam bulan pilihanraya UMUM ke12 lalu, adakah Dato’ berpuas hati dengan pencapaian dan komitmen semua wakil-wakil rakyat Barisan Nasional? Dan bagaimana pula dengan kehadiran wakil rakyat pembangkang dalam Sidang DUN?

DATO’ GHANI: Enam bulan agak terlalu awal untuk dinilai. Saya akan berjumpa dengan mereka di kawasan masing-masing dan akan menerima laporan kerja-kerja yang telah dibuat oleh mereka. Saya akan menunggu sehingga 2009 untuk sampai ke semua DUN atau Parlimen untuk berbincang bagaimana mereka dapat memberikan perkhidmatan yang baik kepada pengundi-pengundi. Ini agak penting bagi kita kukuhkan kedudukan parti untuk pilihanraya akan datang. Saya mengambil langkah untuk sampai ke setiap parlimen untuk bersama-sama berbincang untuk sama-sama faham dan sedar peranan kita sebagai wakil rakyat lebih-lebih lagi untuk kerajaan menghadapi rakyat dalam pilihanraya akan datang.


SOALAN : Dalam kerancakan persidangan UMNO Bahagian yang akan menjelang mulai 9 Oktober hingga 9 November nanti, Apakah nasihat Dato’ kepada semua perwakilan cawangan ke bahagian itu nanti dan apakah harapan Dato’ pada persidangan bahagian kali ini?

DATO’ GHANI: Saya meletakkan harapan supaya persidangan di bahagian akan berjalan teratur dan tersusun mengikut agenda dan mempunyai pendapat bernas untuk mendapat perhatian kepimpinan bahagian dan proses pemilihan berlaku dengan sangat tertip, supaya di Johor ini kita dapat melalui satu proses persidangan dan pemilihan yang teratur dan penuh ketertipan. Saya tekankan bahawa jika ada pihak yang menggunakan wang untuk dapatkan sokongan supaya kita tolak untuk dia dipilih jadi pemimpin kerana mereka yang mengggunakan politik wang tidak perlu dipilih kerana ia sebenarnya tidak mempunyai kemampuan untuk membela kita.

SOALAN : Akhir sekali, sempena Hari Raya yang menjelang, apakah mesej yang hendak Dato’ sampaikan kepada rakyat beragama Islam di seluruh negara?

DATO’ GHANI: Kita sewajarnya bersyukur dengan penuh keikhlasan atas pemberian tuhan kepada kita kerana kira dapat menyempurnakan puasa hari ini dalam keadaan baik, aman dan damai dan juga kita mengambil kesempatan ini untuk kita semua memperbaiki hubungan sesama kita. Satu yang amat penting ialah kekuatan pada seseorang melalui keluarga masing-masing dan inilah diantara institusi dan benteng yang paling kukuh dan kuat untuk menghadapi apa juga cabaran, jadi kita kena ambil kesempatan untuk memperkuatkannya bersama keluarga dan jiran-jiran kita, kita juga dapat mengambil kesempatan mewujudkan suasana muhibbah sesama masyarakat berbilang kaum dengan cara menerima kunjungan mereka dan kepelbagaian ini sebenarnya tidak membawa perpecahan dan perbezaan tetapi memupuk dan mewujudkan rasa muhibbah antara kita.

SOALAN : Terima kasih Dato’

DATO’ GHANI: Sama-sama.